Langkau ke kandungan utama

INI SURAT PERKELILING bukan SURAT BERANTAI


19 November 2007

PEKELILING PEJABAT PENDAFTAR (13/2007)


Semua Pelajar-pelajar Pra Siswazah XXX University Malaysia

YBhg. Dato’/Tuan/Puan,


PERLAKSANAAN PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS UNTUK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

Dalam usaha untuk meningkatkan daya saing program-program yang ditawarkan, di samping melahirkan para graduan yang mampu menguasai Bahasa Inggeris, pihak Universiti telah memutuskan untuk melaksanakan penggunaan Bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran, kecuali bagi kursus-kursus bahasa.

2. Sehubungan dengan itu adalah dimaklumkan bahawa perlaksanaan penggunaan Bahasa Inggeris ini akan bermula pada Semester Mei 2008.

Dengan perlaksanaan dasar ini adalah diharapkan graduan XXX akan lebih berdaya saing di dalam bidang pekerjaan masing-masing.




Sekian. Terima kasih.

NOTA KAKI: Aku tertanya-tanya,jika kita tidak mahir dalam penggunaan bahasa yang aku tidak berapa faham itu, adakah bermakna kita BODOH dan tidak pandai melakukan pekerjaan kita. Aku tertanya-tanya.Sungguh. Betul-betul. Bukan main-main.

Ulasan

cakapaje berkata…
Salam Ma'al Hijrah WL,

Melainkan bahasa Al-Quran Karim, setiap bahasa lain adalah bahasa duniawi; tidak memahami atau kurang fasih bahasa lain, ianya tidaklah seberat dari tidak memahami bahasa Al-Quran. Maka, janganlah indahkan sangat sangkaan orang lain.

Bayangkanlah sahaja di Malaysia ini, setiap hari dikerah orang kita menggunakan bahasa lain sedangkan bahasa ibunda kita sendiri ramai yang kecundang. Bangunan, taman perumahan termasuklah kondo, semakin hari memakai nama asing: dimanakah identiti Melayu dan Malaysia?

Di sini tertanya pula saya, adakah penggunaan bahasa asing ini untuk memudahkan pelawat ke Malaysia sambil mencelarukan minda anak bangsa? Adakah wujudnya rakyat Malaysia untuk menjadi hamba pengunjung seperti yang banyak berlaku di beberapa negara asing?

Bagi saya, persetankan pengunjung jika rakyat sendiri tidak dapat diberikan kepertahinan yang sewajarnya. Maaf jika bahasa saya kasar. Sekiranya benar, ketahui ia bukan dituju pada WL tapi pada mereka yang sepatutnya bertanggungjawab.
Tanpa Nama berkata…
Bukan macam itu, bukan kita bodoh jika tidak mahir bahasa Inggeris, graduan kurang berdaya saing.

Kawan saya graduan Perakuanan kecewa dan mengambil keputusan jadi cikgu melalui program KPLI bila dapat kerja disebuah audit firm yang kecil dan terpaksa buat auditan di perniagaan yang dipunyai oleh bangsa cina. Bukan niat nak menghasut ye. atau nak semai sangka buruk. Kawan saya tidak dapat membuat kerjanya dengan baik kerana tidak menguasai bahasa Mandrin dan book keeper tempat auditan itu langsung tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris.


Untuk dia diterima di Big Six, seperti Kassim Chan, Coopers dan sebagainya, saingan adalah sangat sengit. They only recruite the best. Biasanya mereka ambil graduan dari luar negara. Local U memang kurang, boleh dikira dengan jari.


Realitinya bangsa kita bukan pemilik kapital mutlak di sini. Nak tak nak kita terpaksa untuk tidak terlau sensitif tentang soal bahasa yang kita cintai demi nyawa. tak de kerja tak de duit, tak duit dapur mana yang nak berasap.


Mardhiah
Salam sdri WL,

Pepatah Cina ada mengatakan,: Jika sesuatu bangsa itu tidak menjunjung bahasanya sendiri, tunggulah kemusnahan bangsa itu.

