Langkau ke kandungan utama

Siaran semula Cerpen"Pelangi Cinta Watanabe"

Bukan mahu berbesar diri, tetapi cerpen "Pelangi Cinta Watanabe" saya disiarkan kembali di halaman ini semata-mata menghormati permintaan sifu saya - Sifu Azmah Nordin. Moga-moga yang tidak sempat membacanya dan rakan-rakan sekelas maya saya memperolehi munafaat dengan siaran semula di sini. Saya juga berharap ada kritikan yang membina; maklumlah saya budak tua yang sedang bertatih dengan pena.


MALAM itu dingin. Gelap kehitaman menempel pekat di dada langit. Bagai contengan rona hitam yang dipalit-palit tanpa tujuan di atas kanvas siang tadi. . Gelap dan pekat kehitaman memyiram mana-mana posisi yang diingini. Kedinginan begitu menyentak tubuh.

Ninnie cuma bersendirian. Dia seolah mendengar langit gelap berbisik, “Dia telah membuatmu menangis, adakah kau mahu terus mencintainya?” Ninnie bungkam. Dia masih mendongak ke langit yang gelap. “Wahai bintang, apakah kau meninggalkan langitmu malam ini?”

Angin berhembus semakin perlahan dan kedinginan semakin terasa. Mungkin sekadar berkongsi rasa bersama gadis istimewa itu. Dentuman guruh cuma sesekali. Renjatan kilat sesekali mencorak langit agak menakutkan; tapi gadis itu seakan sudah lali dari segala ketakutan.

Ninnie berdiri tegak dan mendongak kepalanya. Matanya masih tertancap pada langit yang menghadap koridor belakang apartmen sempit yang disewa sejak berhijrah ke ibukota. Kedua belah tangannya yang tidak bertapak apatah lagi jejari diangkat perlahan; membetulkan rambut yang terurai ditiup angin.

Kemudian dia duduk di lantai simen yang beralaskan tikar getah separa lusuh. Kedinginan semakin meratah tubuhya. Diangkat sebelah kakinya, mengemaskan lagi rambutnya yang terurai. Anugerah anggota tubuh bernama kaki itu antara anggota bermakna dan istimewa bagi Ninnie. Kaki itulah segalanya bagi dia. Pelbagai guna. Menggantikan sepasang tangan yang tidak sempurna. Memengang sudu ketika makan, menyisir rambut yang terurai panjang hingga mencari punca rezeki iaitu melukis.

Ninnie khayal. Menghirup bau hujan yang sedang riuh berguguran; menumpah jatuh menyuburkan bumi. Dia sedikit resah dengan tubuhnya semakin didakap kedinginan. Namun mengingati lelaki asing yang ditemuinya siang tadi, kembali menghangatkan perasaan.

Segar udara malam itu. Sesegar kuntuman senyum nakal yang terpamer di wajah lelaki asing yang memperkenalkan dirinya sebagai Ryuichi Watanabe. Ninnie pasti. Lelaki itu cuma tertawan pada hasil kerjanya. Bakat seni yang dimilikinya. Bukan dirinya. Ninnie sedar situasi itu. Ninnie tahu di mana kedudukannya.

”Maha Suci Tuhan!” Bisik hati kecilnya. Dia tertanya-tanya ujian apakah yang sedang Tuhan ciptakan untuknya kali ini.

Deria bau milik hidung comelnya tercium aroma teh hijau yang baharu dibancuh. Enak diminum di kala dingin malam hujan begini. Rasa tawar kelat teh pekat yang enak disantap bersama kepingan-kepingan biskut sambil mengunyah suatu kenangan manis seumur hidup. Jatuh cinta!

Cinta untuk seorang lelaki asing yang pernah membuat langkahnya seolah imun terhadap graviti. Setiap kali dia mengingati Watanabe san, Ninnie terasa jiwanya seakan kuntuman bunga lalang. Ringan melayang dipuput angin.

“Saya Watanabe, Ryuichi Watanabe. Dari Nishiawaji, Osaka Saya diberitahu, saya bisa bertemu kamu di sini,” Petah lelaki asing itu bersuara.

“Suriani san bukan?” Dia menyambung. Setelah melihat Ninnie terpinga-pinga dan sedikit tergamam. Ninnie sekadar menganguk-anguk.

