Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

28.12.08

Sesat (mungkin di mana-mana)


Jika kamu berjalan-jalan, maksud saya bermotosikal atau berkereta di sekitar Kuala Lumpur dan jika kamu tersesat atau tersalah turn; pasti kamu akan berpusing-pusing mencari jalan keluar. Kendatipun kamu telah bertahun menghuninya, percayalah kamu gagal mengecamnya. Setiap hari ada saja yang berubah.

Dan hati kamu(sayalah tu), akan menyumpah-nyumpah kepanasan.
Kamu akan merasa banyak masa terbuang
Kamu penat dan kehausan.
Membuang tenaga
Membazir minyak(walau telah turun harga, ia bukan percuma okay)
.
.
.
Tadi. Dalam perjalanan pulang dari kampus induk universiti, saya dan dia tersesat. Akhirnya kami tiba, di kawasan yang tidak pernah kami pergi.
Okay! Dah sampai Melaka ni hahaha!” Dia.
Bikin ‘panas’ hati saya.
Tapi, sesat di Kuala Lumpur agak menyeronokkan. Banyak jalan dan bangunan baru(baharu) boleh dipandang.

“Sesat di Kuala Lumpur.
Dosa pahala bercampur”
~ M.Nasir~

…………………………………


Kehidupan pun begitu. Jika kamu(saya juga) rasa tersesat jauh, di tahun ini;maka carilah jalan kembali. Moga tahun baru,kita ketemu harapan baru. Dan, jika kamu terjatuh; cuba untuk tidak terjatuh di tempat yang sama.

SELAMAT MA’AL HIJRAH DAN SELAMAT TAHUN BARU 2009.

25.12.08

Tanpa tajuk

Usai membaca surah Yassin, saya bingkas bangun. Cepat pantas. Umpama anak-anak kecil terdengar bunyi loceng ais krim atau mahu menonton Doraemon.

“Ke mana tu?” Tanya mak kehairanan.
“Puaka Nyiang Rapik” kata saya.

Sekelip mata, saya sudah di ruang depan. Bebola mata tertancap depan tivi.

Tu yang hang dok baca Yassin tadi buat apa?” Papp!!!

Saya terpukul dengan kata-kata emak. Adakah membaca surah Yassin itu rutin atau ibadah?


……………………………………………………

Emak sudah balik dua minggu yang lalu. Kamar itu kosong dan sepi.
Sesepi hati saya di kala ini!

23.12.08

"Goodbye Days" kata Yui

video
Dua hari yang lalu. PC perlukan servis; perlu upgrade dan antivirus tamat tempoh hayat. Dengan bicara senang mudah segalanya memerlukan wang atau dengan bicara sedikit kasar, segalanya merabakkan poket :D

Kami (saya maksudkan dia), mencongak-congak wang bonus dan gaji. Hajat mau menghabiskan cuti. Cuti dia, bukan saya. Sebagai surirumah dan blogger tegar, masakan saya boleh bercuti. Nanti peminat merusuh, dakwa Puan Tasikmerah. Perancangan awal mahu makan angin ke Melaka – bandaraya warisan penjajah, kata Puan Tasikmerah juga.

Dipendekkan kisah; sementara menunggu laptop dibaikpulih, kami duduk melepak-lepak makan angin dan mencuci mata di Plaza Metro Kajang. Dari kedai makan sebarang, saya terbau aroma satay yang menggiurkan. Tapi, saya berdiam-diam saja (kerana mau ke Melaka).

Lamaaaaa
! Hampir tiga jam menanti.

Aiyaa,rosak teruk lor…bla…bla..bla....campur antivirus RM250 bla..bla..bla. Ini harga diskaun, kak” Anak muda Tionghua itu menceceh-ceceh.