Saya cuma memetik. Fikir-fikirkanlah sendiri. :)
Hamizi Hamdan berkata…
bukan lah tak pandai bahasa inggeris tu maksudnya bodoh atau tak pandai...

tapi itu adalah keperluan semasa untuk lebih daya saing... kita tak boleh lah nak "ambik untung" gunakan pelbagai alasan supaya tidak belajar bahasa inggeris...

lagipun kerana bahan ilmiah semasa terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, bahasa malaysia tidak dapat menyampaikan maksud banyak perkataan secara tepat...

contohnya, siapa kenal "rasuk" , "papak" atau "tiang pendek"... bahasa inggerisnya "beam" , "slab" dan "column stump"...

walaupun saya dapat A1 dalam bahasa malaysia semasa SPM dan A- dalam bahasa malaysia "maju" di USM, saya tidak nafikan bahasa inggeris "sangat penting" sekarang...

semasa di tingkatan 1 hingga tingkatan 4, saya sangat "bodoh" bercakap dalam bahasa inggeris (sekarang pun belum pandai sangat - tapi ok sikit), dan selau jadi bahan ketawa student bangsa lain di dalam kelas (kelas saya hanya ada ~ 7 orang melayu daripada 40 orang pelajar dan semua anak orang berada (hanya saya anak driver lori)...

tapi kesedaran untuk bercakap bahasa inggeris hanya saya dapat setelah mula bekerja (agak lambat)bila mana bahasa inggeris adalah bahasa komunikasi utama dalam industri saya...

tapi masing-masing ada pendapat sendiri...
Sarah Mohd Shukor berkata…
Salam Kak Lily.

1st time sy ke sini. Salam kunjung balas :) sy ada pendapat sy yg tersendiri tentang isu ini. Tidak menguasai bahasa inggeris memang menjadi satu isu lebih2 lg dlm skop mencari kerja. Ya. memang ada banyak lg peluang utk bekerja dgn majikan bumiputera tp untuk memajukan diri, penguasaan bahasa ini penting. jika 1 hari nanti rezekinya bekerja dgn syarikat multinasional bertaraf global, susah juga mahu bergelut dgn org ramai kalau mcm tu.

Tapi yg menjadi hairannya, kenapa sudah di peringkat atas (Universiti) baru hendak diperkasakan? Memang tak dinafikan sudah ada langkah2 memperkasakan penguasaan bahasa ini di peringkat sekolah rendah lg (matematik dan sains dlm bahasa inggeris -kononnya-) tp sy lihat dgn mata kepala sy sendiri aplikasinya hanya di sekolah, di kelas. itu saja. sedangkan, penguasaan bahasa perlu melibatkan aktiviti harian. perlukan aplikasi. perlukan kelestarian. Emak sy seorang guru dan terlibat sbg guru sains pusat negeri pahang. sedihnya menurut emak sy, standard bahasa yg digunakan adlh diperingkat rendah (emak sy anak didik lepasan sekolah inggeris dulu2). Macam mana mahu mengukuhkn penguasaan bahasa inggeris kalau ini yg diguna pakai. penggunaan month dan moon pun masih tak betul.

Tahap terbaik utk mendidik masyarakat di msia adalah ketika menengah rendah. tidak terlalu muda utk belajar menerima dan tidak terlalu tua utk 'keras otak'. dan mereka ini aktif utk mengaplikasikannya. sepatutnya peringkat inilah yg diberi perhatian lebih.

dan yg terakhir, kalau kita tidak dapat menguasai bahasa inggeris tidak bermaksud yg kita bodoh. kita tetap boleh berjaya dgn cara kita sendiri kalau kita tahu caranya :) dan bg sy sndiri, kalau sy diberi pilihan, sy hendak belajar medic dlm bahasa melayu. alih2 nnti sy balik msia jmpa makcik pakcik yg cakap melayu dan guna term harian yg susah utk dialihbahasakan ke bahasa inggeris utk diselaraskan semula dgn otak ni utk bekerja :) tambah2 plak, sy ni pencinta bahasa. ewah~

p/s: baru sy tau kak lily ni penggiat seni rupanya :)
13may berkata…
waa...komen komen yang menarik dan bernas...

saya pun tatau nak cakap apa...
NoraHash berkata…
Caya tak cuka cakap Ingglish caya cuka cakap Melayu tau ,cayang Bahasa Melayu!

