Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

28.8.08

Hilang

......

Hilang taring
Hilang sentuhan
Hanya kecewa
Yang mengigit-gigit hati

Aku suka
Bercampur-campur cuka
Cemburu

Ah!
Entah!

Hilang kompas
Aku
Malam ini
Mungkin

Ah!
Entah!

Hati
Tiba-tiba
Kucar-kacir
Aku rasa tersisih
Tiba-tiba.
.....

Malas

Tiba-tiba aku rasa malas mau respond komentar-komentar kamu ya kawan-kawan. Maafkan aku. Nak karang entri baru juga malas. Aku mau berehat dan berfoya-foya sebentar. Mengelilingi Key Ell yang sakit tapi ada indahnya. :p
Mungkin nanti bakal ada cerita menarik untuk dikongsi.

Okey ! See you soon.
p/s: Yay! Aku tau kamu juga malas nak komen entri ni kan? Abaikan saja. Anggap saja ia tidak wujud ahaks!

26.8.08

Merdeka dari kaca mata seorang hamba

Kata Taf Teh, blogging kadang kala adalah terapi terapi minda dan perasaan.
Kita menulis dan berkongsi, tapi bukan segala cerita. Kalau, aku pasti ada perenggan palsu dan perencah ajinomoto.

Tapi intipati cerita tetap ada benarnya. Umpama ulangtahun kemerdekaan yang kita sambut saban tahun. Mungkin dengan pesta-pestaan tidak masuk akal. Menghabiskan wang negara dengan percik bakaran bunga api. Ucapan-ucapan skema peminpin negara. Kemudian kita bertepok sorak kampung dan maruah tergadai.

Bagi aku, tiada kemerdekaan secara total.
Tiada yang mutlak
Kerana kita adalah hamba Tuhan.

Kamu boleh menjerit hingga pecah tekak.
Tapi berpadalah.
Kita ini, aku dan kamu adalah hamba Tuhan.

Kita hamba yang paling Atas.

24.8.08

Harapan tetap ada Kazue

Imej
...........

Harapan pasti ada.

Hari itu terik. Musim panas mula menujukkan wajah garang bengisnya. Kulit mulus Kazue seakan mau hangus. Hatinya juga hangus, kerana cemburu. Dari kejauhan dia merenung pasangan itu. Pada suatu petang. Ketika dia dan Aiko duduk-duduk melepas lelah memanjat Osaka Castle.

Loceng-loceng bergantungan di pepohon, bergemercing ditiup angin.

“Mau aku kenalkan padanya” Aiko, sahabat karibnya tiba-tiba mencelah. “Aku kenal dia, Aiko. Lagi pun..kau lihat itu. Misako bersamanya bukan?”
"Dia tidak kenal kau! Malah dia tidak perasan pun kewujudanmu” Balas Aiko.

Mata kedua gadis itu terancap pada sepasang kekasih(dalam proses suai kenal mungkin).

Shimada dan Misako. Misako yang bergincu warna cherry blossom. Sepadan benar dengan kulit tona creamnya.

Haih! Alangkah baiknya jika ianya Shimada dan Kazue.” pintas Aiko, teman yang selalu menemaninya. Tiba-tiba.

Aiko
Teman yang sudi mengesat airmata dukanya.
Bergurau senda di musim lara hatinya.

Aiko yang cantik dan berbudi
Aiko yang memahami.
Aiko satu-satu teman yang dipercayai.

“Kazue! Pandang ke mari dan dengar” Tiba Aiko membuntangkan matanya sambil memaut wajah Kazue nan rawan.

“Jangan bersedih. Sesekali engkau perlu menjadi sedikit keji”
“Keji?”
“Ya. Sedikit keji sahabatku. Sedikit pentingkan diri. Tangguklah di air yang keruh.”
Kazue terpinga-pinga.

Saranan Aiko, sungguh keji. Kelihatan keji. Berbunyi keji.

Cahaya matahari merah meratah kulitnya. Hatinya ikut hangus terbakar.

Dia mula tidak menentu. Saranan Aiko, sungguh kejam dan keji.
Dan demi memiliki Shimada, dia menyanggupi apa jua!
Demi Shimada!
Dia tidak betah lagi memendam lara.
Sungguh!
Harapan pasti ada!
Ada!
Usah ragu!
Ada!
Dan kau harus berusaha.
Ucapkata Aiko, walau sonsang; ada benarnya.
Tapi.
Sanggupkah dia. Berlaku keji.
Sebahagian Kazue menyanggupi. Dan yang lagi satu bertitah tidak.
Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!









