Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

14.9.09

Salam Aidilfiri


Catatan-catatan yang ringkas-ringkas sebelum kepulangan hari ini jam 11.00 am. Destinasi, sebuah kampung yang sering ditengelami air kerana sistem perparitan yang teruk walaupun hujan lebat turun selama sehari tanpa henti. Kenderaan, dengan tambang paling efektif (kata bapak menteri) ;walau kenaikan berlaku setiap kali musim perayaan.


Sibuk dan kesibukan yang entah apa-apa, tiba-tiba menjadi seolah gerila perang yang paling ganas menyebabkan aku ketandusan idea mengemaskinikan blog, kecuali laman sajak. Sajak/puisi merupakan cara paling ringkas mendokumentasikan pelbagai emosi dan peristiwa.



Sewaktu Coco kutinggalkan di klinik veterina semalam, terasa seolah aku seorang ibu yang paling kejam. Meninggalkan bayi luar nikah di dalam tong sampah. Selama sepuluh hari, tentu montel badannya susut. Ia bukan kucing yang sukakan makanan palet. Coco sukakan kembung rebus atau tulang-temulang, kaki-kaki ayam yang aku borong di pasaraya Mydin Putrajya dengan harga yang paling murah.




Kucing-kucing liar di luar, yang bakal aku tinggalkan mungkin kurus dan anak-anak kecilnya diharapkan terus survival. Duhai kucing-kucing! Aku berdoa, agar ada rezeki kamu. Mungkin tupai-tupai kecil, burung-burung dan tikus akan menjadi santapan kamu. Biar tidak disenangi jiran, dan pegawai pernah memanggil suamiku kerana aduan mereka; aku terus curi-curi menghulurkan kamu makanan. Ketika anak-anak kalian membuang segala mak nenek sampah sarap hingga tersumbat lubang air dan longkang, kami tidak pula mengadu dan mengampu. Kami sedar, kami minoriti walaupun pusat OKU ini dibina untuk kepentingan kami. Ampun maaf jiran-jiranku, di hari-hari yang baik dan di bulan yang mulia ini.

Ya! Aku pasti rindu blogging. Kampungku hanya ada sawah padi. Café siber, agak jauh. CC dalam kampung, hanyalah topeng. Ianya, hanya premis yang dikunjungi anak-anak muda kampung yang buta IT. Hanya tahu habiskan masa dan wang dalam mesin slot judi. Menonton benda-benda haram sambil menghidu ganja rokok. Ada laporan, namun tiada siapa menyita kerana yang bikin onar itu orang ada-ada dan berkuasa. Hey! Semua bisa dibeli, didagangkan asal kamu punya wang. Pihak penguasa pun tutup mata.

Aku berangkat awal kerana mak sedang sakit. Kata Khadijah, mak sudah tidak boleh menelan makanan pejal lagi. Hanya bubur, kadang nasi yang dikisar dan minuman bersusu. Dan emak bukan suka minum susu.

Salam lebaran untuk rakan-rakan siber, terutama untuk TM, Nizam Ariff, Alina, Mugiwara, Amalina,Kak Lah,Atiqah, Kak Ungku Noor. Pa’chik El, cikguooden dan beberpa pengunjung baharu. Tidak lupa juga, untuk mereka yang “hip” seperti Encik Marsli N.O, Bro Pyan, Jenderal Sindikit Soljah, Tok R, Rahmat Haron dan AJ. Dan yang kadang berkunjung – Oe, Encik Tajuddin, Bunga Rampai, Bluehikari, Deen, Sastri dan bro Blackpurple (mana menghilang bro?). Kepada Akhi Shah, Doc TA dan Naha Kurau saya sudah hilang nombor telefon kalian (Mereka antara pengunjung awal blog saya). Tak lupa, untuk Danny Kerp, Kak D, Kak Bani, Purplecat dan semua kenalan Geng Jurnal. Terima kasih untuk yang membaca senyap-senyap dan yang namanya tidak tercatat di sini. Juga untuk pengikut laman ini, laman puisi dan fiksi, terutama untuk saudara Zulkifli Mohamed. Halalkan kata senda yang kadang mungkin menyinggung rasa.




Sedikit upated kepada yang menempah naskah “SALUN ESOTIKATA
1. Zulkifli Bin Mohamed
2. Mohammad Azrol bin Osman
3. Rahimin Idris
4. Cikguoden via ym
5. Nizam Arif via sms
6. Tasik Merah(Ain aka PAM haha!) via sms
7. Kak Lah via sms
8. Mugi – belum email
9. Kak Ungku Noor by hand kat Maskara (akak betul-betul nak ke ni?).
10. Ira Nadhirah Ismail

Kepada yang ingin menempah,tempah masih dibuka.

