Duit ini saya mahu guna untuk beli makanan kucing saya. Click Please!

28.3.08

Fin yang lagi satu...

Fin yang lagi satu.

Fin. Sewaktu di dalam kelas. Rose yang sombong sering membulinya. “Fin senget! Fin senget!!” Jerit Rose sambil bertepuk tangan. Jeritan Rose, disahut-sahut. Budak-budak lelaki bertepuk tangan. Bersorak sakan. Macam ada pesta. Setiap kali Fin berjalan, itulah jeritan Rose. Fin sengih. Tidak marah lansung. Lurus bendul. Macam Saad dan Kasim.

Alahai zaman anak-anak.

“Apalah yang anak-anak tahu.” Ayat-ayat biasa orang tua. Membela kanak-kanak yang berbuat salah dan nakal.

Salah sikit. Tidak mengapa. Nakal saja. Bukan jahat. Sedikit-sedikit. Membesar jadi manusia sombong dan tidak peduli. Macam kebanyakan yang selalu Finn temui atas LRT.

Alahai.

“Fin senget! Fin senget!!”.Jerit Rose. Sambil melompat-lompat macam ungka. Jeritan Rose, disahut-sahut. Budak-budak lelaki bertepuk tangan. Bersorak sakan. Macam ada pesta. Setiap kali Fin berjalan, itulah jeritan Rose. Fin sengih. Tidak marah lansung. Lurus bendul. Macam Saad dan Kasim.


Alahai.

“Bodoh! Pemalas!!”Ayat gampang yang selalu keluar dari mulut cikgu garang itu. “Papp!!” Diikuti libasan rotan di tapak tangan Fin. Fin menangis kesakitan. Fin terkencing dalam seluar. Finn yang lagi satu rasa belas. Tapi dia juga takut untuk membela. Rose dan budak-budak lain jadi tukang sorak. Kecuali Finn dan Awis.

Awis anak imam Haji Ismail. Awis yang baik hati. Satu-satunya budak lelaki yang tidak pernah mengejek-ngejek Finn dan Fin yang lagi satu. Tahun sembilan belas tujuh puluh tujuh. Cikgu garang itu mana pernah mendengar perkataan Cerebral Palsy atau learning disabilities. Tapi sekurang-kurangnya dia patut bertimbang rasa. Berbelas kasihan sesama manusia.

Alahai.

“Makcik, tadi Fin pegang anjing” Finn beritahu Makcik Salmah. Emak Fin. “Mana ada, itu kucing laaa”. Fin. Umur tujuh tahun. Antara anjing dan kucing tidak tahu hendak dibeza. Finn nampak Makcik Salmah kesat air mata. Sambil dibawa Fin ke tepian sungai. Samak najis berat itu. Sungai itu masih ada. Alirannya lesu. Menjadi saksi kasih seorang ibu dibawa ke syurga.

Kini Makcik Salmah telah tiada. Pakcik Samad juga. Fin tinggal rumah saudaranya. Menjadi babu saudara sendiri. Fin terima. Dia tiada pilihan.

Fin dan Finn punya banyak persamaan. Sayang, Fin tidak punya banyak pilihan.

Barangkali.

Di sana nanti; negeri kekal abadi. Fin mungkin lebih bertuah dari Finn ini.


23.3.08

Finn ada cerita tersendiri....

Finn ke sekolah biasa. Sekolah orang normal. Bukan sekolah khas. Dari darjah satu sampai tingktan enam atas. Kata abah, Finn tidak cacat. Dia tidak perlu ke sekolah khas. Tidak perlu kenderaan khas. Finn yakin dia tidak cacat. Dia cuma kurang upaya.

Di sekolah, lain jadinya.
Entah apa yang tidak normal tentang Finn. Rakan-rakan mengejek-ngejek Finn. Bermacam gelaran dan label menyakitkan hati. Cikgu-cikgu tidak benarkan Finn buat itu ini. Waktu subject pendidikan jasmani, Finn hanya mampu menjadi penonton. Sewaktu acara sukan diadakan, Finn hanya duduk tepi trek. Menonton juga. Kadangkala dia jadi tukang bancuh air sirap.
Finn bosan.