21.8.08

Krayon

Malam ini.
Kirimkan aku kekasih
Krayon berwarna pelbagai
Biar aku warna cinta kita
Bosan jika cuma hitam putih
Malam ini
Cuma malam ini
Hidup kita berputar legar
Kadang bosan tanpa warna-warni
Aku mahu krayon
Jangan kau kirimkan bunga.

19.8.08

Ghost Train punya cerita.



Ghost Train punya cerita.
........

Berminggu nan lalu.

“Bang, kita balik kampung naik keretapi ek? Aku.
“Lambat sampai tu.” Dia.
“Takpe, naik keretapi romantic wooo! Tambang pun murah” Kata aku.
“Ye ler..ikut awak naik keretapi.” Dia

------------------------------------------------------------

Semalam.

Aku called dia.
“Bang cepat balik.”
Nape pulak, awak nampak tak jam tu. Syif saya belum habis laaaa!”
“Cepatlah saya takut ni”
“Takut apa pulak”
“ Ni, haaa...Ghost Train dah start.”
Oit! oit!. Takut kalu, tak payah tengok laaaa!”
“Okay! Abih kerja balik. Tak balik, nanti pergi tidur atas keretapi kat UKM tau”

Huh! Belum aku habiskan ayat terakhir, dia off telefon.

Cheh!

------------------------------------------------------------

Pagi tadi.

“Mak called tadi. Suruh kita balik Perak. Kita naik keretapi ek?” Dia.
“Tak mau..tak mau...nanti ternaik Ghost Train. Sape susah?” Aku.

Cheh!

Nota kaki:
Kawan-kawan,
Ghost Train merupakan filem Korea, yang ditayangkan tivi tiga(suku) semalam.
Aku suka ahaks! Seram wooo!

.......

17.8.08

Kazue di suatu pagi yang gelap dan basah.

Di suatu hari yang gelap dan basah.

Malam-malamnya diselebungi kedinginan yang tidak pernah dirasai sebelumnya, Kazue terpandang sebutir bintang di langit yang bercahaya dan berkelipan. Seolahnya, bintang itu menggamit semangatnya dan memohon agar dia tidak terlalu bersedih dan rindukan sesuatu yang belum layak untuk dimiliki.

Bagaimanapun, cahaya di langit itu jua telah memberi ilham padanya untuk mencoret sesuatu untuk Shimada.

Shimada yang dikasihi,
Aku tahu tidak selayaknya aku mengasihimu atau engkau mengasihiku. Tapi hati selalunya tidak pandai berdusta sayang!

Tulus ikhlas,
Kazue.


Nota serba ringkas itu diselitkan di celahan buku kecilnya. Tidak berani dilayangkan untuk Shimada.

Shimada yang saban hari dilihat menanggalkan sepatu mengunjungi rumah Tuhan.
Shimada yang saban hari dilihat memakai sepatu ketika meninggalkan rumah Tuhan.
Shimada yang tersenyum riang ketika berada di padang.
Shimada yang peramah juga pemarah kadang-kadang.
Shimada yang selalu-selalu dicuri pandang, cuma sesekali membalas senyuman.

Shimada yang lurus.
Lansung tidak perasan dirinya diperhatikan.
Dia lelaki tipikal. Kazue yang berwajah sederhana tidak dipandangnya.
Tiada lansung dalam rekod khayalan dan keinginannya.

Yang ada hanya Misako.
Misako yang manis senyumnya dan berkulit tona cream.
Misako, Misako dan Misako.
Hanya Misako yang berwajah lembut.

Dan Kazue tahu itu. Mengerti amat. Bertepuk sebelah tangan, mana mungkin menghasilkan sebarang bunyi. Menepuk ke dinding menyakitkan tangan sendiri.

Kazue rasa dirinya seperti Anna Maria Orozco dalam Yo Soy Betty La Fea.
Si hodoh Betty yang mencintai lelaki kacak majikannya, Armando Mendoza alias Jorge E. Ebello.

Begitupun.

Kazue perempuan optimistic kadang-kala.

