Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

29.6.08

Seorang perempuan di dalam hujan

Bukan dia

Suatu hari ketika pulang dari sekolah. Gadis kecil itu kehujanan. Melalui lorong sempit celahan kebun getah.

Dia letih dan kebasahan. Perut kelaparan dan tubuh kurus kerdil menggigil kedinginan. Seawal pagi belum menjamah makan.

Tapi

Dia suka berjalan di dalam hujan. Kerana tiada siapa perasan dia sedang menangis kelaparan.

Puluhan tahun kemudian.

Suatu hari ketika pulang dari pekan. Si gadis remaja baru mengenal cinta. Menemui seorang teman istimewa dalam hidupnya. Bagai bulan jatuh ke ribaannya. Malang sang kekasih dilihat memimpin wanita sarat. Tangan kanannya mendukung anak comel seusia dua tahun.

Dan kebetulan hari itu hujan.

Dia pun terus meredah. Tanpa peduli basah.

Dia suka berjalan di dalam hujan. Kerana tiada siapa tahu dia sedang menangis kesedihan. Mangsa kemunafikan seorang lelaki. Atau mangsa kebodohan sendiri.

Hari itu.

Juga hujan. Dia di hospital. Menunggu lelaki tersayang dijemput Tuhan. Rasanya seakan mengiringi jenazah ke kuburan.

Dia berdiri keseorangan di dalam hujan. Persis orang hilang waras.

Dia suka berjalan di dalam hujan. Kerana tiada siapa ambil pusing dia sedang menangis kepayahan.

Hatinya rintih.

Pilu! Tapi bibirnya masih tersenyum. Senyum dalam payah

Tak siapa mendengar. Kecuali Tuhan dan dua malaikat.

Satu di kanannya.

Satu di kirinya.

Mencatat apa-apa saja.

Yang dosa
Yang pahala.

Bakal dibawa ke sana dan diadili.

Dia suka berjalan di dalam hujan. Hujan menyembunyikan segalanya tentang dia. Tentang lara hatinya. Tentang kotor hatinya. Tentang daki dalam akal fikirnya. Tentang betapa rendah imannya. Tentang betapa bebalnya dia.

Tapi hujan tidak membantunya. Untuk terus-menerus. Menyambung kemunafikan dalam diri.
Dan pada Tuhannya juga.

28.6.08

Supernatural

Imej hiasan
Disclaimer: Sebuah kisah yang akan meremang bulu tengkuk anda. Dan entri ini aku coretkan di tengah malam buta istimewa untuk pa’cik El. Diberitakan dia sangat mengemari cerita hantu. Dakwanya “citer antu memang kopi dan teh aku lah... haha...” dalam bahasa Melayu paling standard. Ha! Ha! Ha!
*****************************************************

Aku dan Dee pernah bersahabat baik. Dia baik orangnya. Aku pernah dengar dakwaan yang Dee mempunyai saka yang bakal diwarisinya. Kerana celik agama, dia telah menolak “benda” yang mau bersahabat dengannya itu.

Tiga tahun yang dahulu.

Aku dan Dee ditempatkan sekamar. Tapi kami bukan satu kursus. Dia memilih mesin jahit dan aku pula memilih komputer.

Suatu malam.

Dee didapati hilang dari tempat pembaringannya. Lalu, kami rakan-rakan sekamar keluar mencarinya. Tidak ketemu. Kami bimbang. Beberapa hari sebelumnya, Dee kelihatan murung, enggan makan dan dilihat bercakap-cakap sendirian.

Aku teringat sebuah katil PO6 yang kosong. Kamar itu separa kosong. Hanya beberapa orang pelatih yang menghuninya.

Dan aku pun ke sana. Jam lebih kurang tiga pagi. Dee tidur nyenyak di katil bernombor P06. Kesian pulak mau mengejutkannya.

“Biarlah. Mungkin dia selesa di sini” Hati aku berbisik-bisik. Tapi bulu tengok aku meremang-remang.

Cis! Syaitan mau main-mainkan aku” Aku seraya membentak. Cuba melawan ketakutan yang bertandang.

Dalam samar lampu koridor, cepat-cepat aku melangkah masuk kamar P01. Teman-teman yang mencari Dee sudah enak menyambung tidur.

Dumm!

Pintu kamar ditolak kuat. Aku terkejut. Aku nampak Dee masuk dan tidur dikatil asalnya.

“Ke mana tadi Dee ? Aku pura-pura bertanya.

Diam.

