Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

25.2.09

Cerita ini hanya fiksyen okay!

Dulu-dulu. Beberapa tahun yang dahulu. Amy berkenalan dengan Shimada san kerana projek teater tanpa dialog itu. Usai, seisi latihan dan dia akan duduk-duduk bersama Amy. Kadang berdua. Kadang bertiga dengan Lorna. Kadang berempat dengan Petra.

Kerapnya mereka berdua. Mereka pun berbual. Bukan pasal babi. Atau pasal politik. Atau pasal duit. Bukan pasal seni lakon. Tapi pasal cinta. Tentang hubungan lelaki dan wanita. Pasal cinta okay!

Suatu hari, Amy bertanya. Sekadar ingin tahu. Lansung tanpa maksud tertentu. Tiada sebarang agenda. Tiada udang di sebalik mee (kata budak-budak nakal yang suka merosakkan peribahasa Melayu).

“Shimada san, jika awak jatuh cinta dengan orang kurang upaya, adakah awak sudi kahwini dia?”

Terkebil-kebil kedua bebola mata Shimada san. Soalan cepu emas Amy itu, seakan perangkap maut buat dia. Menuntut satu kejujuran yang maha telus.

Shimada san tidak menjawab. Sehingga habis berbatang benda berasap toxic itu disedutnya. Dan Amy, menanti jawabannya hingga bercawan-cawan caffeine dihirup. Sehingga seisi rehearsal bersambung semula. Kadang kala, Amy perasan, cara Shimada san merenungnya. Aneh! Tapi Amy, pura-pura tidak ambil pusing.

Esoknya, mereka akan duduk-duduk lagi. Kadang berdua. Kadang bertiga dengan Lorna. Kadang berempat dengan Petra.

Kerapnya berdua. Mereka pun bersembang lagi. Tentang topik yang sama. Seperti biasa, soalan Amy tidak akan berjawab. Shimada san buat muka selamba, apabila Amy atau Lorna membebel-bebel tentang rokok. Dan, Amy perasan kadang kala, nafas Shimada san berbau arak.

Lusanya mereka berborak lagi. Dan, pada suatu malam Shimada san, via khidmat pesanan ringkas berkata “Jika saya bertemu dengan seorang perempuan, seperti kamu, akan saya kahwini perempuan itu dalam apa keadaan sekalipun.”

Amy delete sms itu. Amy bimbang, suaminya yang baik budi itu membaca sms tersebut dan tersalah tafsir. Sungguh! Amy tidak menyangka jawaban begitu.

Shimada san telah kembali ke Tokyo beberapa minggu yang lalu. Amy tidak sempat menemuinya. Mungkin itu untuk terakhir kali.

Amy akan sentiasa mengenang kebaikannya. Kemurahan hatinya. Tapi sama sekali, tidak Amy cuba untuk bermain api.

Betapa dalam hidup ini, kadang waktu kita diuji dengan perkara yang bukan-bukan. Takdir Tuhan mengatasi segala kemahuan kita. Rencana Tuhan adalah yang terbaik untuk kita.

“Shimada san, aku melihat kapal terbang di langit dari balkoni rumahku; dan aku akan sentiasa mengingati kamu” Selalu Amy bergumam sendirian.

Setiap malam apabila dia melihat kapal terbang di langit. Dari balkoni rumahnya.

Titik!

21.2.09

Pabila bersedih,harus saya ucapkan terima kasih.


Al Qur'an dan payung kertas hadiah dari Kay. Tapi Kay meminta saya tidak paparkan wajahnya.




Pabila bersedih-sedih atau bersusah hati, kebiasaanya saya tidak bercakap dengan siapa-siapa. Saya pergi ke hamparan sejadah, tapi ada waktu duka itu tidak mahu nyah pergi. Degil sungguh ia!

Saya bermonolog “Oh! Tidak boleh berputus asa”. Nanti hati boleh binasa kerana selalu mengikut rasa.

