Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

27.7.08

Si kucing berkaki tiga tidak bernama

Jam satu enam minit pagi. Mata aku masih bugar. Coco temankan aku menaip entri. Dia comel. Terima kasih Tuhan; Engkau ciptakan untuk aku makhluk secomelnya. Jika tidak, pasti hidupku jadi bosan.

Dia masih comel walaupun sejak mutakhir ini sedikit garang dan ganas.
Dia masih comel walau selalu mengoyak-ngoyak kertas. Bikin sampah sarap teratak kami bertambah sepah

Dan

Dia masih comel walau habis alatan perabot rumah menjadi mangsa cakarannya. Malah kakiku juga kekadang jadi tempatnya melepaskan geram. Bercalar sana sini.

Dan di luar.

Ada seekor kucing yang sedang membesar dan tidak cukup sifat.

Subhanallah!

Tuhan cuma memberinya tiga kaki yang sempurna dan yang keempatnya tanpa telapak kaki dan jejari. Dia agak comel jika dijaga sempurna. Dan aku sudah tidak mampu menjaga untuk yang seekor lagi. Namun, makanan masih aku berikan setiap kali dia bertandang.

Kucing berkaki tidak sempurna itu amat tabah, Dia masih survive. Dua lagi saudaranya yang cukup sifat sudah lama tidak kelihatan.

Mungkin digilis kereta.
Atau mati kelaparan.
Atau sakit berterusan.
Mungkin mati didera kanak-kanak nakal.

Kanak-kanak nakal. Mula-mula eksprimen kamu adalah membunuh haiwan-haiwan kecil. Sedikit remaja kamu mungkin membunuh manusia lain.

Haih!

Keluarga nucleus. Di sini para-para ibu dan bapa-bapa kalut mencari sesuap rezeki. Anak-anak belajar tentang moral, agama dan segala mak nenek dari kaca TV. TV dan internet mengajar tentang moral. Tentang kemanusian. Juga tentang kesonsangan dan kebinatangan.

Khadijah selalu mengeluh padaku.

”Kak, bagaimana aku mau terangkan pada Along bahawa hubungan lelaki perempuan harus ada batas tertentu. Sedang di kaca TV, sinetron Indonesia hari-hari menayangkan anak-anak hingusan berunifom sekolah berpacaran.”

"Haih! Mana aku tahu. Aku jarang menonton kecuali CSI” kata aku. Lagi pula, aku belum punya anak-anak.

CSI pun boleh buat engkau bunuh orang kak!”Khadijah sambil membetulkan tudung labuhnya.

Kucing berkaki tidak sempurna itu mengiau-ngiau di luar rumah. Khayalan aku mati. Wajah Khadijah dan anak-anak hilang. Aku membuka pintu.

Kucing berkaki tidak sempurna masih mengiau-ngiau kelaparan.
Malam ini. Aku tak punya apa pun, kecuali lebihan makanan si Coco.

Kucing berkaki tidak sempurna.
Tuhan. dan para malaikat akan selalu menjaga kamu!

Kewujudan kamu, mengingatkan aku. Bahawa aku juga seperti kamu.
Mudah-mudahan Tuhan dan para malaikat juga akan menjaga aku.
Mengingatkan ketika aku lupa.

24.7.08

Zaza

I.
Zaza
Kompas etika
Cuma tunjukkan aku dan kamu
Yang benar
Yang salah
Mungkin kita benarkan kesalahan
Untuk kepentingan yang sesuatu
Atau kita salahkan kebenaran
Demi nafsu rakus yang berbondongan

II.
Zaza
Kompas agama
Cuma memandu kita
Lorong ke syurga
Simpang ke neraka
Mana satu pilihan kamu
Tepuk dada
Soal imanmu
Soal akalmu
Berdebatlah dengan diri semaumu.

