Langkau ke kandungan utama

Catatan

Tunjukkan catatan dari September, 2008

"Mari bercerita" kata Cik Ninapop

“Mari bercerita tentang episod kehidupan” kata Cik Ninapop . “Kamu ditag” dia menjerit di peti jerit saya. Hidup kita berepisod-episod, berbabak; kita antagonist dan kita juga protagonist dalam waktu yang lain. Kita tuan sutradaranya. Kadang kala serentak. Saya sudah banyak menulis dan ada waktu memiktifkan sebahagian daripada kehidupan saya. Sudahnya, tidak banyak lagi episod-episod silam yang boleh diceritakan. Hanyalah ini! Episod 1 Saya dilahirkan di sebuah perkampungan yang namanya mungkin tidak tercatat dalam peta Malaysia. Walaupun tempat tersebut jauhnya kira-kira 45 minit ke bandaraya Alor Star. Ketika saya beritahu nama tempat itu, pasti mereka akan bertanya. “Situ banyak pokok limau ek?” Jenuh saya menerangkan tempat asal saya adalah perkampungan sawah padi. Jika ada pokok limau pun, hanyalah pokok limau purut; yang ditanam bertujuan untuk dibuat acar limau, daunnya untuk dimasak tomyam dan buahnya yang gugur juga dipercayai untuk menakutkan ular-ular berkeliaran, terutam

Malam-malam terakhir Ramadhan

Langit jingga beransur hilang. Malam-malam terakhir Ramadhan hitam suram. Saya rindukan hari-hari yang lalu. Berbuka bersama emak, Khadijah dan anak-anak. Rindu amat! Kerinduan yang menghambat jiwa tenang berombak resah. Sunyinya hidup saya. Berbuka berdua dan kadang kala bersendirian. Tanpa zuriat dan tawa tangis anak-anak. Tapi tidak boleh selalu-selalu merungut. Nanti kufur nikmat namanya. Sunyi amat! Lalu usai bersolat, kesunyian itu menghambat saya kepada segala macam kenangan lalu bersama Khadijah. Zaman anak-anak kami. Yang pahit dilapah telan. Begitu juga yang indah-indah. Gembira bermain bunga api berdua. Dulu-dulu, bunga api belerang berbatang besi itulah abah belikan untuk kami. Abah bersifat sangat melindungi; jadi jangan kami mau mimpi bermain mercun atau meriam buluh. Walau allahyarham pong-pang , pong-pang bercerita kehebatannya bermain meriam buluh waktu zaman anak-anaknya. Khadijah, anak yang suka menbantah. Selalu-selalu juga dicuri mmbeli mercun dari kedai Pak Teh..

Salahkah aku?

"waterlily, aku lagi membenci orang yang bersifat kelihatan tidak menghukum. Tetapi sebenarnya dia menghukum. Menghukum dalam diam.org ini tidak boleh dipanggil sbg prodigy. tetapi paranoia.Kalau tak pun, progeny." Aku terima komentar ini, kerana memuji seorang penulis yang menurut pada pandanganku tulisannya jarang bersifat menghukum. Aku kagum dengan anak muda ini. Dia blogger dan penulis juga. Salahkah aku kaguminya? Aku benci orang bersifat penghukum dan juga benci sebahagian diri aku punyai sifat-sifat itu. Menghukum tanpa jelas duduk perkara. Dan aku benci menyebut perkataan benci. Tolong ampuni aku Tuhan. Tidak selayaknya aku menghakimi sesiapa. Apatah lagi menghukum dan melebel.

Cukuplah

Cukup-cukuplah Jangan cuci luka hatimu Dengan menghadiri parti pesta busa Tari menari sumbang tanpa untung Nicotine bersambung puntung Kelab-kelab kotor liar bingar Penuh lelaki belang hidung Dan jalang separa telanjang Buat jiwamu tambah gundah bingung Sudah-sudahlah Jangan kau buru kebahagiaan palsu Menempah neraka kekal Sedang di sini syurga hanya sementara Ini Ramadhan Pintu keampunan Gerbang taubat Syurga abadi Masih terbuka Rahmat Tuhan tidak terhitung Mari cari jalan pulang Di balik samar neon yang menyilau pandang ....... Nota kaki : Persisir Kuala ber’lumpur’ Tika senja melabuhkan sayap Oh! Bukan sekadar kelab-kelab kotor liar bingar Di parlimen sana Ada mereka mabuk busa kuasa 19/9/2008

Sepasang pakaian baru

Dulu-dulu waktu kami masih anak-anak dalam umur tujuh delapan tahun. Selesai solat dan mengaji Khadijah akan bertanya pada aku. Dan saban kali aku menjawab soalannya dengan pertanyaan juga. “Apa yang kamu minta dari Tuhan?” Kami sebenarnya menggunakan dialek utara pekat. “Aku minta tahun ini kita ada pakaian baru untuk hari raya” Khadijah menjawab sejujurnya. Dan aku mengaminkan permintaanya. Bila aku menoleh ke belakang, aku lihat emak mengesat airmata. Dan sejak itu. Aku tidak pernah meminta pakaian baru dari Tuhan lagi. Sejak itu, kami cuma mahu emak gembira.