“Saya sukarelawan untuk pusat ini. Baru seminggu. Saya membantu unit fisioterapi. Saya dimaklumkan hasil karya Suriani san sangat menarik. Jadi saya mahu berkenalan dengan tuan punya lukisan-lukisan ini sekali,” Ramah sekali Watanabe san bersuara. Diiringi lirik mata nakal. Ninnie tersipu malu diperlakukan begitu. Petah kata gurauan Watanabe san seolah mereka sudah berabad mengenali.

“Okay, kita boleh berkawan,” Ninnie bersuara yakin.

“Kemudian kita kahwin ya...ha! ha! ha!,” Gurau Watanabe san bersahaja.

I do,” Diikuti ketawa mereka bedua.

Semenjak itu mereka menjadi sahabat. Dalam diam, Ninie mula menaruh hati terhadap pemuda asing itu. Namun Ninie tahu, Watanabe san hanya menganggapnya sebagai seorang kawan. Sahabat yang akrab. Sahabat yang cuba mempelajari tentang bangsa, budaya dan pengangan agama masing-masing. Hubungan yang sama sekali tidak pernah melintasi sempadan bernama cinta.

Ninnie, perawan manis yang tidak lagi mengingini apa-apa isi dunia. Tidak perlu alat solek mahal. Tidak mahu kamera digital. Dalam hati dia sering tumbuh doa yang pelbagai untuk diri dan keluarga tercinta sebelumnya kini tinggal satu. Lelaki asing itu bukan pelangi atau sore; indah dan cepat berlalu pergi. Bertandang dan menghilang. sepantas renjatan kilat.

Andai mimpi boleh dipinda ganti dengan kenyataan, Ninnie mahu Watanabe san menjadi oksigen dalam udara. Berlegar-legar di persekitaran, masuk ke dalam darah, mendengar apa yang dirasa dan difikirkannya; semuanya tentang si lelaki asing yang telah menyebarkan atmosfera tidak rasional di belukar rasa yang mencanak tumbuh di dada, hati dan mindanya. Dia pula, mahu menjadi matahari yang menyinar di kala siang ;rembulan dan bintang di kala malam untuk lelaki idamannya.

Semua orang bertanya. Rakan sekerja dan taulan bertanya tentang lelaki asing yang selalu mereka lihat bersama Ninnie. Mereka mahu tahu lanjut tentang lelaki pujaan hatinya.

“Ninnie, bagaimana kau boleh akrab dengan Watanabe san? Lelaki asing yang kau cintai separa mati itu? Tanya salah seorang. Lia, sahabat karibnya. Sekadar mewakili teman-teman lain yang tidak mahu melihat Ninie menangis dan kecewa.

Ninie menjawab hanya dengan pandangan kosong. Kemudian senyumam manis menguntum tanda kegembiraan berbunga-bunga dalam hati. Dari lirik matanya; dia tahu mereka melihat sesuatu yang hidup dan bergerak. Lelaki itu bukan putera kayangan bersayap pari-pari. Dia juga barangkali bukan pula kecintaan para malaikat.

Watanabe san, lelaki bercacah di lengan kanan; senyum manisnya tidaklah begitu menggoda. Sekadar wajah dengan senyuman kacau nakal itulah yang justeru selalu menghambat Ninnie. Bukan senyuman milik si pelakon popular walau nama mereka serupa. Bukan kenakalan milik para cherubim atau kecerdasan khas seraphim.

Sekadar senyum kacau nakal remaja dalam diri lelaki biasa yang juga menganjak dewasa. Ninie terus tertarik hati untuk terfokus pada lelaki yang begitu ingin dikenalinya. Biasa-biasa. dan tidak sempurna. Manusia tidak sempurna seperti dirinya juga.

Ninnie sememangnya berbeza. Jiran tetangga, sahabat taulan dan teman kenalan melihat begitu tentang perawan berusia dua puluhan yang sedang memanjat tangga kedewasaan. Semua orang mengingini kesempurnaan. Ninnie tidak pula begitu. Dia berfikir, kenapa harus menangis bila bibir sumbing, atau mata sedikit juling dan jerawat jeragat bertempek di pipi. Walau tubuh terus membelonkan saiz xxl.

Ketika gadis-gadis lain berfikir itu yang membuatkan mereka gagal memiliki sepotong kasih, Ninnie sekadar tersenyum. Katanya, kekasih bukanlah sepotong kek manis yang dipaluti gula aising. Bukan sebiji donat perisa coklat yang ditaburi manik-manik berwarna.