III.
Zaza
Kompas moral
Cuma memberi kau dan aku
dua pilihan
Harus pilih dosa
Atau pahala

IV.
Zaza!
Seharusnya kau layak mengerti
Kompas hanya alatan penentu arah
Kita harus pilih lorong sendiri.
Mau ke mana kita
Ke syurga
Atau pilih sedikit nereka dunia
Untuk ke syurga abadi kekal

V.
Kita bukan jarum kompas Zaza
Terpulang kita mau mengikut
Kiblat yang hakiki.
Atau menyonsang jalan
Dan sesat dalam cahaya


Kamu bagaimana?
Masih mencari cinta gelendangan?

Dan
Malam ini Zaza
Mari kita selusuri
Kaki lima yang sedikit basah
Licin, dan sesak.
Mencari syurga dan keampunan
Yang masih samar


Nota kaki:
Zaza temanku sedang mencari seorang ayah kepada bayi yang dikandungnya secara tidak sah. Kami sama-sama gadis mentah waktu itu dan aku kesal kerana tidak membantunya mencari jalan pulang.

23.7.08

Dot..dot..dot

I really want kimono, obi and hair accessories!!!
Tolonglah aku cukup teruja dengannya.

Nota kaki:
Aku sedang belajar menulis entri tidak cukup umur.
Dan aku rasa petang ini, seolah aku bukan aku

21.7.08

Jauh perjalanan....semoga kita bertemu Tuhan.

Rumah Allah yang indah(Masjid Kobe)

“Entri baru satu!” Aku mengarahkan otakku mengeluarkan apa-apa saja yang teruntun dalam sanubari.

Lagaknya bagai memesan teh tarik dari kedai uncle. Mamak tua yang wajahnya,bagai mau telan para pelanggan.

Tandus idea bukan sesuatu yang bagus untuk aku yang mau mencoret-corat sesuatu.

Aku bukan Tomoko san. Asal tension saja, terus api rokok dinyalakan. Berhubung puntung. Bersambung-sambung. Berkepul-kepul asap ditelan hembus

Tomoko san. Umur hampir lima puluhan. Dia, Kitakado san sama saja.
I never married. But I had someone special long time ago. And we lived together” Tomoko san bercerita pada aku.
I divorced” Kitakado san pun bercerita lara hatinya walau kami baru berkenalan.

Api rokok mereka dinyalakan. Berhubung puntung. Bersambung-sambung. Berkepul-kepul asap ditelan hembus.

Tonight let’s go to the bar” Kitakado san. Dalam bahasa Inggeris loghat BBC.

Bar?” Aku terlopong.

Oh, I ‘m very sorry. You don’t drink right?”

Aku angguk. Tapi akhirnya aku ikut dia ke shushi bar.

Sungguh!

Bukan seleraku. Terasa mau terburai isi perut menelan sotong mentah.

*************************************
Suatu hari, dia membawa aku ke Kobe.

Teruja sungguh dia melihat masjid itu. Kerana dia belum pernah masuk rumah Allah.

How impressed it was” Katanya menerusi email.

Hingga foto aku tengah bersolat pun diambilnya.

Haih!

Aku rindukan mereka. Tiba-tiba. Di malam-malam begini.

Doaku moga kamu bertemu hidayah. Bertemu Tuhan yang sama untuk kita taat dan patut titahnya perintahNya. Bukan Tuhan-tuhan buatan manusia maupun Tuhan manusia. Mudah-mudahan kamu ketemu hidayah. Seperti Huriyya Hiroko Kushimoto. Yang anggun berselubung labuh ke bawah paras dada.

Kadang kala aku terasa ‘ kecil’ apabila bertemunya.

18.7.08

Suatu petang....saya,dia dan sekeping coklat


Suatu petang.

Lelaki saya pulang. Belikan saya coklat. Jenama Cadbury. Manis. Saya tidak suka.

Tiga tahun serumah. Sekamar. Berkongsi bantal kadang-kadang. Dia masih tidak arif tentang kegemaran saya.

Saya suka kerepek kentang. Saya suka kentang putar. Saya suka jejari kentang yang bergoreng, sayur kentang dan segalanya tentang kentang.

Tapi bukan kulit kentang ya.:p

“Cubalah rasa. Sedap woo!” Dia cuba mempromosi. Promosi percuma. Saya mencebik. Buat-buat muka meluat. Memang saya meluat. Berkali saya beritau, dia masih buat-buat tidak tahu. Dia fikir, apa yang dia suka, mesti saya akan suka.