Sepatah tidak dijawab. Malah dia merenung aku dengan cara yang sungguh aneh.

Naluriku berkata. Ini bukan Dee. Dalam ketakutan yang maha dasyat, aku capai surah Yassin di atas meja dan perlahan-lahan membacanya.

Dee marah-marah dan mencarut-carut. Sah, bukan Dee.
“Panas la oii!. Berhenti!!” kata Dee marah-marah. Manakala rakan-rakan yang lain tidur seakan dipukau.

Tidak sedar. Entah bila aku terlelap.

Pagi esoknya kecoh. Mereka temui Dee tidur di dalam tandas asrama.

Lusanya, dia ditemui tidur dalam stor.

Tulatnya, di bawah pokok besar belakang asrama.

Dan kami semua tidak boleh bertahan lagi. Mana tahan, asyik kena mencarinya dan esok perlu ke kelas.

Tambah kecoh. Teman-teman mendakwa mereka terpaksa menjaga aku kerana aku dalam keadaan tidak sedar telah merayau-rayau di waktu malam.

Di celahan lampu koridor yang samar. Sama macam gelagat Dee.

Sungguh!

Sampai kini aku tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Yang ada dalam ingatan yang samar kabur hanya satu. Ada sebuah lagu klasik Melayu dinyanyikan dengan merdu oleh seorang wanita aneh yang aku tidak pasti wajahnya. Dan aku seakan terpukau dengan suara itu. Tanpa sedar, aku cuba menjejaknya.

Dee tidak pernah bercerita apa-apa bila ditanya. Begitu juga aku. Siapa akan percaya. Silap-silap kami didakwa sakit mental.

Seorang sahabat yang baik hati, telah menghantar kami ke Darul Syifaa’ Bangi. Alhamdullillah!

Kerja syaitan. Dari zaman Adam as. Tidak pernah selesai menyesatkan manusia.

Nota kaki:

Okay ke pa’chik hehee!
Entri ini aku tulis jam 1.23am. Dan aku baru selesai menyiapkan tugasan.

Huh!

Pintu belum ditutup. Kenapa aku rasa semacam ni?

Nak tidurrrrrr!

24.6.08

Musim gugur bermula.


Musim luruh bermula!


Demikian beritahu Yuriko Nelson menerusi emailnya lewat berminggu nan lalu. “It’s very beautiful, if you can see it” beritahunya. Lantas, aku terbayang kenalanku, berwajah manis berusia tiga puluh dua tahun itu. Berambut sedikit curly, separa panjang ditocang kemas, berkaca mata dan sedikit tomboy. Bukan tipikal Japanese. Dan perkataan kesukaannya “pardon”. Lagi katanya mau melawat aku Ogos nanti. Mau melawatku ketika gawat ekonomi begini. Dia bakal tetamuku. Seharusnya dilayan sebaik mungkin. Aku tipikal Melayu. Ajaran agama kujunjung dan adat kukelek sebaik mungkin. Dan aku pernah berkisah tentangnya di sini.

Musim luruh bermula!

Tentu indah. Melihat ranting-ranting tanpa daun.
Ajaibnya ciptaanMu. Ranting, pepohon bugar segar kehijauan dan berwarna-warni bunga-bungaan, tiba-tiba polos.

Musim luruh bermula!

Dan daun-daun kuning merah keemasan berserakan itu tambah indah ketika dihembus angin. Pepohon seakan tidur dan berehat sebentar. Dari memayung redup dan teduh. Tidak mati. Akan kembali dedaunnya pabila sampai ketika. Aku berimiginasi tentang daun maple yang berserakan.

Dan aku pun bermimpi tentang syurga Tuhan nan indah. Tentang hidup kekal abadi di sana. Di mana karma bermula.

Musim luruhku entah bila.

Aku jua.

Seakan pohon-pohon itu.
Asal polos. Kemudian Engkau berikan nikmat nan pelbgai.
Nanti polos juga. Kembali padaMu berselimutkan kain putih.

Yang bakal aku titipkan mungkin dosa yang sarat.
Pahala yang tidak seberapa.

Subhanallah!
Nau’zubillah!

Ampunkan aku Tuhan.

Nota kaki:
Credit image to folkcatart.com

23.6.08

Hanya kerana seekor kucing (2)

Jam dua belas setengah malam.

Encik Kay mengetuk-ngetuk gril saya yang berkunci. “Kak Ani, kak Ani! Kucing kak Ani ada kat tingkat atas, dalam rumah kosong yang cikgu Ijan tinggal dulu tu” Encik Kay dalam loghat Kelantan.

Encik Kay, baru balik dari merambu ramba dengan rakan-rakan bujangnya. Walaupun dia telah berkelamin.

Disclaimer: Ini bukan pesepsi saya, okay. Ini dakwaan isterinya Puan Dee; yang pantang bersua muka dngan saya. Maka pot pet, pot pet lah dia. Bercerita perihal suaminya itu. Suami yang muda lebih kurang sepuluh tahun darinya. Saya cuma anguk-anguk macam belatuk kerana saya juga orangnyanya, yang berusaha menemukan jodoh mereka. Alhamdulillah!

Aiseh! Macam mana ni?.”. Saya mengomel sendirian.
Encik Kay menanti di luar. Saya pergi mengejutkan lelaki saya. Haram mau dia bangun. Marah saya adalah.

“Abang tak nak bangun la Kay”. Saya beritahunya. “Tak pa, kejap lagi akak naik ambil”

Demi Coco, saya sanggup berani.

“Tak pa, jom saya teman” Encik Kay. Mengikut saya, menaiki tangga ke tingkat empat.

Fuhh! Gelapnya rumah itu. Saya mendukung Coco. Cepat-cepat. Sepantas mungkin. Saya takut.

Saya takut kerana ditemani Encik Kay. Bukan kerana sangsi terhadap kebaikannya.

Saya takut fitnah.

Malam itu.

Saya tidur dan mimpikan rumah kosong itu. Saya ke situ lagi. Dan saya memijak mayat-mayat bergelimpangan dibungkus kain kafan.

Ngeri!!

Sudah dua hari saya demam dan sakit-sakit badan.

Alahai!

21.6.08

Hanya kerana seekor kucing.

Hari ini.

Kucing kesayangan saya keluar dan tidak pulang-pulang sehingga entri ini saya tulis. Jam sudah sebelas dua puluh malam. Pintu rumah saya masih ternganga. Cuma gril saja berkunci.

Saya menanti dan menjenguk-menjenguk keluar. Petang tadi, langit meruntuhkan hujan lebat sekali. Tentu dia kesejukan dan kelaparan di luar sana. Sudah empat lima kali saya meronda blok ini. Naik turun tangga.

Saya bimbang. Dia tentu lapar. Kembung rebusnya belum berjamah. Tadi, kali terakhir saya menaiki tingkat empat yang tiada berpenghuni. Kalau ada jiran yang nampak, pasti mereka sangka saya dirasuk. Atau paling kurang sudah tidak betul.

Lelaki saya tidur. Tahunya cuma marah-marah kerana melepaskan ‘anak’ kami itu keluar.

Ahhhhh!

Apalah sangat nilai seekor haiwan bernama kucing.

Tapi yang pasti, malam ini saya tidak boleh tidur.

Menanti kepulangannya.

Perasaan saya kacau!

Hanya kerana seekor kucing.

18.6.08

Lihat pada rumput


Lihat pada rumput.
Cantik amat di kedinginan pagi.
Ketika embun membasahinya.
Atau ketika rintik mulus hujan menimpa.

Lihat pada rumput.
Kehijauannya menakjubkan.
Ketika kuning keperangan juga mengasyik pandang.

Lihat pada rumput.
Dipijak lunyai
Ia tetap kebal.
Hari ini diracun mati.
Esok yang mati menukar diri membajai yang bakal tumbuh.
Tambah menghijau.
Terus menyubur bugar.

Sahabatku.
Kamu dan aku tidak perlu selalu merenung bulan.
Kita tidak perlu selalu-selalu memuja bintang.
Atau marah-marah pada matahari yang menghangus kulit mulus

Sesekali kita cuma perlu melihat rumput.....

Nota kaki:
Entri ketika “sifar idea” dan ditujukan untuk diri sendiri.
Dan esok aku lupa lagi,walau saban hari memijak rumput.
Mungkin lusa dikafankan dan tidur panjang di bawahnya

Kredit imej untuk Ahmad Shafie(iLuvislam.com)

16.6.08

Aku tidak beretika?

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil mata menerjah bulat ke layar pc.

Aku gugel Ethical issues in workplace. Kemudian Ethical Theories.

Bermacam laman dan arikel keluar. Maklumat overload. Melimpah.

Uhhhhhhhhhhhhhh!

Susahnya memilih. Rasa macam si Puspawangi memilih dan mengasingkan barangan dari uncang Tok Janggut dalam cerita Musang Berjanggut.