Masalahnya ialah Bahasa Melayu kurang perbendaharaan kata untuk sesetengah ayat jadi kita terpaksa pinjam dari bahasa lain tetapi kalaulah itu yang menjadi masaalah kenapa negara2 Asia lain seperti Jepun, korea , Cina dan Vietnam dan kalau saya boleh masukkan negara Thai juga tidak kalut dengan isu bahasa ni.Ekonomi mereka berkembang juga kerana mereka gigih bekerja bukan kerana mereka boleh bertutur bahasa Inggeris....
Tanpa Nama berkata…
Di Markas Selatan ada sekumpulan pelajar baru dari China. Penguasaan bahasa Inggeris mereka sangat lemah. Nak cakap duduk kolej mana pun tak tahu. Ini menyusahkan bahagian pentadbiran.

Bahasa tidak menggambarkan betapa cerdik @ hebatnya seseorang, ianya sesuatu yang boleh dipelajari, dan sgt bergantung pada faktor persekitaran. Kalau anak Melayu lahir kat UK, cairlah omputihnyee. Kalau lahir kat Bentong, tu yang tergagap-gagap.

Tapi, kalau tahu sikit-sikit, senanglah nak jalan-jalan Oversea. Tak gitu Kak Lily? He he..
Sastri berkata…
tidak mahir bukan bermakna bodoh atau tidak pandai melakukan pekerjaan... tapi ia salah satu kemahiran yang diperlukan dalam sesetengah bidang pekerjaan...

apapun, yang penting, dalam kita mendalami bahasa lain, jangan sampai bahasa kita luput penggunaannya...

Catatan popular daripada blog ini

Aku tidak beretika?

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil mata menerjah bulat ke layar pc. Aku gugel Ethical issues in workplace . Kemudian Ethical Theories . Bermacam laman dan arikel keluar. Maklumat overload . Melimpah. Uhhhhhhhhhhhhhh ! Susahnya memilih. Rasa macam si Puspawangi memilih dan mengasingkan barangan dari uncang Tok Janggut dalam cerita Musang Berjanggut. Puncanya bukan apa. Aku tak berapa pandai English . Walaupun kamus Oxford yang tebal sentiasa diheret masuk hingga ke kamar tidur. Eternal Law ? Utilitarianism ? Universalism ? Justice Theory dan macam-macam lagi. Entah apa-apa Mana satu satu mahu diadaptasikan ke dalam study case tugasan aku. Aduh! Damn ! Ada satu minah sudah kutuk aku dalam forum. Dia kata aku unethical masa berforum. Hujahnya, aku salin dan tampal informasi di web dan letak dalam forum. Cis ! Selama ni aku buat benda yang sama juga. Bukan aku kata aku punya. Aku tulis sumbernya. Dan pensyarah aku tak pernah kata apa-apa pun. Pada aku selagi, aku nyatakan

Monolog kecil

Kebarangkalian apabila aku menulis di sini hanya seperti melakon sebuah teater monolog. Ada penonton. Tiada reaksi. Namun bukankah tiada reaksi itu juga satu reaksi? Hi, awak apa khabar? Aku cuma ingat Nizam Ariff dan Art (Atorzy ). Aku cari blog Art. Tak jumpa lagi.

"Mari bercerita" kata Cik Ninapop

“Mari bercerita tentang episod kehidupan” kata Cik Ninapop . “Kamu ditag” dia menjerit di peti jerit saya. Hidup kita berepisod-episod, berbabak; kita antagonist dan kita juga protagonist dalam waktu yang lain. Kita tuan sutradaranya. Kadang kala serentak. Saya sudah banyak menulis dan ada waktu memiktifkan sebahagian daripada kehidupan saya. Sudahnya, tidak banyak lagi episod-episod silam yang boleh diceritakan. Hanyalah ini! Episod 1 Saya dilahirkan di sebuah perkampungan yang namanya mungkin tidak tercatat dalam peta Malaysia. Walaupun tempat tersebut jauhnya kira-kira 45 minit ke bandaraya Alor Star. Ketika saya beritahu nama tempat itu, pasti mereka akan bertanya. “Situ banyak pokok limau ek?” Jenuh saya menerangkan tempat asal saya adalah perkampungan sawah padi. Jika ada pokok limau pun, hanyalah pokok limau purut; yang ditanam bertujuan untuk dibuat acar limau, daunnya untuk dimasak tomyam dan buahnya yang gugur juga dipercayai untuk menakutkan ular-ular berkeliaran, terutam