Langkau ke kandungan utama

AIDILFITRI 2004 - TERIMA KASIH ABAH

Lembaran ini saya catatkan ketika saya selesai bersolat, sesudah saya berdoa dan menghadiahkan al-Fatihah kepada seorang lelaki yang paling istimewa dalam hidup saya. Setiap saat saya tidak pernah berhenti merinduinya dan sering saya titiskan airmata mengenangkan kesilapan yang pernah saya lakukan terhadapnya.

Abah,papa,ayah atau apa ja gelaran yang ada pastinya akan merujuk insan yang sama. Seorang lelaki yang begitu besar jasanya, cinta dan kasih sayangnya telah meletakkan kita ke dalam rahim ibu – kemudian dilahirkan ke dunia…. Untuk kita mengenal bulan, bintang dan matahari. Seterusnya untuk kita mengenal Pencipta dan diri sendiri.

Tanggal 12 November 2004, saya telah kehilangannya. Abah pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Mana mungkin saya melupakan hari itu. Segala-galanya seperti baru semalam terjadi. Segala penderitaan yang kami sekeluarga harungi dalam masa setahun itu terlalu sukar mahu dilupakan.

November 2003, abah disahkan mengidap kanser perut dan perlu menjalani pembedahan “gastertomy “ pada Mac 2004. Abah kelihatan tenang dan biasa-biasa saja sewaktu dimaklumkan mengenai penyakitnya. Saya,emak dan adik hampir pitam mendengarnya. Kami telah mula membayangkan penderitaan yang bakal ditempohi pada hari-hari berikutnya.

Mac 2004, abah selamat menjalani pembedahan,tetapi keseluruhan usus besarnya tidak dapat diselamatkan lagi. Sel-sel kanser telah menular ke bahagian tersebut dan organ tersebut terpaksa dibuang bagi mengelakkan ia terus merebak ke organ-organ penting lain. Setelah hampir dua minggu terlantar di wad ICU, akhirnya abah membukakan mata dan meminta makanan kegemarannya – masak asam tumis ikan pari. Kami merasa serba-salah…..tidak tahu bagaimana untuk memberitahu abah akan keadaan dirinya yang telah kehilangan organ penting. Saya tidak sanggup memberitahu abah – tidak sanggup untuk memberitahunya bahawa dia tidak dapat menikmati makanan kegemarannya seperti dulu lagi.

Saya masih mengingati hari itu…bagaimana Maksu Timah, adik bongsu abah memujuk abah menjamah bubur nasi yang dikisar halus…selayaknya menjadi makanan untuk bayi.
Perlahan-lahan emak suapkan ke mulut abah. Sesekali emak mengelap pipinya yang basah dengan airmata. Saya menulis cerita ini dengan airmata yang bercucuran….Di Aidilfitri yang mulia inilah segalanya terjadi.

Penghujung Ogos 2004, penyakit abah berulang kembali. Beliau kembali memuntahkan segala makanan yang dimakan. Hari-hari berikutnya adalah hari yang penuh penderitaan buat kami sekeluarga. Saban hari ada saja airmata yang tumpah. Selama ini abahlah yang mencari rezeki buat kami sekeluarga. Dia cuma seorang kelindan lori. Setelah hampir setahun abah tidak bekerja, kami juga menghadapi masalah ekonomi. Barang-barang kemas yang tidak seberapa telah habis dijual dan digadaikan. Saudara-mara dan jiran tetangga banyak membantu meringankan beban kewangan kami tetapi segalanya masih jauh dari mencukupi. Bagi menampung kos perubatan,kami terpaksa memohon bantuan dari pejabat kebajikan berhampiran dan juga pejabat zakat.
Awal Ramadhan 2004, keadaan abah semakin tenat. Beliau tidak dapat menelan apa-apa lagi, kecuali setitis dua air yassin bagi membasahkan tekak. Akhirnya selepas solat Jumaat – 29 Ramadhan 2004 abah menghembuskan nafas terakhirnya – di sisi saya,emak, Maksu, sepupu saya, abang Sham,abang Tih dan Paksu. Berakhirlah sudah segala penderitaan dan kesakitan yang dilalui. Bayangkan ketika insan lain bergembira menyambut Aidilfitri, kami meraikannya dengan airmata. Kenduri arwah pada malam itu disertai bersama iringan takbir raya. Bagi insan lain takbir raya pada malam itu bermakna keceriaan, tapi bagi kami hanya airmata kepiluan yang diiringkan. Saya masih ingat bagaimana malam itu saya tertidur sambil memeluk erat kain pelikat untuk hari raya kepunyaan allahyarham yang dibeli oleh adik ipar saya pada minggu sebelumnya.

Saya redha dengan pemergiaanya. Namun di sudut hati ini,begitu banyak perkara yang saya kesalkan hingga kini. Pertamanya, saya masih rasa bersalah kerana gagal menjadi anak yang baik. Saya tidak berupaya menjaganya dengan baik sewaktu beliau terlantar sakit. Ada waktunya, disebabkan keletihan, tidak cukup tidur dan rehat saya hilang sabar dengan segala macam kerenahnya. Ada ketikanya, saya tinggikan suara terhadapnya. Sehingga kini saya masih merasa bersalah dan berdosa walaupun saya tahu abah telah memaafkan segala kesalahan saya.

