Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

4.12.13

Watashi no kuruma

Anak-anak hari ini bertuah amat. Dalam perut bonda, dalam buaian sudah naik kereta. Lulus 5A UPSR pun bapa sudah hadiahkan kereta.

Sebagai intro. Bukan sebab saya 'jaki' dengan kamu. Bukan sebab itu. Saya bersyukur kamu tidak perlu bersusah seperti saya.

Ini cerita pokok.

Saya dan Encik Suami baru membeli kereta. Biasa-biasa. Buatan tempatan sahaja. Cukuplah sesekali ke tempat kerja. Hendak-hendak pulak musim hujan begini. Jika kucing sakit, senanglah sikit kami bawa ke klinik.

Selepas 9 tahun berkahwin, baru kami berjaya mendapatkan kereta idaman. 
Selepas sebulan memiliki kereta, baru kami faham akan 'kesusahan'

Bertambah pula dengan segala 'mak nenek' kenaikan.
Ditambah pula dengan kenaikan gaji kami penjawat awam gred rendah yang kenaikannya tentulah rendah juga.

Kucing kami demam. Selsema. Ada kereta pun kami berfikir dua lapan kali untuk membawanya ke klinik vet. Tidak lagi seperti seperti dulu. Asal sakit, batuk sikit pun, angkat masuk sangkar bawa dengan motosikal.

"Ya Allah. Sembuhkan sakit kucing saya. Ya Allah. Sihatkan semua ahli keluarga saya." Doa saya diam-diam. 

Doa yang berbunyi seperti mementingkan diri.
Niat yang serong.

Jauh sekali mencerminkan keikhlasan

2.12.13

Catatan-catatan kepada (...diri juga...)

Pada akhirnya, saya menjadi begitu yakin. Blog saya sudah tidak lagi dikunjungi. Berdasarkan rating, trafik dan komentar.  

Dan datang jua pada hari dan ketika-ketikanya saya seperti tidak kisah lagi pada perhatian manusia.

Kadang terasa mahu marah, mengomel hatta mencarut sekali pun, kita ada medium baru iaitu Facebook.

Sungguh saya memang pemarah. Tetapi yakin saya tidak pernah mencarut. Marah dalam diam. Pendam. Hilang. Kadang marah skala kecil di Facebook. Kemudian saya padam.  Adakah dosa mengaibkan orang boleh dipadam? Adakah dosa mengecilkan hati orang boleh terpadam ? Dan mereka yang menyakiti saya, enggan hormati saya itu adalah urusan mereka dengan Tuhan.

Apalah daya saya. Meyakinkan manusia-manusia lain, agar telus mengikut peraturan adalah sama sekali tidak wajar.  Kita dibesarkan dan ditarbiahkan dengan corak pemikiran yang berbeza. Lahir kita pula dari genarasi berbeza.

Masing-masing ada ego. 

Jika saya merasa membuang sampah merata tempat itu berdosa amat, barangkali ada hamba Allah lain sanggup meludah tanpa mengira tempat satu keseronokan yang maha besar. Kencing di koridor asrama pun tidak apa-apalah.Meminjam barang, kemudian tidak dipulangkan malah tidak dicuci tiada apalah sangat

Bukankah ada orang bakal kita jadikan hamba mencuci najis dan kotoran kita. Ada pihak lain akan membaiki kerosakan-kerosakan yang kita buat. Akan ada biaya. Masuk semula ke asrama, kita mahu segalanya lengkap. Kipas tidak dibaiki,  ibu-ibu dan bapa-bapa kamu  akan mengadu.

"Katil anak saya kipasnya rosak puan" Mana mereka ambil pusing apa yang kamu lakukan di sini.

Masing-masing kita ada kesombongan tersendiri dan tidak pernah ingat kesusahan orang.

Masing-masing kita ada kepentingan diri. 

Jadi yang penting masing-masing terlepas. Ammar maaruf nahi munkar sudah hilang. Si pesalah akan terlepas.

Ayat-ayat klise yang menjadi jawapan bila ditanya siapa empunya onar; tidak tahu, tidak nampak. 
Alasan klise melindungi kroni dan rakan masing-masing. 

Apa sudah jadi ? Apa yang kamu belajar? Adakah kamu cuma  mengira A, menghitung gajet-gajet teknologi.

Pertanyaan-pertanyaan itu datang bertalu dalam minda.

Hidup ini amat singkat anak-anak. Saya tahu. Masa saya juga tidak lama lagi.

Ada dua penyakit yang tiada penawar. Tua dan mati.

Kita tahu. Kita cuba mengurangkan kesan-kesan penuaan dengan solekan tebal. Menyuntik itu ini.

Walau kita tahu pada akhirnya semua itu tidak berguna sama sekali.

Izrael, Si Malaikat taat pencabut nyawa setiap pagi petang entah berapa kali sehari berkunjung

Dan saya boleh mati di depan papan kekunci ini. Sekarang. Jika Tuhan mahu. 

Dan sedarkah kamu, walau kamu muda remaja sekali pun.

 Kamu pun boleh  mati ketika bergelak ketawa. 

Boleh kejung tangan  ketika kamu mencampakkan sampah.

Lidah kamu boleh kelu ketika meludah merata-rata.

Apologi. Jika catatan manusia kerdil ini mengganggu kamu.