Finn kepingin bermain basketball. Finn minta izin teman-teman. Atas dasar apa entah, ada teman-teman membenarkan dia masuk dan bermain. Dia berlari ke sana sini. Cuba merampas bola. Malang, teman-teman sepasukan tidak pernah menghulurkan bola. Dia lansung tidak berpeluang menjaringkan gol.

Finn bosan. Sungguh.

Akhirnya dia mengerti. Dirinya tidak diterima. Dia benci sukan. Sampai kini. Sampai kapan pun.

Semenjak hari itu.

Dunianya hanyalah buku-buku dan kamar perpustakaan.

Dalam kelas. Waktu senggang. Cikgu akan minta kanak-kanak lain ke hadapan. Menyanyi. Baca puisi. Atau bercerita. Dan Rose, budak perempuan sombong; digilai ramai budak lelaki itu selalu naik ke pentas. Finn cemburu. Cikgu tidak adil. Balik-balik Rose. Balik-balik Rose. Finn bosan. Finn cemburu. Finn benci. Finn dendam. Menyala-nyala. Mungkin sampai kini. Dendam masih bersisa. Dendam itu disalurkan dengan cara paling bermakna.

Finn buktikan dia tidak cacat. Dia cuma kurang upaya. Pekej kurang upaya tidak menjanjikan Finn apa-apa. Tamat persekolahan, tiada majikan mau menggajinya. Lelaki-lelaki selalu menolak cintanya. Jijik sangatkah dia?

Finn berusaha. Tidak kenal lelah. Dia percaya Tuhan selalu bersifat adil. Sampai kini, Finn masih berusaha......

Nota kaki:
Kredit untuk Petra kerana mengilhamkan saya entri ini

21.3.08

Ayat-ayat cinta yang melupus makna....

Hari itu. Tanggal sembilan March. Teh tiba-tiba muncul di halaman rumah emak. Khadijah mempelawanya ke dalam. Teh enggan. “Di luar sajalah kak Jah”. Teh. Macam Khadijah. Dialek utara pekat. Macam aku juga,bila balik utara. Di sini, lidahku sering tergeliat, bila bertutur dialek utara. Jiran-jiranku, majoriti Kelantanese. Lelakiku pun satu, setiap kali aku bercakap dialek utara; aku terpaksa bercakap berulang kali. Ayat-ayat cinta yang sama. Dari ayat-ayat cinta mungkin bertukar ayat-ayat ganas berbau pergaduhan. Sedangkan lidah lagi tergigigit. Alahai.

Sebenarnya aku mau bercerita pasal Teh. Bukan pasal aku. Bukan pasal Khadijah. Cerita tentang ayat-ayat cinta yang bertukar menjadi ayat-ayat dusta. Tentang lidah yang tergigit bertukar kepada keganasan rumahtangga.

Teh manis, berkulit cerah,tinggi lampai. Giginya putih tersusun rapi. Manis bila ketawa. Siapa kata orang cantik akan selalu bernasib baik. Tidak. Hari itu Teh datang, aku terkejut besar. “Teh ke tu? Beza sungguh” Aku berkata dalam hati. Teh. Senyumnya hambar. Ketawanya tidak seceria dulu.

“Teh masuk wad dua minggu lalu” Cerita Khadijah sejurus Teh pulang. “Sakit apa?” Aku ingin tahu. “ Ala, apa lagi laki dia belasah la” .Alahai Teh. Kasihannya kamu. “Report tak?” Aku ingin tahu lanjut. “ Report apa...Teh nafikan, walaupun doktor tanya berulang kali.” Khadijah.

Alahai, Teh koma dua minggu di wad. Suaminya pukul di kepala dengan topi keledar. Kesalahan Teh bukan besar sangat. Cuma terlambat membuka pintu. Sebelum ini, ada insiden yang sama berlaku. Dia dibelasah dengan tali pinggang hingga berdarah kulit belakang. Teh bertahan. Konon demi cinta. Konon demi anak-anak. Konon ingin menjaga maruah suami. Bermaruahkah lelaki itu?