Petang itu.

Saya tarik muncung sedepa. Saya harap dia akan ke kedai semula. Belikan kerepek kentang saya.

Lama saya menunggu. Perut saya berkeriuk keroncong. Bukan keroncong untuk Ana. Keroncong kelaparan. Kebetulan petang itu hujan.

Saya buka peti sejuk kami. Cari jejari kentang untuk digoreng.

Alahai! Sudah habis.

Dia mengusik-ngusik. Menayang coklat pada saya. Berjenama Cadbury. Dengan harapan saya terliur dan sudi merasa.

Maaf ! Sikit pun saya tak ingin. Saya mau kerepek kentang juga.

Tapi, perut saya lapar. Saya cubit sedikit dan rasa.
Manis.
Lemak.
Lazat.

Huh! Enak juga. Atau rasa enak itu adalah disebabkan perut saya yang sedang kelaparan.

“Sedap kan?” Dia. Saya mencebik. Buat-buat muka meluat lagi. Malas hendak mengaku. Dia tersengih.
“Lain kali rasalah dulu” Dia. Pulangkan saya paku buah keras.

Petang itu.

Kami duduk bersama. Berkongsi sekeping coklat. Dan di luar, hujan semakin melebat.

Petang itu.

Manis sungguh!

Tapi!
Saya tetap tidak sukakan coklat.
Kerepek gentang juga yang saya mahu.

Nota kaki:
Imej curi dari wikipedia.
Tidak sempat ‘snap’ sendiri.

15.7.08

Yaya si kupu-kupu

Yaya.

Bagai seekor kupu-kupu. Dia bukan rama-rama. Dia sedar dirinya. Dia hanya kupu-kupu. Kehadirannya saban waktu. Disambut nista dan sumpah seranah.

Ahhh!
Kejamnya dunia yang menjadikan dirinya seorang pendendam.

Dia yatim.

Yaya hodoh!
Yaya buruk!
Yaya cacat!
Yaya bawa penyakit dan kesialan.

Pendekata, tiada yang manis indah tentang Yaya

Semua hodoh
Semua buruk
Semua cacat
Segalanya penuh kesialan.

Dan

Manusia sekeliling termasuk saudara sedarah pun jijik melihat Yaya.

“Jangan kamu lalu belakang Kak Ina, Yaya. Nanti kenan engkau”. Marah Tok Teh. Ketika itu Kak Ina hamil masuk bulan keempat.

Kak Ina merenungnya. Jijik berdaki-daki dalam hati. Dia faham benar. Walau Kak Ina tidak mengucap sepatah kata pun.

Hancur hati Yaya. Berderai-derai bagai cermin retak jatuh dari bumbung bangunan bertingkat lima belas. Waktu itu umur Yaya masih budak. Masih mentah. Tapi hatinya tetap mengerti. Mengerti amat. Dia dibenci. Kehadirannya tidak pernah disenangi. Tok Teh bukan orang lain. Tok Teh adalah ibu kepada allahyarham ayahnya. Tok Teh sembahyang lima waktu tidak tinggal. Seminggu sekali, ke pondok Haji Din dengar orang baca kitab. Entah apa yang dia dengar, lain pulak praktikal melayan si yatim.

Hancur hatinya!
Tidak berbaki sedikit pun!
Tidak berkeping-keping. Malah berdebu-debu.
Debu-debu hatinya berterbangan dibawa angin.

Jika luka hatinya dapat dilihat mata kasar; nescahaya akan terperciklah darah di sana sini. Molekulnya berserakan di mana-mana.

Yaya.

Bagai seekor kupu-kupu. Dia bukan rama-rama. Dia tahu dirinya Dia hanya kupu-kupu. Kehadirannya saban waktu. Disambut nista dan sumpah seranah.

Dia yatim.

Yaya hodoh!
Yaya buruk!
Yaya cacat!
Yaya bawa penyakit dan kesialan.

Budak-budak bersorak-sorak, termasuk saudara-saudara sepupunya sendiri.