Dia bertekad.
Suatu hari Shimada akan jadi miliknya.
Dan Shimada akan jadi miliknya yang sah.

Kazue yang teliti dan bijaksana.

Kebijaksanaan itulah yang akan digunapakai.
Dia menanti ruang dan peluang. Peluang tidak akan dilepaskan. Dia sudah kebal dengan kekecewaan dan selalu perlu mengalah untuk orang lain.

Ume sudah mulai berkembangan!
Dan harapan itu tetap ada.

Pasti!
..........

Melunaskan hutang piutang cyber(tag lah tu)

Brilliant Weblog is a prize given to sites and blogs that are smart and brilliant both in their content and their design. The purpose of the prize is to promote as many blogs as possible in the blogsphere.

Here are the rules to follow:

1) Put the logo on your blog.
2) Add a link to the person who awarded you.
3) Nominate at least 7 other blogs.
4) Add links to those blogs on yours.
5) Leave a message for your nominees on their blogs.

Maaf!
Hari ini saya malas mau menterjemah. Kakak yang manis ini telah menghadiahkan saya award ini. Lantas saya pun mau berkata dua patah cuma.

“Lihatlah dunia”

Terima kasih Kak Ja. Hehehe!

Oleh kerana, saya sangat pemurah, maka dengan ini saya akan memberikan award ini kepada tujuh pengomen pertama entri ini. Silalah ambil dan jangan berebut okay. :p

Dan ini pula tag dari adinda SHIMI.



Katanya hidup ini indah.

'ANDA HENDAKLAH MENYEDIAKAN SATU UCAPAN BERANGAN' dan anda bakal mengondol anugerah ini.

It should been done according to the following rules:
1. The winner may put the logo on his/her blog.
2. Put the link to the person you got the award from.
3. Nominate 5 blogs.
4. Put the link to the blog.
5. Leave a massage for your nominees

Juga makcik malas mau buat terjemahan. :p

Ucapan berangan makcik:

“Jika saya ada berjuta ringgit, saya mau beli cinta dan hati-hati manusia. Sekianlah sahaja ucapan ringkas gila saya.”

Terima kasih.

Nota kaki:

Setelah mendapat anugerah, tiba-tiba kreativiti saya mati sebentar. Tapi jangan ditalkinkan lagi. Saya keletihan. Sakit dan mau beradu sebentar.

KOMA.

Kepada yang rajin, sila jawab tag ini. Terbuka kepada semua warga cyber yang rajin, tidak letih dan tidak malas.

Terima kasih ahaks!


Ini dari Encik 13May. Saya belajar jadi pemurah dari dia.

Sebenarnya, sebetulnya saya mengidam anugerah dari Geng Jurnal. Tapi saya sedar diri, apalah sangat blog dan tulisan saya ini.

13.8.08

Suatu pagi pada jam tiga

Semalam.

Pukul tiga pagi. Mata aku tiba-tiba celik. Panas. Resah. Nyamok mengejutkan lena.

Cis! Nyamok ni. Aku sedikit radang.

Lalu aku bangun. Mengangkat wuduk dan buat apa yang patut.

Niat aku mau kembali menyambung tidur. Tapi otak aku asyik fikir mahu update blog. Macam ketagihan. Ketagihan berblog mengalahkan ketagihan minuman bercaffeine tiga dalam satu. Lalu, aku mengadap pc. Aku buka pintu balcony luas-luas. Panas. Biar angin masuk dan menghambat kepanasan keluar. Err....rumah kuartes kecil ini, boleh panggil balcony ke? Serambi sajalah.

Jam tiga setengah pagi dan di luar hujan merintik. Dengan rambut mengerbang, aku mengadap pc. Niat aku mau sambung fiksyen cinta Shimada – Kazue.

Tap!Tap! Tik! Tap! Tap!Tap! Tik! Tap! Tap!Tap! Tik! Tap! Tap!Tap! Tik! Tap!

Aku mula menaip. Life’s Brief Candle....bla...bla....bla.

Tiba-tiba aku perasan. Aku tidak keseorangan. Di belakangku ada seseorang. Yang juga rambutnya mengerbang. Malah lebih panjang dari aku. Berdiri tegak lebih kurang tiga hasta di sudut sana. Serambi itu.