Puncanya bukan apa. Aku tak berapa pandai English. Walaupun kamus Oxford yang tebal sentiasa diheret masuk hingga ke kamar tidur.

Eternal Law?
Utilitarianism?
Universalism?
Justice Theory dan macam-macam lagi. Entah apa-apa
Mana satu satu mahu diadaptasikan ke dalam study case tugasan aku.

Aduh!

Damn! Ada satu minah sudah kutuk aku dalam forum. Dia kata aku unethical masa berforum. Hujahnya, aku salin dan tampal informasi di web dan letak dalam forum.

Cis! Selama ni aku buat benda yang sama juga. Bukan aku kata aku punya. Aku tulis sumbernya. Dan pensyarah aku tak pernah kata apa-apa pun.

Pada aku selagi, aku nyatakan sumbernya itu bukan menciplak.

Tugasan...oh...aku belum siapkan. Ada lebih kurang tiga semester lagi untuk dihabiskan program ini. Termasuk peperiksaan untuk memperbaiki gred.

Dan

Aku rasa macam nak menyalin dan menampal sahaja untuk tugasan kali ini,
Erkk!. Tak boleh. Unethical namanya.

Erkkk!!

Patutnya aku siapkan tugasan. Apasal aku tulis entri pulak.

Tidak beretika.

Heh!

Nota kaki:
Mungkin nanti universiti ini akan tawarkan subjek “Etika Menulis Blog”.
Hahaha!

13.6.08

Al Fatihah Untuk Abah

Dulu-dulu.

Aku dan Khadijah. Suka tengok rumah besar. Sebab rumah kami kecil. Atap zink, tapi bocor tiris sana sani. Dinding kayu berlubang sana sini dimamah anai-anai. Apabila hujan turun, aduh siksa amat.

Kami cuma tengok Combat atau Drama Minggu Ini dari tivi rumah jiran. Pakai seterika karan ketika umur sudah belasan.

Rumah kami kecil. Hingga suatu hari mak secara tidak sengaja mengeluh pada abah.

“Abah, rumah kita ni, reban ayam orang lagi elok. Anak-anak makin besar”

Abah diam. Kunyah dalam pahit. Telan dalam pedih.

Abah, lelaki yang tabah. Kudratnya kuat. Sekolah tidak pernah. Belajar membaca sendiri-sendiri. Cuma pandai baca tulisan jawi.


Bila kami masuk sekolah, abah suruh kami ajar dia baca huruf rumi.

Abah. Kudratnya kuat. Semangat tidak pernah luntur. Setiap hari keluar rumah; memikul guni padi, garam dan gula atau tepung. Jika guni baja urea, maka pecah-pecah bahunya untuk berminggu-minggu.

Abah. Semoga Allah swt. Merahmatimu di sana. Negeri kekal abadi.

Ampun bah!

Kami anak-anak perempuanmu. Puteri-puteri yang kau tatang bagai minyak penuh ini. Tidak jua mampu. Membina rumah besar untuk emak. Kami jua menumpang teduh kasih. Dari lelaki bernama suami.

Alhamdulillah!

Tuhan itu sangat Maha Adil. Sesuatu yang tidak lengkap, akan sentiasa disempurnakan.

Setiap kesusahan, selalu berganti dengan kemudahan.

Menantu-menantu abah, semua mirip abah. Rajin mencari rezeki . Menyuap nasi ke perut anak isteri. Walau mereka tidak pernah ke sekolah tinggi.

Semoga abah tenang dan aman di sana. Amin.

Al Fatihah!

7.6.08

Aku Marhaein

Aku marhaein.
Tidak tahu politik
Suapan slogan muluk- muluk
Glokal sana wilayah di sini

Aku buta ekonomi
Tiada kepentingan
terhadap projek-projek megamu
Tak bermaksud aku boleh engkau
Pandir-pandirkan sesuka hati

Aku marhaein
Tahuku cuma
Keluar saban hari
Mencari sesuap rezeki
Agar hidup kami
Tidak perlu jadi penadah tangan
di negara sendiri

Jangan engkau suruh aku
Ubah gaya hidup
Kerna aku cuma bermotorsikal
Kadangkala naik elarti, besi buruk komuter
dan bas Rapid KL
Berasak-asak berdiri
Setaraf pendatang.

