Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

7.9.10

Saya, Khadijah dan nostalgia seekor katak

Sebulan Ramadhan dan 5 bulan menyewa di rumah Wak yang baik hati, percayakah anda saya cuma ditemani sebuah laptop yang sudah rongak askaranya. Sebuah tilam bujang, totoo, sehelai tikar buluh, dapur gas yang kadang (selalu) kehilangan fungsinya, senaskah Al Quran pemberian Kay dan saya berkongsi rumah dengan seekor katak puru.

Ya! Seekor katak puru.

Mulanya, saya jengkel dengan kehadirannya. Selalulah saya menghalaunya dengan menggunakan penyapu. Lama-kelamaan, saya biasa dengan kehadirannya.

Selalu-selalu,saya mengadu dengan Khadijah betapa jengkelnya saya terhadap katak itu kerana kadang kala ia berada di bawah tilam saya.

Dan Khadijah seperti selalu-selalu akan melawak dengan saya "Bela sajalah kak!". Dikuti dengan kekeh tawanya. Khadijah kata saya sudah lupa.

Ya! Barangkali juga. Saya sudah lupa, saya pernah tinggal di rumah bawah beralas tanah. Asal kejadian saya. Abah (allahyarham) dan emak membina pangkin kayu supaya kami bereempat dapat duduk bersila menjamah makanan di waktu apa-apa pun. Puasa, hari raya dan hari-hari selebihnya tiada banyak bezanya buat kami sekeluarga. Di bawahnya, kami berkongsi dengan kadang lima enam ekor katak yang mungkin menjijikkan orang lain. Paling merbahaya, kadang rumah kecil tepi sawah kami dimasuki ular tedung.

Kami, tetap makan dengan berselera juga. Membesar tanpa tv atau kilauan lampu elektrik. Menjadi matang dan dewasa dengan cerita teladan dari mulut abah.

Saya akan berpindah ke rumah kuarters yang lebih selesa selepas hari raya.

Dan saya, akan merindui katak yang sedang melompat-lompat mencari rezekinya di waktu entri ini ditulis.

PS: Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin :)