Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

24.7.09

Cerita sepasang kasut


Pada suatu hari yang kurang enak, Dee kawan saya sakit. Dia meracau macam orang kena rasuk dan terus pengsan.

Bila sudah sedar dari histeria, Dee bangun. Mencari-cari, ke mana pula hilang kasutnya.

Saya pun membantu. Okay jumpa sebelah cuma!

Saya terus mencari. Dan lagi. Dan lagi. Bawah katil. Tiada. Bawah loker pun tiada.

Hampir lima belas minit. Saya fikir-fikir. Takkan ‘saka’ yang ada itu sorokkan kasut Dee pula.

Setelah puas menjengok intai sana-sana, sini sini dan situ situ, akhirnya saya mengalah.

“Tak jumpa ler selipar yang sebelah lagi tu. Dee”

Dee dan kawan-kawan yang lain pandang saya semacam. Dan Tie tiba-tiba bersuara “ Bila masa pula kak Dee pakai sepasang kasut.?”

Oh Tuhan! Saya lupa. Benar-benar lupa. Kaki Dee cuma sebelah. Sebelah lagi diambil Tuhan.

Kami ketawa berjemaah.

*dalam hati, saya sedih sebenarnya*

Nota : Sekarang Dee sudah ada kaki palsu. Dan dia boleh memakai sepasang kasut. Walaupun keadaannya tidaklah sesempurna yang Tuhan ciptakan :)


19.7.09

Tentang kematian


Jika boleh memilih, tiada siapa pun mahu mati dengan cara yang paling dajal. Maksud aku, diselubungi misteri dan tragedi.

Semua mahu mati di atas tilam paling empuk!

Di kelilingi insan-insan tersayang yang mendoakan kesejahteraan kita memulakan perjalanan ke alam baharu.

Tidak kisah apa ras atau kepercayaan atau ideologi potitik; manusia punya keinginan yang hampir sama walau tidak serupa.

Tiada seorang pun mahu mati hangus. Mati dengan tubuh bersepai. Atau mati dengan tubuh diletup dan dikecai-kecaikan mahu pun dikerat lapan.

Jadi, sekalung tahniah untuk manusia yang sanggup mengambil nyawa manusia lain atau menyebabkan kematian mereka dengan cara yang tidak dipinta.

Tanpa hak!

* hari ini aku dalam kesakitan dan aku pun menulis fasal kematian *

Tiada kena-mengena dengan soal politik okay!

PS: Sebenarnya aku risau “mati” di bawah akta yang bernama penindasan.

Aduh! Di sini sahaja, jari sudah mengebas.

* senyum *


15.7.09

Ayat cinta untuk jejaka pencuci baju


Ya, kalian tahu aku sangat suka mencari dan melompat dari blog ke blog. Pendek cerita laptop aku ni, jika dia ada boleh bersuara maka mungkin inilah madahnya.


"Sudah-sudahlah lu menekan keyboard, menghadap skrin dan mengheret tetikus. Gua dah naik menyampah tengok muka lu, Lily".


Tapi ia hanyalah laptop tanpa perasaan dan suara.


Berbalik kepada pokok persoalan. Hari ini, aku jumpa seorang jejaka dan aku suka cara dia membasuh baju. Blog dia di sini.


P.S. I LOVE YOU. Selamat membasuh baju hahaha!

13.7.09

Telah aku pelajari luka-luka silam yang menendang setiap detak jantungku. Dan aku berhasil, kadang tidak kawan!


~Telah aku pelajari luka-luka silam yang menendang setiap detak jantungku. Dan aku berhasil, kadang tidak kawan! ~

*******

Berbekal mantra dan do'a dari kitab suci yang paling suci dan buku-buku ensiklopedia psikologi, telah aku tukarkan segala menjadi serum yang mampu menghanyutkan segala pedih, mengelupas segala duka yang menyesak denyut nafas. Serum itu juga membuat binasa segala rasa putus asa yang telah lama berlonggok berbonggol di dalam dada.

*********.
Namun aku ini hanya manusia biasa kawan! Apabila diri terasa dihina dan diludah maruahku di hadapan khalayak, jangan kau suruh aku bersabar dan berdiam. Telah lama; berabad rasanya aku berdiam dan tahu aku menangis cuma.

*************
12 Julai, jam sebelas pagi berlokasikan kaunter bayaran sebuah pasaraya aku bertemu makhluk betina yang paling kurang adab sebagai manusia. Puncanya, sebesar kuman sahaja. Dan aku mengakui kekhilafanku; mengambil barang tanpa melihat wang di kocek sama ada mencukupi atau tidak.