Saya pujuk-pujuk diri, lantaran tiada siapa mau memujuk saya. “Oh! Saya kuat dan tabah” Sambil mengelap air mata (dan air hingus juga hahaha!)

Lalu, saya buka almari melihat mug-mug yang saya kumpul dan hadiah dari teman-teman yang sentiasa saya hargai. Sekarang, keadaan ekonomi gawat. Saya sudah tidak mampu mengumpul apa-apa termasuk buku-buku atau mug kerana tidak bekerja. Jika ada pun,ia pasti hadiah dari teman-teman. Di Masakra lalu, saya mendapat hadiah dari Taf Teh dan Alina.

Minggu lalu, saya bertemu dengan seorang teman blogger dan dia menghadiahkan saya sesuatu kerana entri ini. Terima kasih Kay. Terima kasih kerana membuatkan saya teringat tentang kedatangan kita dan kembalinya kita kepadaNya melalui pemberian yang cukup bermakna ini. Semoga kamu diberkati dan dimurahkan rezeki. Ameen!

Terima kasih juga untuk Satri, Iza dan Atiqah. Saya tahu, Iza tidak mahu saya publishkan. Tapi saya perlu, melakarkan ucap terima kasih untuk teman-teman yang mengembirakan saya. Saya rasa, saya perlu bersyukur. Malah wajib!

Dunia maya dengan identiti Water lily menjadikan saya tahu, ada kenangan manis yang harus dikekalkan dalam ingatan. Ada episod duka yang harus dilupakan sejenak. Saya tahu, saya tidak semalang yang saya sangkakan. Dan seharusnya saya berbaik sangka dengan semua makhluk Tuhan.

Terima kasih untuk persabahatan tanpa wajah dan kerana membaca repekan saya yang kadang kala entah apa-apa!

Saya hargai!

Ps: Blog ini tidak akan dikemaskini sekerap dulu. Jika rindukan saya, baca saja yang sebelah terang.

13.2.09

Carutan serba ringkas saya.




Saya memang suka bercerita. Maksud saya dalam blog sahajalah. Kalau di luar saya agak pendiam. Lebih-lebih lagi kalau Abdul Razak ada. Dia suka memotong ayat-ayat saya. Kadang kala memang saya radang.

Oh ya! Tadi saya menghadiri satu seisi temuduga. Saja! Test market konon! Walau saya sudah maklum jawabannya. Kecewa? Bila berpuluh kali saya diberitahu kebanyakan jawatan yang dipohon tidak sesuai untuk saya, apa patut saya merasa kecewa.

Kesimpulan saya tentang majikan-majikan yang mendaftar untuk mencari pekerja secara online – Kamu semua (termasuk yang swasta, agensi pekerjaan dan SPA) memang bangang! Bodoh tahap dewa! Kalau kamu tidak mahu menggaji pekerja kurang upaya, mengapa panggil kami datang temuduga. Bukankah sudah tercatat dalam talian/resume, kami adalah kurang upaya, siap dengan jenis kecacatan dan nombor pendaftaran sekali. Apa kamu buta?

Kamu hari itu, menganjurkan ekspo pekerjaan untuk orang kurang upaya konon! Gah! Dengan makan-makan tempah catering lagi. Konon-konon prihatin sungguh kamu terhadap nasib kami. Maka, eloklah kamu rujuk makna prihatin dalam kamus dewan. Maklum, kamu bukankah para pegawai berpangkat lulusan universiti belaka. Saya cuma risau kamu terlupa makna prihatin dalam bahasa ibunda.