“Siapa pulak pukul tiga pagi naik ke mari dengan rambut mengerbang ni? Ahhhh! perasaan aku aje nih” Aku cuba menafikan sedang bulu roma sudah menegak-negak berceracak.

Aku toleh ke belakang dengan mata terpejam. Aku celik si rambut mengerbang hilang.

Cis! Cis! Dia mainkan aku.

Tap!Tap! Tik! Tap! Tap!Tap! Tik! Tap! Tap!Tap! Tik! Tap! Tap!Tap! Tik! Tap!

Aku sambung menaip. Aku perasan dia berdiri di situ lagi.

Tap!Tap! Tik! Tap! Tap!Tap! Tik! Tap! Tap!Tap! Tik! Tap! Tap!Tap! Tik! Tap!

Aku pura-pura tidak peduli. Konsentrasi sudah terganggu dan dia masih tercegok di situ.

Kaki aku mula rasa kaku. Macam batu beratnya. Tangan menggigil-gigil. Rongga hidung terbau daun sireh. setanggi dan haruman cempaka tepi kubur. Dalam ketakutan, aku sempat click kotak i-Tunes.

Cari-cari ayat Kursi atau apa-apalah. Mau baca sendiri, sudah gigil lupa dan gubra. Tidak ketemu. Yang keluar Lisa Loeb, Lisa Loeb, Lisa Loeb dan Lisa Loeb.

Ayyyooooooooooo!

Tanpa tutup pintu atau off pc atau menoleh kiri kanan, aku berlari ke kamar tidur. Bungkus diri dalam selimut.

Fuhhhhhhhhhhhh! Lega.


***************************************

“Semalam tak off pc ke?” Dia membebel-bebel.
“Mana adaaaaaaaaaaaaa!” Jangan sesekali mengaku dengan dia.
“Kan semalam abang yang guna” Aku berdalih. Dia diam. Malas bertekak mungkin.
“Errr...file saya awak save tak?” Aku.
“Jadi, semalam betullah awak tak off pc kan?

Hahahaha!

Kantoi beb!

Ceh! File cerita Shimada-Kazue itu hilang gara-gara si dia yang berambut mengerbang.

Alahai!

Haih!

10.8.08

Kazue dan ruang-ruang sunyi.


...........
Ada ruang kosong dalam diri Kazue yang tagih pengisian. Dia mahu pengisian yang bererti. Kazue, anak pererempuan yang taat. Sarapan pagi sebelum bapanya keluar bekerja, jarang dilupakan. Rutin semenjak ibunya uzur.

Kazue yang pengasih.


Mencintai alam, muzik dan seni. Menyayangi haiwan hatta seekor semut sekalipun.

Kazue yang teliti.


Perempuan itu mencatat semua yang bersimpan dan terzahir dari hatinya dalam sebuah jurnal peribadi. Ada buku kecil yang tidak cantik. Ada meja kecil tepi tingkap. Di situ dia mencoret corat tentang apa-apa saja. Mana mampu dia membeli yang cantik dan berkunci macam teman-teman yang lain.

Cukuplah sebuah buku kecil yang tidak cantik. Cukuplah dengan meja kecil di tepi tingkap. Sememangnya dia tidak mampu. Memiliki yang cantik-cantik. Maupun yang besar-besar. Apatah lagi yang mahal-mahal.

Suatu hari sebelum Tuhan mengirimkan Shimada untuknya, Kazue pernah menulis sesuatu. Mungkin itu juga yang dipinta pada Tuhan setiap kali tiba dini hari.

Di waktu bulan terang.
Di waktu bulan separa.
Di waktu bintang berkelipan.
Maupun malam hitam pekat.
Tanpa bintang-bintang dan bulan.

Itu sahaja yang dipinta dari Tuhan

Di hari panas berbara
Tika hujan separa rintik
Pada musim ume berkembangan.
Maupun pada musim dingin
Yuki memutih di bumbung kediaman
dan di jalanan sempit.
Lima waktu yang diwajibkan
Kadang kala di rumah Tuhan.

Selain pengampunan, Itu sahaja dia mahu dari Tuhan.

Seperti kalian, dia maukan Shimada. Dan Shimada yang diingini itu bukanlah putera para koperat maupun aristocrat. Bukan putera raja dari kayangan atau makhluk berdarah biru dari Mars.