Kekasih bagi Ninnie, juga manusia biasa. Bila-bila pun dia tidak mungkin memiliki semua yang dinginkan. Pasti ada sesuatu yang dalam dirinya adalah yang dicari dan dirindukan. Mungkin itu sekeping diri kalian, yang menyelinap dalam salah satu rongga jantungnya.

Mungkin juga, sesesak nafas yang suatu hari pernah hampir terambil tetapi ia sempat selamatkan. Mungkin kekasih, cuma belahan jiwa saja yang sudah tiba waktunya untuk datang saat mereka ingat bahawa cinta untuk insan sepertinya cuma sebuah perkara musykil lagi mustahil.

”Ninnie berapa kalikah kau bertemu dengannya? Dan benarkah kau cintai dia?”

Kepada teman-teman kenalan dan taulan yang bertanya, Ninnie menjawab,”Lelaki asing itu adalah ruh: cuma sekali ia temui, tapi masuk begitu saja ke tubuh kosong serupa lorong yang belum berpenghuni dalam dirinya, tinggal selamanya di sana,”

Dan ya, aku cinta padanya mungkin bagai air laut. Belum pernah terkurung masinnya. Mungkin juga, bagai sirap bandung yang selalu kami minum bersama. Tidak pernah terkurang manis dan lemak campuran susunya.” Sambung Ninnie sambil tersenyum.

”Ninnie, jikalau dia pergi bagaimana kau nanti?" Tanya Lia, yang kelihatan lebih gusar. Bimbang jika Ninnie tidak mampu menaggong kekecewaan. Lia tahu rasa itu kerana dia berulang kali melaluinya. Namun, Lia akur dia tidak mampu mengubah pendirian Ninie. Teman-teman yang lain juga begitu. Lantaran itu, mereka hanya mendoakan yang terbaik buat gadis itu.

Ninnie berusaha untuk terus meyakini sahabatnya itu dan yang lain-lain juga. Ninnie tahu mereka menyayangi dan mengambil berat tentang dirinya.

Dia sabar, tenang,dan masih tersenyum sopan. Ninnie yang beranjak dewasa; begitu yakin mengatakan apabila ruh itu pergi darinya, sesuatu yang bundar besar akan meninggalkan lubang di dadanya. Tetapi mengertikah mereka tentang makna kosong?

Lubang tidak berisi apa pun, ia masih tetap bisa ada isinya meskipun tiada apa-apa lagi di sana. Sama siuasinya seperti penuh, yang sesungguhnya bisa jadi tidak ada apa-apa lagi meski dengan mata telanjang kita melihatnya masih sempurna ada di sana.

Jadi bila lelaki asing pergi meninggalkannya, Ninnie bakal mendoakan hari-hari yang terbaik buat dirinya. Buat Ryuichi Watanabe juga. Hari-hari yang sama di mana semuanya kelihatan baik; pada saat kenangan indah bersama Watanabe san berada dalam ingatannya.

”Mahu tahukah kau seperti apa cintaku itu? Cinta tidak terbalas yang meski membuatku sedih, tapi aku sentiasa positif dan biasa-biasa saja menanghadapinya” Ninnie berhujah demikian, apabila para tetangaga dan teman-teman taulan cuba mempertikaikan cintanya. Hanya dalam minda. Secara fizikal, tiada sesiapa pun di hadapannya.

Cinta, bagi Ninnie tidak rasional dan tak mungkin terukur. Cinta yang liar dan surrealism. Cinta yang sangat kritis dan mempertimbangkan banyak hal dalam memahaminya. Cinta yang layak ditabur seorang lelaki asing yang sedang berziarah untuk beberapa purnama di tempat dia mencari sesuap nasi. Melukis sambil mengajar anak-anak yang senasib dengannya melukis. Cinta yang ditemui Ninnie dalam waktu-waktu yang sengaja tidak ingin dikawalnya.

Angin berhembus dan memutarkan daun-daun menguning keperangan yang gugur. Bintang sesekali tidak akan jatuh, tanpa keizinan Sang Pencipta. Waktu pun berangkat dan musim berganti.