Kamu tahu, salah seorang teman saya berkerusi roda datang dari Perak menyewa teksi RM500 semata-mata mahu menghadiri ekspo tersebut. Harapannya sungguh menggunung. Dia mahu berkerja. Apa hal, tiba-tiba dia hanya disuruh mengisi borang itu, borang syarikat A, borang kilang B, borang super hypermarket C. Kemudian diberitahu jika ada kesepadanan, akan dipanggil untuk seisi temuduga. Bagi yang berkelulusan setaraf dengan kamu (macam saya), kamu suruh saya isi secara online. Saya rasa macam mahu mencarut. Kalau sekadar hendak mengisi borang secara online, tidak perlulah kamu buat ekspo-ekspo dan membazir duit pembayar cukai. Kami bukan buta IT; CC pun bersepah-sepah merata ceruk kampung.

Saya sudah lama hendak menulis ini. Tapi saya takut. Malam ini tiba-tiba saya jadi berani. Hendak saman saya? Silakan. Saya sudah bosan menjadi pengecut.

Maka sesudah seisi temuduga bodoh tadi, dengan riang ria saya mendail nombor adik botak saya. Saya rindu sebab hampir beberapa lama tidak ketemu. Seperti selalu-selalu, kami berbual-bual sambil mengutuk kamu yang sangat prihatin.

Saya siarkan foto-foto kami di sini. Lihat betapa gembiranya kami. Walau elaun kami telah dipotong.

Sekian. Carutan serba ringkas saya. Mencarut banyak-banyak pun tiada guna. Kamu bukan pandai baca blog. Kamu bukan pandai menjadi manusia!

11.2.09

Selamat Ulangtahun Khadijah.


Selamat hari lahir Khadijah. Moga kau bahagia adikku!
Kau sahabat, kau saudara dan kau cerminku!.

Secebis puisi buat kita berdua.

DALAM MIMPI

Dalam mimpi
Kau tabur kelopak-kelopak mawar dan tulip
Dengan ghairah aku kutip
Sambil berlari wajah sesekali mendongak ke langit
Melihat bintang-bintang berkelip


Kita sama-sama cari cinta
Di dalam dan bukan luar sana
Kita sama-sama mahu sempurna
Genggam erat tangan kita bersama

Jangan lepas walau taufan datang
Istana pasir pun tidak bisa runtuh goyang

Ada kala
Aku bosan bermimpi indah
Bila terjaga hati tiba-tiba patah hiba gundah
Aku benci merasa hampa
Setiap kali tercelik mata.
.........................

9.2.09

Maskara dan teman-teman yang 'hip'

Dewi yang selamatkan kami semasa sesat dekat Muzium Negara(sorry akak lupa namanya lagi)


Cikgooden


Atiqah dan Cik Anon(sapa ni..mulanya saya ingatkan Cik Azie hahaha!)


Alina dan Nida


Aie Akaike - sape nama penuh ko dik?





Tiada apa-apa yang ingin saya tulis tentang Maskara kecuali cerita tentang teman-teman yang ‘hip’.

Acara-acaranya bagus termasuk makan-makan dan sebenarnya badan saya kurang enak malam itu. Hampir-hampir saya tertumpahkan air di atas kamera mahal Aie. Namun dek kerana janji, dengan Cikgooden dan kepingin berkenal muka dengan Tasik, Atiqah, Aie dan Alina saya gagahkan juga.

Seronok bertemu kembali dengan Cik Puan Daun dan Encik Awaknya. Terima kasih untuk Nida kerana membawakan buku-buku dari Taf Teh untuk saya. Terima kasih untuk “ Dendang Cinta “ hadiah dari si manis Alina.

Terima kasih untuk Jenderal dan para soljah. Saya kepingin sungguh berjumpa Tok R. Malangnya beliau sibuk menjaga parking. Oh! Kesian. Sungguh tidak ‘hip’ Tok R ditugaskan menjaga parking.

Terima kasih untuk Cikgooden yang sudi belanja kami makan-makan,minum-minum dan sesat-sesat ha!ha!ha!. Nasib baik Tuhan kirimkan kami seorang dewi penyelamat keadaan.

