Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

19.12.10

Cerita yang pelbagai

Lantaran kesibukan berkerja, belajar dan rutin harian seorang isteri saya semakin jarang menulis dan mengemaskinikan blog. Tugas sebagai 'makcik penyelia asrama ' bukanlah semudah yang saya duga.

Kalian tahu, menulis blog atau cerpen adalah lebih mudah daripada menaip surat-surat rasmi dan memasukkan data-data inventori. Lebih mudah berkerja sendirian daripada berinteraksi dengan sekumpulan manusia yang menerima saya sebagai insan 'normal'. Sejujurnya, saya lebih suka diri saya diterima 'seadanya' bukan insan istimewa atau sebarang label pun. Akhirnya, saya terpaksa mengakui kebenaran. Saya memahami kenapa Morita san mengatakan saya tidak sesuai bekerja di pejabat.

* * *

"Boleh menulis? Boleh membaca ?" Ayat klise yang selalu dajukan kepada saya dan Encik Suami. Saya maklumi, bukan maksud mereka untuk menghina. Saya fahami, kebanyakan individu seperti kami yang mereka temui merupakan 'slow learner'. Tapi jauh di sudut hati, saya merasa sebal amat dengan pertanyaan-pertanyaan sebegitu.

* * *
Kata Khadijah, usah merungut. Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk saya. Dan, saya yakin Tuhan tidak akan membebankan saya dengan sesuatu yang di luar kemampuan saya.

* * *
Sebuah puisi pendek pantas

Secawan Mocha

Mahal harganya
Kita kongsi bersama
mahal nilai cinta
tiada yang setara
kita raikan apa yang tertunda


~ Pasar Seni ~
19/12/10

* * *
Hari ini, pergi dan pulang saya ke dewan peperiksaan ditemani rintik hujan sepanjang perjalanan. Bicara Bayan dalam gurauan kami siang tadi, suhu sejuk beku di dewan peperiksaan, sengaja diada-adakan supaya kita gagal mengingati apa yang dibaca. Apabila kandas, pihak berkenaan mendapat untung. Sekarang saya sudah punya modal. Jika saya kandas, saya akan salahkan suhu dan pihak berkenaan itu. (*senyum*)

* * *
Hari ini saya berkenalan dengan seorang lagi insan yang tabah. Dia membeli oksigen untuk kesinambungan hidupnya. Dia membuatkan saya berfikir; apalah sangat penderitaan saya yang terpaksa menelan berbiji-biji ubat setiap hari jika dibandingkan dengan dirinya.

Cik Ani, gembira berkenalan dengan awak!

ps: Barangkali ini entri terakhir untuk tahun 2010.