Tetangga diam. Teman taulan diam dan ada juga yang bersimpati. Mereka terharu dengan kejujuran Ninnie. Ketulusan hatinya, mencintai pemuda asing itu tanpa syarat. Ada juga yang menyumpah seranah dan menganggap dia begitu tolol. Kadang Ninnie agak tersinggung dengan sindiran-sindiran mereka. Lebih pedih dan sakit, jika dibandingkan dengan cintanya yang tidak berbalas.

Di dada perawan ini, kini pokok pengertian pun tumbuh membugar. Salah satu kebaikan dari hidup yang jarang dihitung adalah ketika Tuhan memberikan ruang untuk rasa sakit. Rasa sakit yang tulus, hingga Ninnie mampu menghayatinya dan melihat bahawa sakit adalah teman.yang mengajar banyak perkara yang baik-baik.

Kesakitan pada Ninnie, bukan guru yang cukup baik untuk mengajarkan kebijaksanaan. Cuma dia terharu bagaimana cara kerja rasa sakit berfungsi. Rasa sakit mengajarnya untuk bertahan seteguh binaan tembok batu. Sekali dia mampu melalui rasa sakit kerana cinta, maka Ninnie yakin dia akan kuat untuk menghadapi rasa sakit bagaimana pun bentuknya kelak.

Itu yang dipelajari Ninie ketika dia mencintai lelaki asing surreal yang bagai angin: datang dan pergi dengan suasana sejuk dingin. Ada juga secuit kehangatan, dan rasa itu masih melekat. Menempel enggan tanggal. Terselit di desir darah dan ingatan yang menggumpal lembut.

Ryuichi Watanabe telah pergi semalam. Ninnie seakan melihat jenazah cintanya diusung pergi. Barangkali hampir sama rasanya, ketika kedua tangannya diambil Tuhan dalam satu kemalangan ngeri sepuluh tahun lalu. Tragedi yang menjadikan dirinya kurang upaya seumur hidup dan saat itu jualah dia menjadi yatim piatu. Meninggalkan Ninnie dalam kekosongan yang semampat belon besar yang diisi angin. Menunggu minit-minit terakhir untuk meletup dan berkecai.

Ninnie, gadis yang sedang menapak dewasa memahami kesedihan sebagai sesuatu yang wajar dari signifikan ketiadaan. Pada suatu hari, mungkin dia bertemu lagi dengan Ryuichi Watanabe; Ninnie telah mengatur sebaris janji dalam diri.

“Ya, bila kita ketemu lagi nanti, aku akan menjadi sehangat sahabat lama..,”

Ninnie mahu bertanya khabar tentang anjing comel kesayangan Watanabe san. Malah dia berjanji akan tertawa saat Ryuichi Watanabe bercerita tentang gadis baharu yang singgah dalam jurnal kehidupannya. Ninnie mungkin akan berkongsi kisah cintanya setelah lelaki asing itu meninggalkannya. Mereka akan meneruskan kehidupan masing-masing. Di atas ukhwah persaudaraan; persahabatan berlandaskan kemanusiaan sejagat.

“Aku berjanji Watanabe san!” Ninnie terus tersenyum dan melangkah. Sepasang kornea mata cantik miliknya sentiasa tertancap ke hadapan. Di dadanya suci lagi optimis; tanpa sebarang jadam rasa gundah, payah dan resah.

* * * *

Malam itu, tidur Ninnie diulit mimpi indah yang paling panjang. Bersiar bersama di lorong sempit dalam sebuah taman kota kelahiran Ryuichi Watanabe; diapit pohon-pohon sakura sedang mekar berbunga. Dia bersolek tebal persis seorang geisha. Kimono berbunga kecil-kecil berwarna terang membaluti tubuhnya.

Mimpi yang membuat Ninnie tersenyum dan di waktu yang sama menangis ketika dia terjaga di waktu dinihari yang sunyi.

*TAMAT*


Ulasan

Azmah Nordin berkata…
Terima kasih Water Lily :) saya amat menghargai ini. Saya percaya, ramai pengunjung yg akan dapat memanafaati setiap ilmu yg diperolehi, drpd cerpen Pelangi Cinta Watanabe' anda yg hebat ini. Beri mereka masa sampai hujung bulan tiga ini, untuk membacanya di blog anda, sebelum anda turunkan ke bawah k

Apabila berkesempatan, sambung novel anda semula. Ia pasti menjadi sebuah novel yg lain daripada yg lain, bukan hanya gaya bahasa anda yg indah, tetapi ceritanya yang tidak pernah disentuh penulis lain secara mendalam, sebelum ini.

salam sayang selalu

az
ckLah @xiiinam berkata…
Subhanallah....