Semasa hayatnya ada,saya tidak pernah mengucapkan terima kasih di atas segala pengorbanan dan jerih payahnya membesarkan kami adik-beradik. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana abah masih sudi menghantar saya ke sekolah; walaupun ada yang mempertikaikan tindakannya. Semua orang ragu-ragu samada saya mampu memegang pencil dan menyebut huruf dengan betul. Terima kasih abah kerana menghantar saya ke sekolah. Terima kasih kerana memperkenalkan saya warna-warna indah dunia a,b,c dan seterusnya. Terima kasih kerana memperkenalkan huruf-huruf dari Al-Qur’an. Tanpanya, saya tidak mungkin mengenal Allah S.W.T., dosa pahala, syurga mahupun neraka. Terima kasih abah, kerana melindungi dan menyanyangi saya hingga ke akhir hayat abah. Terima kasih kerana bersabar dengan kerenah dan kenakalan saya sewaktu usia saya remaja – pulang rumah lewat malam dan buat abah sentiasa risau kerana saya anak perempuan abah yang istimewa. Terima kasih kerana menerima diri saya seadanya. Namun saya tahu, saya telah terlewat untuk mengungkapkan jutaan terima kasih itu. Abah takkan mendengar suara saya lagi. Namun saya juga tahu, abah akan sentiasa memaafkan dan mendoakan kesejahteraan saya….akan sentiasa merestui perjalanan hidup saya.

November 6, 2005 – saya bertemu seseorang tapi abah telah tiada untuk mewalikan pernikahan saya. Perkahwinan saya diwalikan Pak Uda, abang kepada allahyarham abah dalam majlis serba ringkas. Saya cuma memiliki sepasang baju pengantin yang disewa…tiada majlis persandingan yang hebat. Tapi saya cukup bahagia dengan kehidupan saya sekarang…

Aidilfitri 2007 – saya masih gembira dapat berhari raya dengan emak dan suami. Namun abah tetap dalam kenangan. AL – FATIHAH.

Ulasan

posmen berkata…
AL FATIHAH buat arwah. semoga roh beliau sentiasa dicucuri rahmat ALLAH swt.

semoga akak dan saya dlm lindunganNYA juga.

amin

Catatan popular daripada blog ini

Aku tidak beretika?

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil mata menerjah bulat ke layar pc. Aku gugel Ethical issues in workplace . Kemudian Ethical Theories . Bermacam laman dan arikel keluar. Maklumat overload . Melimpah. Uhhhhhhhhhhhhhh ! Susahnya memilih. Rasa macam si Puspawangi memilih dan mengasingkan barangan dari uncang Tok Janggut dalam cerita Musang Berjanggut. Puncanya bukan apa. Aku tak berapa pandai English . Walaupun kamus Oxford yang tebal sentiasa diheret masuk hingga ke kamar tidur. Eternal Law ? Utilitarianism ? Universalism ? Justice Theory dan macam-macam lagi. Entah apa-apa Mana satu satu mahu diadaptasikan ke dalam study case tugasan aku. Aduh! Damn ! Ada satu minah sudah kutuk aku dalam forum. Dia kata aku unethical masa berforum. Hujahnya, aku salin dan tampal informasi di web dan letak dalam forum. Cis ! Selama ni aku buat benda yang sama juga. Bukan aku kata aku punya. Aku tulis sumbernya. Dan pensyarah aku tak pernah kata apa-apa pun. Pada aku selagi, aku nyatakan...

Monolog kecil

Kebarangkalian apabila aku menulis di sini hanya seperti melakon sebuah teater monolog. Ada penonton. Tiada reaksi. Namun bukankah tiada reaksi itu juga satu reaksi? Hi, awak apa khabar? Aku cuma ingat Nizam Ariff dan Art (Atorzy ). Aku cari blog Art. Tak jumpa lagi.

Cerita ini hanya fiksyen okay!

Dulu-dulu. Beberapa tahun yang dahulu. Amy berkenalan dengan Shimada san kerana projek teater tanpa dialog itu. Usai, seisi latihan dan dia akan duduk-duduk bersama Amy. Kadang berdua. Kadang bertiga dengan Lorna. Kadang berempat dengan Petra. Kerapnya mereka berdua. Mereka pun berbual. Bukan pasal babi. Atau pasal politik. Atau pasal duit. Bukan pasal seni lakon. Tapi pasal cinta. Tentang hubungan lelaki dan wanita. Pasal cinta okay ! Suatu hari, Amy bertanya. Sekadar ingin tahu. Lansung tanpa maksud tertentu. Tiada sebarang agenda. Tiada udang di sebalik mee (kata budak-budak nakal yang suka merosakkan peribahasa Melayu). “Shimada san, jika awak jatuh cinta dengan orang kurang upaya, adakah awak sudi kahwini dia?” Terkebil-kebil kedua bebola mata Shimada san. Soalan cepu emas Amy itu, seakan perangkap maut buat dia. Menuntut satu kejujuran yang maha telus. Shimada san tidak menjawab. Sehingga habis berbatang benda berasap toxic itu disedutnya. Dan Amy, menanti jawabannya hingga berc...