Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

13.9.12

Random

Apabila blog tidak lagi dibaca oleh ramai orang, maka bolehlah kita menulis secara 'runcit'. Pinjam istilah Hana Tajimakira. (Sila claim royalti ha ha )

Tulis yang ringan-ringan tanpa guna istilah-istilah yang bombastic. Melebih-lebihkan sudu dari kuah (senyum)

Mulakan dengan cerita azam yang tidak menjadi. September sudah sampai separuh hari. 

1. Simpanan saya sangat jauh dari istilah 'cukup' untuk beli tiket kapal selam terbang mau tengok salji.
2. Berat badan bertambah-tambah siap dengan kenaikan kadar cholesterol secara mendadak.
3. Tentang kerjaya, nampaknya tidak berjaya. Tapi saya patut bersyukur kerana ada kerja.
4. Novel, tersangkut di situ lah juga.
4. Cerpen, sudah 2 tahun tidak menghasilkan apa-apa.
5. Sajak, tulis kecil-kecil hanya di blog sebab tengok dan belek-belek sajak saya 'bukan jenis yang tersiar' di media perdana.   

Itu saja. Saya bersyukur. Tapi tidak menipu kadang saya rasa saya memang 'loser'.

Perkerjaan saya, menemukan saya dengan pelbagai ragam manusia. Ada manusia yang penuh kemanusiaan. Ada yang jenis lidah berlipat-lipat. Berbelit. Ada yang berkerja selurus bentul. Melihat telatah mereka, saya kadang tersenyum, kadang hiba.

Oke, kita cerita pasal Paralimpik pulak. Saya bukan peminat sukan. Saya teringin tanya Encik Suami begini

"Abang, boleh tak kita jual pingat-pingat abang, sijil-sijil penghargaan  yang berkotak dalam bilik tu?"

Namun saya sedikit khuatir. Takut kena lempang ha ha. (senyum lebar)

Rosmah - nama dia macam isteri PM. Nasibnya jauh berbeza. di mata orang, dia hanya tukang cuci pinggan dewan makan.  Dia ada cita-cita besar. Mahu pergi London. Rosmah berusia 19 tahun. Ketika gadis lain sibuk berpacaran, dia cuma tahu membereskan kerja - mengelap lantai,meja,tray dan mencuci pinggan. Sambil menyimpan cita-cita mahu ke London.

Marilah sama-sama mengaminkan doanya.

Rozzie - kita tidak perlu cerita pasal dia. Dia kontra kepada watak Rosmah. Kenutungan perniagaan berganda 6 kali ganda gaji saya dan 60 kali ganda gaji Rosmah.

"Bulan ni, saya tak untung kak. Barang mahal,ikan mahal...bla..bla..bla.."

Saya senyum jugak.

Kuli kerajaan - orang kata tidak banyak kerja. Asyik main fesbuk,tweet dan blog. hari Jumaat petang, ber'window shopping'. Itu betul bagi sesetengah orang. Saya kadang-kadang dan jarang-jarang. Tapi kini kebanyakan entri saya adalah jenis berjadual.

Adik tukang masak - suatu hari ada bekas pelajar datang dan hadiahkan dia sesuatu. Tanda menghargai penat lelah memasak untuk mereka. Kebetulan saya di situ tidak dihulurkan apa-apa. Saya cemburu dan kecil hati. Saya macam nak kata " Korang tahu tak, kalau tak kerana perempuan ni korang tak dapat makan sedap dan bancuhan air teh kamu boleh nampak tulang bumbung dewan makan....bla..bla.perempuan ni lah yang bertekak, kena marah,kena kutuk sebab nak bagi korang makan apa yang korang patut dapat. perempuan ni bla..bla..."

Ampun Tuhan. Saya cuma manusia.

Saya cuma biasa-biasa.

Biasa-biasa.

Biasa saja.

Biasa.

Yang kamu temui di mana-mana. 

Saya kesal. Saya resah. Dan saya tersenyum juga akhirnya.

 Eheh, 'runcit' ke ni? (senyum lebar-lebar)

5.30 pm
13 September 2012 (sesudah selesai ber'meeting)






12.9.12

Nota kecil untuk cinta

i/ 
 Walau engkau telah mekar
kami berdua hilang kesaktian
untuk memiliki harummu


ii/
Khabarkan jua pada hujan
Janji telah kami larutkan
dalam renyai rintiknya semalam

Ceritakan jua pada angin
Janji terbang seperti terbangnya
debu dandelion

iii/
Yang tersisa barangkali
Ikrar yang kami kotakan
disaksikan Tuhan. 

Banting
3.18 am

Via Google.com


(Kawan,janji denganku kamu akan menari walau hatta dalam hujan sekali pun)
 
 



7.9.12

Dalam keterbukaan yang kita cipta, teks menjadi kaku. makna menjadi beku.

....atau barangkali sudah tiba waktu kita sama-sama mengucapkan selamat tinggal. 
Tapi kau larang aku. 

" Jangan dulu..."

Sumber foto
Tunggu sehingga hujan benar-benar teduh. 
Tunggu sehingga hablur-hablur salji menjadi cair 
Atau jejarimu benar-benar tidak mampu ketuk papan kekunci lagi.

Tunggu sehingga kau padamkan juzuk-juzuk memori tentang kita.



3.9.12

Rapuh & Larut



September, daun-daun pohon besar di tepi pohon bamboo mula luruh. Rantingnya separa polos, daun-daun yang masih tinggal berwarna kuning keperangan.  Daun-daun yang gugur berserakan memenuhi kiri dan kanan jalan ke tempat kerja. Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya masih dengan tabiat kesukaan saya. Setiap kali pergi dan balik kerja berminit-minit akan saya habiskan berhenti sebentar sambil memerhatikan pohon besar itu.

"Saya di sini bersama kamu. Bayangkan saja, pohon yang sedang kamu pandang itu adalah pohon Marple dan daun-daun keperangan yang gugur adalah kita." Entah dari mana-mana suaranya datang. Berbisik ke kuping telinga saya.

Saya berpaling. Suara itu terus hilang. Bersama pagi yang mulai ranum. Cahaya mentari terus bangkit. Kadang saya gagal bangun dari mimpi yang panjang.

Malam nanti suara itu akan larut dalam rintik hujan yang melebat. Hilang dalam pekatan malam yang panjang.

Oh! Saya menipu. Ia tidak pernah larut walau saya rendamkan dalam asid sulfuric pekat sekali pun.  Suara itu terus ada dalam di setiap denyut nafas saya.

Saya tidak ingin bunuh apa-apa yang ada. Saya memilih untuk terus hidup bersamanya. Saya mahu ia menjadi sumber inspirasi. Suara itu dan kenangan yang menempel bersamanya mengajak saya bangun dan terus menulis.

Seperti mana saya terus bangun, bersiap seadanya dan keluar berkerja. Kadang niat saya betul, kerana Tuhan. Kadang kerana habuan duniawi semata.

Ah! Betapa sukar. Menjaga seketul daging yang satu ini.   
Kadang teguh. Kadang rapuh


PS : Lagu tema bulan ini - Rapuh. Ditujukan kepada Hana Tajimakira. Terima kasih kerana datang beraya di rumah dan memuji keenakan sambal tumis udang saya. Pujilah lagi ::))))
Saya memang pandai memasak. Tajuk entri pun dah ala-ala Hana Tajimakira (harap dia claim royalti ha! ha!)