Syabas Mar....



Bakat yang unik....
puding roti berkata…
selalu rs mcm terbang2 bl bc karya kakak. peluk cikit
tunbegia berkata…
sungguh lumayan,

salamm,
Nizam.Ariff berkata…
AKu kasi jalan cerita, motif, watak segala... akak tuliskan cerita boleh tak? Aku tak cukup masa la kak... hahaha
Lily Abdullah berkata…
Sifu Azmah yang saya hormati,
T.kasih di atas kepercayaan dan tunjuk ajar. Novel itu akan disambung akhir Mac dan akan saya pos secepat mungkin.

Insyallah. Doakan saya sihat :)

Kak Lah,
T/kasih kak. Semoga kak tabah selalu ya:)

Tun,
Akak rasa macam ku kenal saja tagline ni hehehe..

Nizam,
Akak pun kesuntukan waktu. Ni,kalau akak ambil dan buat betul2 hakcipta & honorium kena bahagi dua tak hahaha..

Adik Puding
Meh..kite nak peluk juga. Tak sabar nak beli buku yang tulisan comel2 itu.

Catatan popular daripada blog ini

Aku tidak beretika?

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil mata menerjah bulat ke layar pc. Aku gugel Ethical issues in workplace . Kemudian Ethical Theories . Bermacam laman dan arikel keluar. Maklumat overload . Melimpah. Uhhhhhhhhhhhhhh ! Susahnya memilih. Rasa macam si Puspawangi memilih dan mengasingkan barangan dari uncang Tok Janggut dalam cerita Musang Berjanggut. Puncanya bukan apa. Aku tak berapa pandai English . Walaupun kamus Oxford yang tebal sentiasa diheret masuk hingga ke kamar tidur. Eternal Law ? Utilitarianism ? Universalism ? Justice Theory dan macam-macam lagi. Entah apa-apa Mana satu satu mahu diadaptasikan ke dalam study case tugasan aku. Aduh! Damn ! Ada satu minah sudah kutuk aku dalam forum. Dia kata aku unethical masa berforum. Hujahnya, aku salin dan tampal informasi di web dan letak dalam forum. Cis ! Selama ni aku buat benda yang sama juga. Bukan aku kata aku punya. Aku tulis sumbernya. Dan pensyarah aku tak pernah kata apa-apa pun. Pada aku selagi, aku nyatakan...

Monolog kecil

Kebarangkalian apabila aku menulis di sini hanya seperti melakon sebuah teater monolog. Ada penonton. Tiada reaksi. Namun bukankah tiada reaksi itu juga satu reaksi? Hi, awak apa khabar? Aku cuma ingat Nizam Ariff dan Art (Atorzy ). Aku cari blog Art. Tak jumpa lagi.

Cerita ini hanya fiksyen okay!

Dulu-dulu. Beberapa tahun yang dahulu. Amy berkenalan dengan Shimada san kerana projek teater tanpa dialog itu. Usai, seisi latihan dan dia akan duduk-duduk bersama Amy. Kadang berdua. Kadang bertiga dengan Lorna. Kadang berempat dengan Petra. Kerapnya mereka berdua. Mereka pun berbual. Bukan pasal babi. Atau pasal politik. Atau pasal duit. Bukan pasal seni lakon. Tapi pasal cinta. Tentang hubungan lelaki dan wanita. Pasal cinta okay ! Suatu hari, Amy bertanya. Sekadar ingin tahu. Lansung tanpa maksud tertentu. Tiada sebarang agenda. Tiada udang di sebalik mee (kata budak-budak nakal yang suka merosakkan peribahasa Melayu). “Shimada san, jika awak jatuh cinta dengan orang kurang upaya, adakah awak sudi kahwini dia?” Terkebil-kebil kedua bebola mata Shimada san. Soalan cepu emas Amy itu, seakan perangkap maut buat dia. Menuntut satu kejujuran yang maha telus. Shimada san tidak menjawab. Sehingga habis berbatang benda berasap toxic itu disedutnya. Dan Amy, menanti jawabannya hingga berc...