Bayangan Melaka semakin hilang dalam ingatan saya. Dan kami pun bersama merasai suasana Krismas di dalam Plaza Metro Kajang. Di waktu panas terik membara. “Kenapalah salji tidak turun” saya bertanya soalan bodoh. Ya. Cuba lihat sekeliling, Krismas mesti ada salji sebab ada Christmas Tree.

Di hadapan saya, lalu seorang gadis Melayu(saya ulang, gadis Melayu) bertopi Santa. Sungguh! Melayu adalah bangsa yang sangat bertoleransi. Kerana toleransi, Melayu selalu diinjak-injak kepala oleh si pendatang dan penumpang.

Saya Melayu. Saya bertoleransi. Saya sudah nampak, siapa sebenarnya yang telah menjadi ‘tuan’. Dan, maaf hari ini mungkin tulisan saya berbau sedikit perkauman.

Sore itu, kami duduk-duduk di Plaza Metro Kajang, menikmati suasana Krismas tanpa salji sambil bebola mata tertancap pada gadis Melayu bertopi Santa.

Hati saya tiba-tiba menjadi sebal bercampur rusuh!

Kyros Kebab Café
Plaza Metro Kajang
20/12/2008


16.12.08

Cantik Sempurna!



Disclaimer: Entri ini ditulis sempena sambutan Hari OKU Sedunia 2008.

Cantik sempurna!
Hati yang redha akan mengiyakan segalanya. Semuanya!

“Kamu cantik! Berlesung pipit dan kamu pandai” Puji seorang lelaki. Wajahnya serius dan hati saya terbata-bata jadinya menerima pujian tersebut. Antara percaya dengan tidak. Antara malu dan sedikit bangga; tapi saya yakin dia tidak mempunyai apa-apa agenda. Dia guru saya. Guru Bahasa Inggeris saya.

Itu cerita hari-hari remaja yang saya lalui. Saya yang introvert melalui hari-hari remaja payah dan penuh gundah. Saya penyendiri dan masa banyak saya habiskan dengan buku-buku di perpustakaan. Teman saya cuma Khadijah.

Cantik sempurna!
Hati yang redha akan mengiyakan segalanya. Semuanya!

Hari itu.
Seorang teman lama saya temui. Dia mengeluh pada saya. Sama seperti keluhan-keluhan saya di masa-masa lalu.

“Buruk sangat ke aku ni kak? Teruk sangatkah berada di atas kerusi roda? Hingga dia (teman saya itu menyebut nama gadis yang dicintainya; yang juga berkerusi roda) menolak aku.”

Lalu saya tanyai dia kembali. “Kamu rasa bagaimana? Jika kamu rasa teruk, maka segalanya akan jadi buruk”.

Dia terdiam. “Kau tak faham kak, kau boleh berjalan”

Ya. Mungkin benar saya tidak memahaminya. Lalu, saya katakan padanya, saya juga punya kesusahan sendiri. Bayangkan, sukarnya saya mau mengenakan tudung, menyuap makanan; betapa sukarnya saya terpaksa mengulang-mengulang percakapan agar difahami orang.

Lalu, saya tunjukkan Azlan dan isteri padanya. Mereka juga susah. Azlan setiap kali mahu berurusan dengan bank atau apa-apa terpaksa meminta bantuan suami saya kerana di kuartes kami tiada siapa yang memahami bahasa tangan dan jari-jemarinya itu.

Teman saya itu lalu terdiam. Berfikir mungkin.

Lalu saya menyambung ” Bayangkan jika kamu berdua berjodohan. Berkerusi roda keduanya memang tampak sepadan. Bolehkan, mampukah kamu menjaga antara satu sama lain? Tidakkah kamu menyusahkan dia dan diri kamu sendiri?”

“Jika kamu tidak berkaki, minta Tuhan hantarkan seorang yang berkaki untuk kamu. Kakinya, akan menjadi kaki kamu dan mungkin kepetahan lidah kamu akan melengkapi dirinya” Saya seraya menyambung.

“Itulah makna saling melengkapi. Sepadan tidak bermakna saling melengkapi”. Teman saya itu menggangguk-angguk.

Cantik sempurna!
Hati yang redha akan mengiyakan segalanya. Semuanya!

Kurang upaya. Aduh! Terjatuh memang menyakitkan jiwa. Patah segala raga. Apatah lagi, kelebihan dan keupayaan yang ada dipandang sebelah mata. Tetapi, seakan ada ahkam yang tidak tertulis – jika jatuh, usahakan bangun kembali.

Cantik sempurna!
Hati yang redha akan mengiyakan segalanya. Semuanya!

Sebelum memulakan perjalanan, mungkin lebih afdal untuk kita mengenali diri sepintas lalu akan entiti yang memungkinkan kita mentafsir antara antara cantik sempurna dan kurang upaya.

Cantik sempurna!
Hati yang redha akan mengiyakan segalanya. Semuanya!



9.12.08

Disember yang ribut

......................

Hari ini.
December yang ribut dengan segala macam bencana. Murka alam kerana rakus haloba kita. Lumba-lumba mau bina kediaman tepi syurga.

Hujan sudah berhenti, burung-burung atas pokok tinggi itu bising sambil menciritkan najis, jalan raya basah dan berlumpur. Kelam malam menyorokkan kerdip bintang, akibat daripada langit yang tersedu-sedan, meratapi nasib manusia-manusia yang tidak cita angannya kesampaian.

Tapi aneh benar; di sini, kita temui keindahan dan kecindaan.

Kelam malam menyorokkan kerdip bintang, akibat daripada langit yang tersedu- sedan, meratapi nasib manusia-manusia yang tidak cita angannya kesampaian.

Esok; kira-kira lima belas tahun mendatang. Kita bina dan dirikan lagi. Deretan kediaman yang kononnya tepi syurga. Murka alam bertimpa lagi.

Dan kita pun menangis kerna kediaman tepi syurga (kononnnya) menjadi lubang kubur anak isteri kita.

Siapa salah? Kita..kita..kita.
Siapa bising? Kita.....kita dan kita.


...........
ps: Aku juga tidak mahu diam. Wahai penguasa yang diberikan kuasa sementara apakah beza antara penghuni Bukit Antarabangsa dan saudaraku di utara dan pantai timur? Bukankah kami sama-sama berduka? Dan langit yang sama juga tersedu-sedan untuk kami.

2.12.08

Aku berharap hari esok bisa aku namakan...


....…hari yang magis.


Aku sedang bersiap-siap untuk menyediakan diri ke tempat temuduga esok. Bersiap-siap untuk menjawab soalan-soalan bodoh yang kadang kala gagal juga aku menyatakan jawapannya. Misalnya, “Siapakah nama Yang Dipertuan Agong Malaysia?” Atau. “Please introduce yourself in English”.

Aku terpandang perfume lama itu. Dan hati terus berkata bicara.


Perfume itu sudah berusia berbulan. Ini bermaknanya berbulan juga aku tidak memakainya."
Dan aku melihat baju-baju di dalam almari. Tiada fesyen terkini pun sejak aku menghantar notis dua puluh empat jam kerana naik minyak dengan bekas bos yang memperkecil-kecilkan keupayaanku.
Tapi, mungkinkah esok sejarah itu akan berulang lagi.
Aku rasa perutku mula memulas-mulas untuk kesokan pagi. Rama-rama kecil berterbangan di setiap ruangnya.

Mungkin aku patut mengubah penampilan.
Begini misalnya. Ha! Ha!

Doakan aku. Aku perlu survive walau aku tidak suka ke temuduga itu. Aku perlu suntik diri dengan dadah jenis motivasi dos tahap tinggi. Aku perlu bekerja, supaya semangat juang aku berada di tahap maksima.



Sebetulnya. Aku mahu kembali ke pentas lakon. Uhuk!