Pendekata, tiada yang indah-indah tentang Yaya.

“Yaya, biar orang benci kamu. Jangan kamu dibenci Tuhan” Kata Long Minah bersaudara sepupu dengan allahyarham ayahnya.

Yaya tersenyum. Luhur dan jujur. Mengangguk-angguk faham. Namun hatinya sudah lebur. Dek nista-nista manusia.

“Mereka yang benci kamu, sama juga mereka benci ciptaan Tuhan. Tuhan marah orang yang menghina dan benci kejadiaanNya” sambung Ustaz Din, suami Long Minah sambil mengusap-ngusap kepalanya. Yang berkuping dengan kudis buta.

Hanya Long Din dan Long Minah tempat dia menumpang manja. Selepas dia menjadi yatim, ibunya berkahwin semula dan sibuk dengan suami dan anak-anak barunya.

Yaya menggaru-garu kepalanya.
Gatal sangat.
Nanah meleleh-leleh.
Darah melekit-lekit
Hanyir menusuk hidung.
Lalat menghurung-hurung.

Yaya.

Hanya seekor kupu-kupu. Dia bukan rama-rama. Dia tahu dirinya. Dia hanya kupu-kupu. Kehadirannya saban waktu. Sering disambut nista dan sumpah seranah.

Dia yatim.

Yaya hodoh!
Yaya buruk!
Yaya cacat!
Yaya bawa penyakit dan kesialan.

Budak-budak bersorak-sorak, termasuk saudara-saudara sepupunya.

Berbelas tahun berlalu sudah. Waktu getir pun bersilih tukar. Long Minah, Ustaz Din dan Tok Teh semua sudah dijemput Tuhan. Ibunya sudah uzur.

Kak Ina sudah hampir lima puluhan. Anak yang dikandungnya dulu sudah berusia sembilan belas tahun. Kacak segak macam Abang Halim suaminya. Dia tidak kenan kamu Yaya.

Cuma ada satu kurang enak tentang anak itu. Dia kini penghuni pusat serenti. Sejak umur empat belas masuk keluar bersilih ganti. Setiap hari buat Kak Ina makan hati. Mencuri, menjerit dan hampir mencekik mati ibu sendiri. Jauh di sudut hati, Kak Ina ingat kekejamannya pada Yaya. Yaya dilibas sesuka hati dengan lidi nyiur hanya kerana tertumpahkan air minuman. Penyesalan kemudian tiada gunanya. Selalu-selalunya begitulah manusia.

Yaya.
Pulanglah! Maafkan mereka.
Berbelas tahun waktu yang agak panjang. Terlalu panjang
Harap lukamu terubat sudah.

Tidak aman mereka yang di dalam kubur.
Juga yang di atas bumi Tuhan.
Tanpa kemaafanmu.

Pulanglah Yaya
Maafkan mereka yang menyalahimu
Maafkan dirimu sendiri.

Kau tidak lagi yatim

Tidak lagi buruk. Tidak lagi jijik
Kekurangan fizikal bukan kecacatan.

Tanggalkan saja pakaian dendam itu.
Tanggalkan saja Yaya. Usah fikir lagi.

Pulanglah! Percayalah! Tiada kurangnya kamu.

Selain hatimu yang berparut itu.

Nota kaki:
Yaya bukan siapa-siapa. Dia mungkin kita; anak-anak kita, kamu, saya dan anda.

13.7.08

Baru setahun jagong....

Terbaru kad ucapan dari Izz

Julai ini, genaplah setahun saya bergelar Water Lily. Kadang-kadang saya begitu yakin gembira dengan identiti baru saya. Lily, Kak Lily,WL dan juga Water( ini cuma gelaran dari guru tatabahasa saya, Tuan Sinaganaga). Kadang-kadang saya terlupa identiti nyata saya.

Tulisan saya pada permulaannya, buruk amat. Apa tidaknya. Saya fikir wadah blog cuma tempat untuk melepaskan geram dan marah. Awalnya, pengunjung juga tidak ramai. Hanya beberapa kerat. Boleh dibilang jari. Encik Pinter, Akhi Shah, Doc TA, Naha dan Purple Cat adalah antara pengunjung awal. Saya tidak tahu berapa ramai yang menjadi silent reader kerana waktu itu saya tidak pandai memasang segala mak nenek widget.