Sesat yang membawa hikmah juga, kerana saya berpeluang bertemu kenalan lama Hafiz dari JFKL. Seperti selalu dia, akan bersalaman dengan saya. Saya pun terpaksa melayan, sambil teringat kata-kata Tasik “Neraka tidak berhawa dingin” Dia, walau muda berganda dari saya, haram tidak pernah dipanggilnya saya kakak. Dia panggil saya “Bawang Merah atau si pari-pari”. Watak yang saya pegang sewaktu mementaskan teater tanpa dialog tahun 2006 di KLPAC.

Oh ya! Persembahan di Maskara saya bagi empat bintang. Cukup menghiburkan!
“Aku mahu jadi PM” kata Jonos. Sila panjangkan sedikit sebutan huruf “M’.

Disertakan bersama foto-foto teman-teman yang ‘hip’ itu. Dan ada sekeping yang terpaksa saya tidak saya publishkan di atas permintaan tuannya. Saya lurus lagi amanah ehem! Jonos ada kau bertemu orang yang dicari itu hahaha!

Beginilah keadaan saya pada hari ini. Letih!


Kalaulah ada sumur diladang....

7.2.09

Selamat malam Ayako!


Ayako yang baik budi!
Di malam-malam kedinginan begini aku sentiasa akan mengenang kamu.

Oh! Pokok ros yang aku tanam telah berkembang kuntumnya. Agak besar dan aku tidak begitu suka melihat warnanya yang merah kehitaman; seakan darah. Aku lebih sukakan yang ada di balkoni sempitmu; yang kuntumnya lebat dan kecil-kecil. Berwarna merah terang dan kuning

Sekuntum cuma!
Cuma sekuntum!
Ros itu cuma sekuntum kembangnya.

You should gardening!” Pada suatu malam kau sarankan padaku sambil tersenyum manis. Bertambah manis dengan lesung pipitmu. Sambil-sambil mulutmu mengunyah Oshizushi dan aku hanya menjadi pemerhati.

“Aku tiada masa.” Alasan tipikal yang selalu aku beri padamu.

Engaku memang baik budi dan memahami. Engkau keluarkan semua pinggan cawan baru dan belikan aku sepasang kuali baru semata-mata menghormati agamaku. Memahami aku sebagai Muslim, aku tidak boleh menggunakannya kecuali barangan tersebut kecuali disamak.

The dirties one?” Engkau ingin tahu tentang khinzir lebih lanjut.

Limitasi bahasa adalah keterbatasan untuk aku menerangkan padamu bahawa anjing dan khinzir adalah makhluk paling besar kotornya. Najis Muqhalazah’ dalam hukum Fiqh Islam. Namun keduanya, juga makhluk Tuhan yang perlu dijaga hak-haknya. Tidak boleh dibunuh dan didera sesuka hati; seenak nafsu kebinatangan manusia.

Indahnya agama syumul ini Ayako!

Jika hatimu terbuka untuknya. Malangnya, keindahan itu dirosak robek oleh pengikutnya sendiri. Bersama-sama tafsiran mengikut hawa nafsu, matlamat sentiasa mereka halalkan cara. Buta hati mereka; jumud fikiran mereka. Mereka fikir, kerana asal keturunan mereka Muslim maka mereka hanya perlu menjerit “Allahuakbar! Allahuakbar!” di mana-mana dan kemudian senang enak-enak semudah membaca a,b,c mereka bisa masuk syurga. Kerana nila yang setitik itu, rosak keindahan agama Tuhan yang syumul ini. Lalu, kami yang tiada kena mengena turut dimomokkan dengan prajudis yang pelbagai rupa.

Selamat malam Ayako!

Pokok ros yang aku tanam telah berkembang kuntumnya. Agak besar dan aku tidak begitu suka melihat warnanya yang merah kehitaman; seakan darah. Aku lebih sukakan yang ada di balkoni sempitmu; yang kuntumnya lebat dan kecil-kecil. Berwarna merah terang dan kuning

Sekuntum cuma!
Cuma sekuntum!
Ros itu cuma sekuntum kembangnya.