Al Fatihah Untuk Abah - siri 2

Ramadhan yang kelima belas dan seolah peristiwa itu berulang-ulang saban kali Ramdhan datang. Hancur luluh hati kami melihat penderitaan dan kesakitan yang ditanggungnya. Makan tidur yang tidak sempurna dan hospital menjadi rumah kedua. Hingga pada suatu hari seorang doktor bukan seagama yang baik budi berkata. “Tak payah lagi ke mari. Iktiarkan apa yang patut mengikut pengangan agama you ” Doktor berbangsa Cina yang fasih berbahasa Melayu itu barangkali sedikit sebanyak memahami agama dan pegangan kami. Lalu kami bawa abah kembali ke rumah kecilnya. Abah minta mahu makan segala macam. Maka kami sediakan seada yang mampu. Sekadar memenuhi tuntutan tekaknya. Perutnya sudah tidak bisa menghadam dan mencerna lagi. Segala yang ditelan, akan dimuntahkan tidak sampai beberapa minit. Masih segar dalm kenangan. Pagi Jumaat dua belas November 2004 bersamaan dua puluh sembilan Ramdhan 1425. Paginya, sesudah kami bersolat abah bersuara dan tersenyum. “Abah rasa sihat sangat pagi ni . Aba

Malam

Malam Jam tiga Mata masih jaga Agaknya Engkau mahu merahmati aku Tapi aku biar kerahmatan itu berlalu Untuk urusan yang tanpa tentu Dan Seumpama selalu-selalu Aku kesal pilu Pabila matahari bangun Keesokan pagi Cuma syukur aku panjatkan kerna masih punya nafas.

Setahun yang dulu

Sesungguhnya foto-foto ini, melakar sebegitu banyak kenangan manis pada minggu-minggu terakhir di Nishiawaji setahun yang dulu. Minggu di mana kepanasan mulai reda dan dedaun mula menguning. Sayangnya, cuma saya tidak dapat melihat marple kemerahan gugur brserakan seperti yang saya tonton dari kaca tivi atau bila Nelson Yuriko berkisah mengenainya. Minggu-minggu terakhir, saya mengenali seorang anak muda yang berbudi berhemah. Umur awal dua puluhan. Mungkin sebaya anak bujang saya,jika saya memiliki anak-anak. Dan kebetulan hari itu, dia datang menemani kawannya, salah seorang penterjemah saya. “Kak, kalau nak ke mana-mana, beritau saya ya. Nanti saya boleh bawa akak jalan-jalan. Bukan senang nak datang ke sini.” Saya melihat ada jujur di setiap patah butir bicaranya itu. Ada jujur dalam hati murni sebagai saudara sesama Muslim sebangsa. Kami tipikal Melayu. Menghormati tamu, yang lebih berusia lebih-lebih lagi yang kurang upaya memang budaya yang tersemai sejak kecil

Jujur

Selalu-selalu aku mendengar. Sedari umur budak hingga berpangkat emak budak. Satu statement yang cukup senonim dengan bulan Ramadhan. Kita tidak boleh bercakap bohong di bulan mulia ini. Nanti kurang pahala puasa kita. Begitulah emak beritahu aku. Abah juga. Juga ustaz-ustazah dan para guru. Mesti jujur sejujurnya! Nanti malaikat akan mencatat di sebelah kiri. Adakah ini bemakna kita boleh berfoya-foya di bulan selain Ramadhan? Jawapannya tentulah kita semua maklum bukan? --------------------------------------------------------- Tadi kelas para pelajar dewasa bermula untuk semester baru. Tutor yang sangat prihatin dan berdedikasi itu bertanya kami. “Kenapa dipilih bidang ini? “ Sampai giliran aku. Terdiam seketika. Haruskah aku berjujur-jujur? Sah! Hari ini pahala ditolak. Aku menjawab lain dari kata hati. Tapi! Aku kagum betul dengan seorang mamat ini. ‘Saya terpaksa. Saya tak ada pilihan puan.” Jawapan yang cukup jujur dan selamba. Aiseh ! Kenapa susah sangat aku mau jawab macam dia

Moga aku masih punya ruang

Semalam. Ku betulkan silaku Sesudah mengadapMu Sambil tanganku terketar Menatap bait-bait makna Pada setiap ayat KalimahMu Air mata tiba-tiba menitis Betapa kurangnya aku mengucap syukur Dalam pengertian yang sebenar Ampunkan aku! Moga aku masih punya ruang di sisiMu Moga!

E- Surat(terbuka) Buat Nelson Yuriko

Saat ini aku kira, kamu sudah menjejak kaki di Ikeda, Osaka. Negara kelahiranmu yang kaya budaya dan masyarakatnya begitu mencintai seni. Maaf kunjungan singkatmu, mungkin tidak dapat dimanafaatkan sepenuhnya. Hari itu hujan dan kita selurusi Kuala Lumpur yang basah. Untuk makluman, aku juga pendatang di kota metro ini. Jarang-jarang keluar kecuali punya urusan penting. Maaf, jika beberapa kali kita tersesat. Hatta, lorong-lorong Central Market yang cuma beberapa kali aku kunjungi. Kau tahu Yuriko, itulah tempat yang paling aku senangi. Moga-moga kamu juga menyukainya. Jangan kau tanya mengapa pengangkutan awam sebegitu rupa. “ Why they rushed ?” Aku masih ingat soalan kamu itu. Sebagai seorang warga Malaya, tercalar imej dan sedikit rasa malu. Tapi aku berdaya menampal dengan kata gurau “ Well, this is Malaysian style !” Bertolak-tolakan, berhimpitan menaiki kenderaan awam adalah lumrah. Dan selaku warga marhein kami harus menerima saja dan seadanya Yuriko. Aku terharu dapat mengenal