Bukan!

Dia hanya lelaki biasa yang sering temui di jalanan. Di mana-mana bumi ditapak-kakikan.

Kazue menunggu hari itu. Dia yakin Shimada akan tiba. Dari umur belasan, kemudian bertingkat tambah menjadi puluhan.

Lama!


Petikan jurnal Kazue. (dicatat pada satu malam dingin, pada musim daun-daun marple berserakan) :


Tuhan,
Malam ini sungguh indah walau tanpa cahaya neon dan percikan bunga api. Di luar sana ada bulan nan terang. Di kelilingi bintang-bintang yang cantik.
Tuhan,
Moga-moga salah satu darinya akan jatuh ke ribaanku. Dan menerangi suram muram wajahku ini. Mengisi sepi sunyiku yang berlarutan ini.
Tuhan,
Kirimkan Shimada untukku.
Kirimkan Shimada untukku.


NOKTAH.


Tapi permintaan itu tidak pernah bernoktah!
Sehingga pada suatu hari. Kazue tidak mampu mencatat apa-apa lagi. Bukan kerana jejarinya kaku.


Bukan!
........

8.8.08

Secebis nota kecil



........
Di suatu pagi nan dingin kerana hujan melebat seawal petang membawa ke dini hari.

Seorang perempuan bernama Kazue mennyediakan sarapan untuk lelakinya Shimada.

Di tepi meja, dia titipkan satu nota yang berbunyi:

~ Kepada kekasih yang Tuhan halalkan untukku. Maafkan aku kekasihku. Untuk menjahit butang dari kemejamu yang gugur pun, aku tidak mampu.~

Malangnya, nota kecil tersebut lansung tidak dipandang oleh lelakinya. Yang tergesa mau keluar berkerja. Katanya kadar inflasi naik mencanak-canak. Kuasa beli merudum-rudum turun. Dia tidak boleh mencuri tulang seperti dahulu. Nanti majikan mungkin memecatnya. Lalu bagaimana dia mau berbelanja itu dan membayar yang ini. Juga memenuhi tuntutan-tuntutan yang lain.

Lalu nota kecil itu, terbang dibawa angin pagi yang semakin mencerah.

Hilang!

Di celahan ranting-ranting ume yang hampir putus bunganya.

Beep! Beep!

One massage received.

“Aku memahami ketidakupayaanmu dan menerimanya sebagaimana kamu memerima aku seadanya isteriku”- Shimada (Kekasih yang Tuhan halalkan buatmu).


Kazue tersenyum sambil membetulkan baju tidur ala kimononya.
Bahagia!
Benarlah syurga itu sebahagiannya berada di bumi ini.

Di luar, ume yang hampir putus bunganya ikut tersenyum.

“Terima kasih Tuhan. Engkau kirimkan Shimada yang menghangatkan malamku.”
Kazue separa berbisik dan Tuhan mendengarnya.

Pasti!
....

5.8.08

Sepi(juga bukan ulasan filem)

.......
The Lonely Guy

Menonton The Lonely Guy lakonan Steve Martin dari layar berbayar Astro membuatkan aku tergelak sendirian. Aku menyukai lakonannya yang bersahaja. Dia lelaki tua yang tidak kacak. Tetapi aku suka lakonannya. Aku sukakan sense of homour dalam dirinya.

Oppp!

Mungkin bukan dalam dirinya. Mungkin dalam watak-watak lakonannya. Dalam filem-filem lakonannnya. Aku sukakan auranya yang tersendiri.

“Kami adalah pria-pria kesepian”
“Jauh dari rumah dan ditinggalkan teman”
~.Sheila On7. ~


Aku masih mengingati lagu itu. Menonton Steve Martin dan ketawa-ketawa terasa seolah sedang mengetawakan diri sendiri.

Aku kesepian biarpun dalam majlis yang banyak orang.
Aku kesunyian biarpun sudah punya teman

Dan malam ini
Aku cuma mau mengadu pada Tuhan.

“Kami adalah pria-pria kesepian”
“Jauh dari rumah dan ditinggalkan teman”
~.Sheila On7. ~

Lagu itu terus berkumandang dalam tempurung mindaku.

Dan malam ini
Aku cuma mau mengadu pada Tuhan.