Kecuali Faizaini, adik botak saya dan abang Edee, tiada teman-teman yang saya kenali berblog. Saya rasa blog saya jarang dibaca oleh kenalan dan saudara-mara. Pengunjungnya majoriti adalah kenalan cyber saya.

Terima kasih atas segala sokongan. Saya akan terus menulis. Kerana saya menyukainya.

Menulis itu umpama oksigen yang dihirup. Jiwa saya seakan mati jika tidak melakukannya.

Alhamdulillah!

Banyak kenangan manis di sini. Laman saya belum pernah di hijack. Belum pernah ada komentar-komentar yang melukakan hati. Semoga ia kekal begitu. Sekiranya ada teguran yang membina, saya berlapang dada menerima.

Ketahuilah. Hidup saya di alam nyata tidak begitu indah. Hati saya penuh dengan parut-parut luka. Jadi, biarlah saya bergembira sebentar di sini.

Di sini.

Terlepas segala lelah, beban dan kekusutan yang melanda.

Izinkan saya bergembira di sini. Untuk sebentar cuma.

Dedikasi istimewa:


Para komentar
Yang tidak pernah jemu ke sini dan membaca dalam diam.



  1. Encik Pinter. Terima kasih kerana kamu tanpa sengaja mengajar kakak ini menulis secara kreatif dan fiktif.
  2. Tok Rimau. Terima kasih sudi menjemput saya menjadi penulis GT
  3. Encik Naga. Selalu buat saya ketawa-ketawa.
  4. Naha. Terima kasih atas budi baik. Semoga Allah swt memberikan ganjarannya
  5. Akhi Shah. Terima kasih atas kunjungan sampai ke rumah dan dedikasi lagu sempena ulangtahun saya di sini
  6. Tiqah. Cenderahati kamu masih ada.
  7. Izz Fantasi Diary. Terima kasih atas kiriman kad yang cantik itu.
  8. Abang Edee. Terima kasih kerana mengajar saya membuat blog.

Terima kasih.


11.7.08

Saya "blank".....


Sejak pulang dari kampung tempohari, tiba-tiba rutin harian saya menjadi tersangat padat. Padat kerana asyik melayan sakit. Deman menjadi rutin.

Tadi sore. Saya terasa sedikit sihat. Lalu, saya menghadap pc; konon-konon mau menulis entri.

Alahai!

Kontang idea. Lantas saya berhenti. Saya mula mengemas files dan folders lama. PC saya sudah slow macam siput. Dan saya temui puisi ini (jika bisa dipanggil puisi).

Saya rindu untuk menulis entri. Tapi tidak boleh menulis separa hati. Nanti hasilnya jadi buruk amat.

Tapi saya rindu untuk menulis entri.

***************************************


Nishiawaji
Suhumu menggelegak berbara
Hingga pagi tidak lagi dingin
Panas merentang hari

Nishiawaji
Maghrib tidak terasa Maghrib
Ramadhan tidak terasa hadir
Yang terhidu cuma bau hamis panas
Seakan mau menghangus iman.

Nishiawaji
Melalui lorong-lorongmu
Di waktu-waktu gelap tidak
terang pun bukan
Bau ikan rebus yang memualkan
Loya terpaksa aku tahan

Nishiawaji
Melalui lorong-lorongmu
Di malam-malam minggu
Saban kali ku temui
Pria dan para lelaki mabuk
terhoyang-hayang
Ada yang sudah terbaring di jalanan
Walhal baru jam sembilan

Nishiawaji
Melalui lorong-lorongmu
Terasa seakan diperhatikan
Hanya aku yang berselubung
di tengah gadis-gadis gebu
berskirt mini
seluar separa betis.
dengan rambut berwarna-warni
pelbagai gaya.

Ya Rabbi!!
Betapa aku terasa sunyi
Betapa aku terasa asing
dan kerdil
di sini.

Aku mahu pulang!

26/9/2007
Ogimachi Park