(Sempat lagi promo tu hahaha!)

Salam Aidilftri. Maaf Zahir Batin. Panjang usia ketemu lagi untuk Ramadhan yang mendatang.

ps: Eh! Ringkas ke ni?:)



8.9.09

Suatu malam Ramadhan


Suatu malam Ramadhan entah mengapa mata tidak dapat aku lelapkan. Sulit sangat terpejam. Aku pulas-pulas tombol radio buruk dengan empat beteri yang hampir putus nyawa. Bosan. Tiada satu pun menarik perhatian. Udara panas, tambah rancak mengganas. Tambah gelisah dan mood mahu tidur hilang ditelan udara panas dan nyamuk-nyamuk rancak berdendang di tepi telinga.


Aku melirik ke arah jam dinding. Sudah dini hari. Tiba-tiba teringat akan malam ini lima belas purnama. Bulan pasti terang dan cantik. Aku bergegas keluar ingin menyaksikan kalau-kalau ada bintang jatuh. (Sebenarnya, aku mahu tengok kalau-kalau ketemu Lailatul Qadar, katanya pohon-pohon pun sujud ke tanah; menyembah Yang Esa). Zaman anak-anak, tidak banyak yang kita tahu.
Benar! Tapi bukan bintang yang jatuh. Ada seekor ibu kucing yng comel dibuang di hadapan rumah. Bersama lima ekor anaknya. Anak-anak mengiau-ngiau minta disusukan, sedang si ibu mengiau kelaparan.


Kasihan! Aku ambil lebihan makanan Cutie, lalu ku hulurkan pada ibu kucing itu. Dan ku angkat anak-anaknya satu persatu. Aku masukkan ke dalam kotak yang dilapik sehelai tuala lusuh.
Ya! Pada saat aku melihat ibu kucing itu, aku terjatuh sayang padanya, dan anak-anaknya yang masih menyusu. Kini, Cutie akan mempunyai teman-teman dan aku harap ia tidak tidak akan menyombong diri.


Walau abah dan emak membebel-bebel, mereka juga tidak sampai hati membuang kucing-kucing yang aku pungut di jalanan. Tidak pasti. Samada abah dan emak juga sayangkan kucing. Dan yang aku pasti mereka sayangkan aku.


Aku masih ingat kata-kata abah “Barangkali kita yang berdosa ini, menumpang rezekinya. Bukan kucing-kucing ini yang menumpang rezeki kita”.


Nota kaki:
Catatan ini sekadar mengenang Allahyarham abah yang pergi sehari sebelum Syawal 2004 menjelang.


4.9.09

Sudah Terbit: SALUN EKSOTIKATA


“Menurut kata Cina printer, buku tersebut akan siap dicetak pada 17 atau 19 September. Dan, oleh kerana 20 September tu kita dah nak raya dah - kami percaya, anda semua tak akan peduli pun kalau disuruh datang ambil buku ni pada tarikh tersebut, ha ha.”

~ Tuan Jenderal Sindikit Sol-Jah~

Via email.

Kepada peminat puisi penulis-penulis lain, jika mahu menempah dengan saya,anda dialu-alukan. Untuk makluman, buku kompilasi /antologi puisi ini akan berada di tangan saya selepas hari raya. Jadi, mulai sekarang (jika anda berminat memiliki) sila kumpul duit raya sebanyak mungkin.

Tempahan boleh dibuat sekarang melalui email
sicksadcity@yahoo.com dengan kata kunci “ SAYA MAHU SALUN EKSOTIKATA” dengan menyatakan nama, alamat dan nombor telefon untuk dihubungi.

Harga pasaran (ketika sorokan gula berlaku) adalah RM15.00 senaskah. Jika anda mahu sampai laju dan selamat, tambahan kos pos-mengepos adalah di bawah tanggongjawab anda.

Di pihak saya, cuma ada 21 naskah yang bakal dijual; di mana 4 naskah lagi adalah naskah simpanan.

Tempahlah sekarang, sebelum anda mengigit kuku!

Nota kaki:
Saya sekadar menumpang tuah penulis/pemuisi/penyair popular dan terus terang, saya juga mungkin akan terkena penyakit Parkinson jika disuruh mendeklamasikan puisi.
Jutaan terima kasih untuk teman-teman siber yang setia membaca laman Water Lily.
Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Encik Sinaganaga dan Cik Alina serta Soljah kerana saya berpeluang membukukan puisi "budak tua baru nak belajar "itu haha!
Tidak lupa, kepada saudara Marsli N.O yang menulis prakata untuk naskah ini serta galakan beliau untuk saya menulis, mengumpul dan menerbitkan karya-karya saya secara solo dan berdikari.