Mengadu pada Tuhan!
Mengadu pada Tuhan!
Mengadu pada Tuhan!
Mengadu pada Tuhan!
Mengadu pada Tuhan!
.....

Nota kaki:
Tolong jangan cuba bunuh diri hanya kerana sedikit terdesak dan merasa sepi. Dalam filem itu Steve Martin cuba membunuh diri. Hahahaha! Bodoh sungguh.

4.8.08

Gadis kecil dan sekeping angan-angan separa capai

Randy Pausch dalam The Last Lecture meriwayatkan, “Sesungguhnya, yang penting dalam hidup ini ialah mencapai angan-angan kita semasa kecil (yakni, childhood dreams). “ [Taf Teh, 29:7:2008]

~ Dipetik tanpa ehsan dari entri Sinaganaga 1 Ogos 2008~


“Cikgu, saya mau jadi pelakon pentas”. Seorang gadis kecil darjah satu terketar-ketar menjawab soalan gurunya tiga puluh tahun yang lalu. Guru itu, garangnya macam singa beranak kecil. Dia kemudiannya tergelak. Murid-murid lain pun ikut. Airmata gadis kecil itu mula mengalir. Tiba-tiba dia rasa malu dengan pengucapan sendiri.

Dia diam. Sejak itu dia jarang-jarang bersuara kecuali ditanya bersungguh-sungguh.

************************************
Pelakon pentas!
Entah dari mana dia dapat idea itu. Abah tidak pernah membawanya ke pentas bangsawan hatta opera cina sekali pun. Kalau ke pekan menonton fun fair atau wayang adalah sesekali dua. Mungkin dia teruja dengan filem-filem tanpa warna-warni dari layar TV rumah jiran.

Entah!

Emak. Pengidap asthma tegar. Berketurunan. Daripada Allahyarham Wan dan kini Khadijah mewarisi penyakit tersebut. Dia dan Khadijah melihat emak menderita dari usia muda hingga kini. Siapa bisa menduga, emak yang selalu masuk keluar hospital masih tabah dan bertahan hingga sekarang. Kini emak telahpun uzur benar.

Dia suka bau hospital, ubat-ubatan, picagari, pakaian para doktor dan misi. Hatta makanan hospital pun selalu dia habiskan saban kali menunggu emak di wad. Lapar. Tiada wang mau membeli makanan di luar dan tiada saudara mau menghantar makanan selalu-selalu.

“Adik, aku nak jadi doktorlah” Suatu hari dia beritahu Khadijah. Dan Kahdijah juga ketawakannya. Cis!!

“Nak jadi doktor bukan kena pandai Matematik dan Sains ke kak?”Khadijah soal balik. Dia terdiam.

Fikir-fikir dan mencongak kelemahan diri. Sampai terlupa ketidakupayaan yang lagi satu.

Sejak itu, dia belajar betul-betul. Dia betul-betul belajar. Buku-buku adalah teman tidur makan sampai kini. Tabiat itu tidak berubah. Dia mau masuk universiti. Dia mau ke aliran Sains bila masuk tingkatan empat. Memang dia dapat masuk aliran Sains dengan keputusan A12 SRP (Sijil Rendah Pelajaran).

Dia benar-benar mau jadi seorang doktor.
Kepingin benar.
Sungguh!
Tidak main-main!
*************************************

Tiga bulan pertama di kelas Empat Sains C.

Tangannya terketar-ketar setiap kali ke makmal subjek Kimia. Tertumpah cecair itu dan ini. Sangat menyampah dengan subjek Fizik. Dia cuma suka Biologi. Tentang tumbuhan dan haiwan-haiwan. Subjek Add Math dia lagi blurr.....kabur. Tidak nampak lansung jalan kira-mengira.

Akhirnya.

Dia membuat keputusan yang cukup berat dan payah. Untuk kali kedua dia membunuh dan menguburkan cita-citanya. Menurut saranan seorang guru, dia pergi ke aliran Sastera.

Sesudah itu dia tak punya cita-cita lagi. Hilang arah. Tahunya mahu menamatkan alam persekolahan sepantas mungkin. Mahu mencari rezeki menyara diri. Hidup terdesak dan kemiskinan menghimpit hambat.

Kemudian dia dan Khadijah bertemu Manja. Lelaki itu iras-iras Derrick El Jamillo. Manja mengajarnya dan Khadijah memetik gitar. Suatu pertemuan tanpa perancangan dan mereka bertiga menjadi akrab.