Malangnya, cara aku dilayani macam pengemis. Macam pencuri. Walaupun diminta menanti sementara suami bergegas ke bank berhampiran; semua barang-barang yang dikira dikeluarkan satu persatu sehingga genap jumlah wang yang dibayar.

Tidak cukup dengan itu, kau makhluk betina penjaga kaunter sempat lagi mengeluarkan kata-kata keji di khalayak umum.

“Dah tahu tak cukup duit, ambil barang banyak-banyak”Sambil bibir merahmu mencebik. Tika itu, aku melihat kau sekecil semut api. Mahu sahaja aku lenyek mampuskan.

Aku tahu, jika aku seorang Rosmah Mansor atau isteri jelita Dato’ K atau isteri cantik Asmawi Ani tentu kata-kata dajal itu tidak keluar dari mulut kau bukan?

Minggu ini, aku juga berada dalam mood yang kurang ummphh perempuan kaunter! “Kau ingat laki aku tak berduit. Jaga mulut kau sikit perempuan. Kau tu cashier saja. Mentang-mentang aku macam ni, kau ingat aku bodoh. Kau tu yang bodoh!”
Oh! Sungguh tidak kuduga sama sekali. Tiba-tiba mulut aku yang diam terkunci, boleh menjadi begitu kurang sopan (bacaan sebenar: kurang ajar). Dan tidak pula aku rasa menyesal.

“Nah! kau angkat semua barang-barang ni, dan pulangkan duit aku” Tiada lagi istilah adik-kakak. Bukan masanya nak ber’cik-puan’ atau ber’saya-awak’ dengan dia.

Seorang lelaki (mungkin penyelia dia) menghampiri aku. “Maaf puan, kita settle aja. Kami minta maaf!” Berbunyi nada yang paling ramah dan ikhlas.

Jika tidak kerana kesuntukan masa, mengenangkan kucingku dan kucing-kucing liar yang perlu aku suap makan; barang-barang itu sudah aku pulangkan. Silap-silap, ku baling percuma sekampit whiskas ke muka comel betina yang meletakkan otak celah t**********t itu.

********
Bagi kebanyakan mereka, kami manusia Cerebral Palsy hanya manusia kelas dua. Kamu dan kamu dan kalian yang telah lama bersedih; ayuh! mari belajar bahagia bersama kami.

P.S. ~Telah aku pelajari luka-luka silam yang menendang setiap detak jantungku. Dan aku berhasil, kadang tidak kawan! ~

11.7.09

Pengumuman


Maaf, dalam penyelengaraan. Harap maklum. Tuan punya blog sedang 'gila' berekspresi dengan template baru. Link anda akan dimasukkan kemudian.


hahaha!

9.7.09

Sayang


Sedar tak sedar sudah dua tahun menulis di sini. Sudah ada enam blog. Satu sudah ditutup. Satu hidup segan mati tak mahu. (kes tak tahu delete akaun wordpress). Dua lagi kurang aktif (rasa nak tutup juga). Dan dua lagi agak aktif

Akaun Tagged sudah delete. Freindster terlupa password (tak dapat delete).

*menulis dalam mood yang paling bosan gila *

Maaf entri di bawah tidak dijawab kerana tuan punya blog sekadar mahu memperkenalkan siapa dirinya si sebalik topeng Water Lily kepada pembaca baharu. Terima kasih untuk Reverie kerana fokuskan entri tersebut di lamannya.

*menulis dalam mood khayal ubat-ubatan tahap gaban*

Selamat menulis, untuk blogger-blogger baharu.

TUTUP....ah! ada-ada sahaja yang menjadi alasan agar tidak ditutup.
Contohnya, ternati-nanti untuk mengiklankan sesuatu yang penting!

*mau berhenti sekejap, tangan dan jari-jari menggeletar*

3.7.09

Cerita bahasa dan sekeping sijil yang terkurang nilai


Ini adalah sebuah cerita luka. Luka yang pedih sehingga saat kisah ini ditulis. Cerita sekeping kertas bernama sijil yang terkurang nilai.

Tahun 1987, saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Berbekalkan lapan matapelajaran yang diambil, enam daripadanya saya telah perolehi kredit dan gagal sepenuhnya untuk dua lagi. Metematik dan Bahasa Inggeris. Walau berjaya memperolehi pangkat satu, sijil itu tidak berjaya membawa saya ke mana-mana. Ketika rakan-rakan seusia berjaya ke universiti, maktab perguruan, politeknik, atau ITM (waktu itu); pilihan yang saya ada hanyalah berhenti sekolah atau memasuki tingkatan enam. Malangnya, keputusan STPM saya juga kurang memuaskan dengan satu principal, saya hilang arah tujuan.