Aku menanamnya supaya aku bisa rasa selalu dekat padamu!

3.2.09

Orang seni memang....

Disclaimer: Tulisan ini untuk Encik Abdullah Jones.

“Orang seni memang gila atau gila-gila atau betul-betul gila.” Ucap seorang teman pada saya secara bergurau. “Kau pun sama.” Dia tiba-tiba menujah kepala saya.

Ohhh! Dah lebih ni”. Bila masa aku mengaku aku orang seni. Aku cuma peminat dan pemuja seni” Saya berhujah. Hujah bela diri yang tidak berapa menjadi.

Teman saya itu lalu pergi sesudah meminum secawan Nescafe. Sesudah hujan teduh. Dia juga penagih caffeine. Kata-katanya masih melekat dalam kepala. Terpahat melekat bagai digam dengan gam cap gajah.

Saya renung diri saya. Saya jarang keluar rumah kecuali atas urusan penting. Saya jarang bertandang ke rumah jiran kecuali ada kematian, sakit pening dan kenduri kendara. Sejak dari dahulu, dari kampung memang begitulah saya.

Pendek cerita, saya tidak pandai bersosial. Berpindah ke pinggir kota ini, menjadikan saya semakin pemencil diri. Dunia saya hanya internet dan blog. Kadang-kala, saya bercakap dengan kucing dan pokok ros saya. Kadang-kadang saya tonton tv.

Setiap kali saya cuba keluar, saya akan mencipta seribu juta alasan supaya kaki saya tidak melangkah keluar.

Tadi, saya membaca entri Encik Abdullah Jones di sini dan di sini. Dan, saya syak Encik Jones salah seorang yang teman saya maksudkan itu. Saya tidak tahu sejak bila saya mula membaca blog Abdullah Jones. Tulisan dia, tidak berlapik kias. Directly to the point. Bahasa dia, kadang-kala (selalulah) mempunyai carutan tahap tinggi. Tapi kerana sayangkan dia, saya membaca juga. Walau saya terasa, sebab termakan cili atau sengaja makan cili. Lagi pula suka puisi-puisi dia.

Ps: Encik Jones, bolehkah tulisan ini dihantar ke blog encik?. Tapi, saya tidak mahu hantar, walau encik carutkan saya. Jadi, silalah ambil mana-mana tulisan saya yang encik rasa sesuai disiarkan di blog encik termasuk yang ini. Saya sayang encik hahahah! Kerana encik pernah beberapa kali datang dan meninggalkan senyuman manis untuk saya. Dan encik pernah berkata “Kamu yang aneh!”

Ha!ha!


“Orang seni memang gila atau gila-gila atau betul-betul gila” Ucap seorang teman pada saya secara bergurau. Petang tadi, ketika hujan turun dan dia juga penagih caffeine seperti saya.

2.2.09

Maskara yang aku suka




Maskara untuk siapa-siapa sahaja. Maskara untuk kawan-kawan yang kita suka (dan kita kadang kala tidak kenal muka)
Aku ingin pergi ke Planet Pena. Insyallah!
Jika aku sihat.
Dan jika tidak hujan!
Jika mood Abdul Razak baik
Tapi dia selalu baik.
Aku yang selalu berangin semacam.

Adik Botak sudah kembali menulis. Moh kita pergi deting kat sana dik!
Tasik, kalau kau lupa janji aku sumpah kau jadi donat,kuih keria dan yang sewaktu dengannya.

Oh ya!Aku pun pemalu juga. Jika kamu nampak motosikal lain macam itu.
Tegurlah! Itu aku dan Abdul Razak!


Maskara untuk siapa-siapa sahaja. Maskara untuk kawan-kawan yang kita suka (dan kita kadang kala tidak kenal muka)
Ahaks!

Ps: ini bukan entri.