“Jari kau keras. Kau lebih sesuai menulis lirik” Manja beritahunya pada suatu petang secara berseloroh.

Setahun kemudian dia ke tingkatan enam. Manja dan gitarnya terus hilang dari pandangan. Sampai kini, dia kepingin ketemu Manja. Anak muda berambut panjang kurus melidi berjeans sendat. Kini mungkin sudah pendek atau gugur rambutnya.

Entah!

Kini dia cuma mau menjadi manusia yang tabah. Cita-cita besar sudah hanyut hilang ditelan arus perubahan.

Dia cuma mau menjadi manusia yang tabah!

Randy Pausch dalam The Last Lecture meriwayatkan, “Sesungguhnya, yang penting dalam hidup ini ialah mencapai angan-angan kita semasa kecil (yakni, childhood dreams). “ [Taf Teh, 29:7:2008]

Huh!
Mungkin dari seawalnya lagi dia patut berangan-angan menjadi seorang doktor. Sekurang-kurangnya atau misalnya Dr. House. : p

1.8.08

Pagi yang gelap

Jam enam pagi.

Kedinginan melebar terus. Menggit-gigit kulit hingga ke sumsum tulang. Dari kotak I-Tunes, Lisa Loeb mengalunkan lagu mencari Jake lelaki idamannya. Sudah seminggu tubuh aku deman menahan kesakitan. Kata puan doktor Neurologi berbangsa asing berwajah masam cuka itu hampir sembilan puluh peratusan sarafku telah rosak. Dia marah-marah; kerana aku enggan ambil pain killer. Hampir puluhan tahun bersama kamu pain killer. Cukup-cukuplah. Tekakku sudah bosan loya menelan kamu.

Aku tahu kenapa puan doktor marah benar denganku. Aku menolak suntikan Botox. Aku punya sebab untuk menolak. Aku rasa aku masih boleh bertahan dengan diazepam dan baclofen. Siapa yang lebih tahu tentang sesuatu penyakit. Kamu cuma belajar teori dan sedikit pratikal. Dan aku perlu melalui dan mengharungiya untuk seumur hayat ini. Kadang-kadang aku jadi hairan; para doktor yang seagama dengan denganku tidak bising-bising macam kamu. Mereka hormati keputusanku.

Aku teringat bicara Kim san pada satu pagi yang dingin. Tiada penawar untuk simptom Cerebral Palsy. Ubatan moden hanya membantu mengurangkan gelajanya. Wanita separuh umur itu mengajarku banyak perkara yang aku telah lama aku ketahui dan yang tidak aku ketahui juga.

“Bertenanglah. Dan terima apa yang terjadi seadanya” Kim san, dalam bahasanya. Kemudian Kawakita san menterjemahkan. Ternyata aku menyenangi muzik dan kat-sugen daripada mengambil pain killer berterusan.

Aku lebih aman dengan zikrullah. Aku lebih bertuah dari Kim san. Dia athies.

#######################################

Ko dah berhenti kerja ek? tanya perempuan kepoh jiranku di tingkat dua.
Aku angguk.
Ko tak sihat ya? Demam lagi?”
Angguk juga.
“Ooo..nak dapat baby ke?”Dia sambil tersengih-sengih. Aku faham maksud soalan dan sengihannya itu. Kemudian dia akan habiskan kuliahnya dengan satu ‘nasihat’ yang aku cukup menyampah. Macam selalu-selalu.

“Rugi woo..takde anak ni. Masa muda-muda ni la nak beranak.”

Haih!

Sebelum aku naik darah pagi-pagi Jumaat yang mulia ini lebih baik aku tutup pintu. Berundur. Nanti aku lebih jadi tambah sakit.

Tiba-tiba. Aku rasa mau kembali buka pintu dan menjerit padanya.

Hoi! Hoi! Ingat aku sihat walafiat dan muda macam kamu. Asyik buat anak saja tahu..bla..bla..bla.”

Tapi.

Entah kenapa suara itu cuma bergaung-gaung dalam hati.

Astagfirullahal’azim!!

Syurkur. Aku tidak menambah lagi dosa-dosaku yang berselirat bagai tali layang-layang yang kusut.