Namun saya bukan jenis yang mudah berputus arah. Sampai kini, saya masih belajar, berusaha agar tidak ketinggalan. Tahun hadapan merupakan tahun terakhir untuk saya mengisi borang SPA. Perkerjaan terbaik yang pernah saya perolehi ialah bekerja sebagai pembantu guru dengan elaun harian RM30 sehari dengan lima hari berkerja dalam seminggu. Jika cuti umum atau cuti sekolah, pendapatan saya bertambah mengecil.

Sebelumnya, saya pernah berkerja di kilang, kedai makan dan amah. Sekali pernah, saya dibayar gaji hanya RM80 sebulan. Saya redha. Saya tahu, saya tidak boleh memilih. Saya terpaksa bersaing dengan mereka yang lebih berkeupayaan dari saya.

Dan pernah sekali, saya hilang akal selepas balik dari temuduga. Saya mencapai sekotak mancis dan hampir-hampir membakar sijil-sijil yang saya miliki. Nasib baik, Khadijah menyabarkan saya dengan kata-kata yang saya kenang sampai kini “Kak, bukan kertas ini, yang memberikan kita rezeki”.

******
Bersekolah waktu di tingakatan tiga, keputusan Sijil Rendah Pelajaran(SRP, sekarang PMR); keputusan saya agak memuaskan dengan aggregate A14. Semua subjek mencapai keputusan sekurangnya kredit empat ke bawah kecuali subjek Metematik. Menyedari keputusan itu kurang bagus, ditambah dengan tangan saya yang terketar-ketar pertama kali masuk ke makmal subjek Kimia, seorang guru menasihatkan saya bertukar aliran. Cara dia memberikan”nasihat”sampai kini, menjengkelkan saya setiap kali dikenang. Maka, belajarlah saya bersama pelajar-pelajar tercicir, ponteng kelas dan seribu satu kenakalan di kelas aliran Sastera sewaktu berada di tingkatan empat dan lima. Kelas untuk pelajar "bodoh" kata mereka. Guru-guru pula pelbagai ragam. Misalnya, ada yang masuk kelas berceramah poltik, tabligh dan yang paling “bagus” guru Metematik. Sehari hanya satu soalan latihan untuk kerja rumah. Guru Bahasa Inggeris, mengajar dalam Bahasa Malaysia.

Kepada guru-guru yang saya kasihi (samada yang masih ada atau telah tiada), semoga Tuhan mengampuni kalian kerana mengkhianati amanah.

*****
Saya tidak menafikan kepentingan Bahasa Inggeris. Dalam masa yang sama, saya tidak mahu meludah dan memijak bahasa ibunda saya. Apabila sampai ke pusat pemulihan untuk orang kurang upaya, saya secara sukarela masuk ke kelas asas Bahasa Inggeris. Seorang guru, mengajar kami pun secara sukarela selepas tamat syif kerjanya yang sebagai pembantu perubatan Hospital Kajang. Mulia sungguh hati lelaki, yang kami panggil cikgu Syah ini. (Beliau kini, berada di Australia, melanjutkan pelajaran di bidang perubatan)

*****
Di tempat kerja lama saya, Bahasa Inggeris digunakan secara meluas termasuk dalam mensyuarat, surat-menyurat, menulis laporan dan lain-lain. Lihatlah bagaimana bahasa penjajah ini, telah memijak lunyai bahasa kebangsaan Negara.

*****
Tahun pertama dan kedua, modul-modul subjek teras di sebuah universiti di mana saya menyambung pelajaran sekarang menggunakan bahasa kebangsaan. Kemudian ditukar pada tahun berikutnya, dengan alasan untuk graduan yang konon lebih berdaya saing. Kelas saya,pada asalnya ada empat lima orang (termasuk saya) yang berumur "makcik-makcik"ramai telah berhenti. Tutor, yang tugasnya cuma membimbing, kini terpaksa menjadi penterjemah modul sewaktu di kelas. Itu jenis yang bersikap baik hati. Yang selainnya "lantak engkau le, kalau nak pandai".

*****
Sekarang, saya cuba menjadi realistik. Saya tidak mungkin membina blog, menukar ‘template’ jika saya buta lansung bahasa ini. Tapi pada waktu yang sama dan entah kenapa saya merasa ‘sakit’ dan ‘malu’ melihat bahasa kebangsaan negara dipijak-pijak lunyai dan diludah oleh bangsanya sendiri di atas tiket ekonomi, kemajuan dan pembangunan.

Kera-kera bahasa ini disusukan pemerintah, dan anak-anak bahasa kebangsaan seolah merempat kebuluran di tanahair sendiri.
"Penyertaan dan menyamaan penuh peluang untuk orang kurang upaya". Slogan ini pun, kadang-kadang buat saya rasa mahu termuntah.