Tidak pernah menjejak Suria KLCC
Tidak pernah merasa Starbuck coffee
Atau berbaju kasut jenama GUCCI dan Jojo Armani
Cuma sesekali merasa ayam KFC
Dunkin’ Donut jarang-jarang sekali.

Jangan engkau bodohkan aku
Dengan suapan slogan gila tidak munasabah
Berjimat dengan pendapatan yang tidak seberapa
Bukan aku pernah melancong ke luar negara
Dalam negara pun tidak pernah
Mahu balik kampung
Pun kadang-kadang terpaksa berkira-kira

Kata si cantik seleberiti
Kurangkan makan nasi
Baik untuk kuruskan diri

Aku sekadar mau bertanya
Bolehkah kurangkan nasi
Untuk anak-anakku yang sedang membesar
Mencatu makan bisakah menghentikan tangisan

Dan engkau puak juak akhbar
Asal saja yang berucap itu pakar
Asal saja dia si cantik seleberiti
Asal saja tuanmu bisa dapat untung
Semuanya engkau main petik sesuka hati

Aku marhaein
Aku sudah hidup dengan cara marheinku
Jangan kau ajar aku berjimat
Pada kamu berjimat
Padaku mencatu

Aku marhaein
Dan aku sedang marah
Jangan sampai aku amuk.


Nota kaki:

Tidak boleh hipokrit
Tidak bisa munafik
Ketika hatiku masih berbaki bara.
5.09pm (7 jun 2008.)

6.6.08

Di tengah kegawatan ini, saya mahu bernostalgia sebentar.

Jun 2008, Kuala Lumpur.

Kadang kala. Ada waktu, bernostalgia sebentar atau berimiginasi sejenak. Mungkin mampu menghilangkan kepenatan dan tekanan hidup yang dilalui.

Bukan maksud, mau melarikan diri dari kerumitan. Yang rumit, tetaplah rumit. Cuma kita, ada ketikanya, perlu melihatnya dari sudut yang lebih positif.

Hari ini dan semalam. Satu Malaya kecoh pasal kenaikan harga petrol. Sewaktu pulang kemari dari kampung, saya melihat deretan kereta di setiap stesyen petrol dari Bandar Tasik Selatan ke Bangi.

“Kerajaan Malaya memberikan petrol percuma untuk malam ini sahaja” Gurauan bersahaja abang yang membawa teksi.

Saya tersengih.

Huh! Nasib baik belum pakai kereta”.

Tapi, saya tidak bisa tersengih lama-lama. Kenaikan petrol, bermakna tangki motosikal suami tidak lagi penuh jika diisi dengan ringgit Malaysia tiga. Kini, kami memerlukan tambahan dua ringgit lagi untuk memenuhi tangki kenderaan beroda empat yang bukan kereta itu.
********************************************
Nishiawaji, Osaka 2007.

Basikal kelihatan di mana-mana. Mulanya, saya terkujat melihat. Tomoko Innoue berbasikal roda tiga. Walau basikal tersebut saiznya tidak semini basikal kanak-kanak berumur tiga tahun, ia kelihatan lucu amat.

Saya tersengih-sengih setiap kali melihat Tomoko Innoue menunggangnya.
Innoue san, tidak mahir berbahasa Inggeris. Tiap patah perkataan yang ingin dibicarakan dengan saya, pasti akan diucap dalam bahasa ibundanya dulu. Kemudian dia akan fikir-fikir dahulu, kemudian membelek-belek kamus.

Ayat-ayat yang dia agak fasih ialah “I’m sorry atau can I smoke?”
Itu saja. Dia perokok tegar. Umur hampir lima puluhan. Pernah berkasih di usia remaja dan tidak pernah berkahwin.

Suatu hari. Dia bertanya saya. Berapa lama saya bertemu suami sebelum kami bernikah. Saya beritahu, hanya beberapa bulan. Innoue san seakan tidak percaya. Mulutnya ternganga.

How’s long did you leave together before get marry?”

Dan dia bertambah terkejut apabila saya memberitahu kami tidak pernah tinggal bersama. Malah keluar bersama juga jarang-jarang.

Why?” Dia kepingin tahu.

Aduh! Kacau saya mau terangkan padanya tentang dosa pahala dan zina. Berbezanya budaya kami. Jalan mudah, saya beritahunya ianya tidak baik dalam agama dan budaya saya. Saya umpamakan macam rokok yang sedang disedutnya. Enak, tapi memberi kesan buruk di hari-hari berikutnya.

Smoking is bad habit for everyone”. Innoue san angguk-angguk faham.

***************************************

Suatu hari, dua minggu sebelum Ramadhan. Tiba-tiba Innoue san berkata dia memasak kari untuk saya. Kari ikan katanya. Saya sedang bayangkan keenakannya. Tapi agak cuak mau menjamahnya. Katanya, bekas yang digunakan untuk memasak adalah baru dan peralatan memasak juga baru dibeli. Dia faham saya tidak boleh makan babi dan minum arak.

Hati saya tetap cuak. Macam ada yang tidak kena. Tapi melihatnya bersungguh memasak untuk saya. Tidak sampai hati saya tidak menjamah. Rasanya kari itu tak ubah macam masak sardin di dalam tin.

Yachhh!”. Rasa mau muntah.

Tekak saya rasa loya. Kepala pusing-pusing. Mengantuk bukan main selepas makan. Saya tertidur macam orang mabuk. Hingga kelas saya pada hari tersebut terpaksa dibatalkan.

Rupanya Innoue san mencampurkan sake dalam masakannya.

Uhhhhhhhhhh!”

Terkena juga saya. Dan Tomoko Innoue berkali meminta maaf dari saya.

Katanya dia tidak tahu, sake juga arak. Berkali dia memohon maaf. Wajahnya nampak sungguh kesal dan bersalah.

It’s okay”. Kata saya. Sudah termakan, apa lagi yang patut saya kata.

Alahai!

Nota kaki:


Dua hari selepas saya mabuk secara tidak sengaja, Innoue san kata dia mau belanja saya udon. Sejenis mee, jika tak salah. Saya tolak baik-baik. Saya lebih rela makan roti dan minuman 100 plus dari Lawson.

Uhhhhhhhhhhhh!

Mahal gila.


5.6.08

Tag salam perkenalan

Saya mula ke blognya setelah melihat link di Soljahs dan dia merebiu Gangguan Teksual. Membaca dalam diam dan saya terpikat. Saya kira tulisannya tak kurang menarik. Dia barangkali penggemar tulisan Encik Pinter.

Tiba- tiba “Chop! Anda telah ditag.”

Entri pertama saya selepas balik kampung, adalah menjawab tag Cik Fisha. Tag untuk berkenal-kenalan ha!ha!ha!

Lapan fakta rambang tentang saya.


Jangan berkisah tentang peraturan, kerana saya paling suka melanggar peraturan. Saya sentiasa melanggar peraturan yang manusia reka-reka untuk kepentingan pihak tertentu dan saya mengalami kerugian dalam banyak perkara.(Oh ya! Malam ini rasanya kita patut merompak mana-mana stesyen petrol atau kita patut rompak mana-mana rumah tuannya telah menaikkan harga petrol.)

  1. Saya adalah sorang yang berdikari. Buktinya saya telah berkelana ke Osaka bersendirian tanpa menguasai bahasa Jepun dan hanya tau speaking English sikit-sikit.
  2. Saya adalah seorang yang berani. Saya bangga kerana berhenti kerja ketika kegawatan ekonomi kerana mau selamatkan diri dari dihina dan diinjak kepala.
  3. Saya pernah membuat persembahan teater di KLPAC.
  4. Saya pernah masuk tv, masuk suratkhabar dan majalah KLUE.
  5. Saya riak lagi takbur. Tok Rimau, entri tok mengenai avatar kat sini tiada kena-mengena dengan saya tau!.
  6. Saya suka/pandai bercerita dan berputar belit. Cerita sehasta akan jadi berkilo-kilo meter.
  7. Saya kurang upaya kata mereka. Bukan saya.

Nota kaki:

Lapan aje. Aiseh...kalau lapan puluh, saya pasti tanduk saya semakin panjang.
Wuish! Teroknya engkau wahai si Water Lly. Sedarlah diri. Kamu hanya mampu bersuara di sini.aja. Ha!ha!ha!
Tok, entri tok mengenai avatar tu, tepat jugak ek!
Tak mau tag sesiapa. Saya kan suka langgar peraturan.
Asalnya saya draf dalam bahasa pasar, gua lu, dan lu gua. Ternyata itu bukan saya, walaupun saya penggemar rock kapak.
Nota kaki ini sepatutnya ada lapan juga kan..kan..kan.
........
.........

SEKIAN. Terima kasih Cik Fisha. Salam perkenalan dari kak WL dan untuk Amal (kita kenalan sekali lagi ya! :p)

Ps: Afsal aku rasa nak delete ja entri ni ha!ha! ha!