Hari itu. Sebelah petangnya. Aku terserempak dengan dia. Suami Teh. Bermanis-manis muka denganku. Berbahasa sungguh. Tiba-tiba, aku terbayangkan bagaimana dia membelasah Teh. Aku bayangkan penderitaan yang Teh tanggung. Tiba-tiba aku rasa jijik. Aku loya. Aku rasa mau ludah mukanya.

Teh.
Sedarlah. Sayangkan diri kamu dulu. Ayat-ayat cinta sudah melupus makna. Pandanglah ke hadapan. Demi anak-anak dan dirimu. Kau harus keluar dari kepompong ketakutan. Hentikan segala alasan. Ketahuilah.....ayat-ayat cinta kamu telah hilang makna. Aku bimbang suatu hari nanti lelaki itu akan membunuh kamu.
.

20.3.08

SALAM MAULIDUR RASUL

Hari ini. Ada ulangtahun kelahiran yang lebih besar dan bermakna untuk ummah. Sayang ajaran-ajarannya telah banyak tidak dihayati. Sunnah dipermain dan dipermudahkan oleh umatnya sesuka hati. Termasuk aku. Ajarannya mengangkat darjat wanita. Dari hamba pemuas serakah, syurga diletakkan di bawah telapak kaki wanita. Ibu diberi ganjaran mulia.

Tapi sayang.

Hari ini. Wanita sendiri menjatuhkan martabatnya. Rela diserakahi di mana-mana. Tanpa malu. Tanpa sedikit pun silu. Jika engkau melihat ya Rasullallah saw, alangkah....Umatmu kini makin hilang arah. Dari umara' hingga ulama. Si kaya dan si marhean sama saja. Masing-masing dengan dosa mereka. Mereka itu salah seorangnya adalah aku. Aku insaf. Ku akui kekerdilan diriku.

Sebelum mata terlena
Di buaian malam gelita
Tafakurku di pembaringan
Mengenangkan nasib diri
Yang kerdil lemah yang bersalut dosa
Mampukah ku mengharungi titian sirat nanti
Membawa dosa yang menggunung tinggi
Terkapai ku mencari limpahan hidayah Mu
Agar terlerai kesangsian hati ini
Sekadar air mata tak mampu membasuhi dosa ini
Sebelum mata terlena
Dengarlah rintihan hati ini
Tuhan beratnya dosa ku
Tak daya ku pikul sendiri
Hanyalah rahmat dan kasih sayang Mu
Yang dapat meringankan hulurkan maghfirah Mu
Andainya esok bukan milik ku lagi
Dan mata pun ku tak pasti akan terbuka lagi
Sebelum berangkat ke daerah sana
Lepaskan beban ini
Yang mencengkam jiwa dan raga ku
Selimut diri ku Dengan sutra kasih sayang Mu
Agar lena nanti ku mimpikan
Syurga yang indah abadi
Pabila ku terjaga
Dapat lagi ku rasai
Betapa harumnya
Wangian syurga firdausi oh Ilahi
Disepertiga malam
Sujud ku menghambakan diri
Akan ku teruskan pengabdian ku pada Mu

SALAM MAULIDUR RASUL TEMAN-TEMAN.

19.3.08

Tag untuk kali kedua ( sempena musim menge"tag")

Oleh kerana sang permaisuri telah berjanji dengan Pak Bilal, akan menjawab tagnya selepas pru ke 12, maka dengan ini dipersembahkan:

Bagaimanapun tag ini mempunyai undang-undang yang agak konsisten selaras dengan budaya Melayu - Islam. Mari kita tengok adat-istiadatnya:

  1. Permaisuri kena berkongsi 5 link kegemarannya
  2. Mesti BERSIH. Tiada link yang “gitu-gitu”.
  3. Hanya LIMA link.
  4. Perlu memberitahu LIMA individu.
  5. Linkkan semula kepada individu yang mengetag permaisuri
  6. Link tersebut perlulah link yang aktif.

    Sekarang mari kita tinjau pautan-pautan kesukaan permasuri.

    OUM.
    Mestilah permaisuri ke sini setiap hari. Itulah kelas onlinenya dan dia bakal memperolehi 5% untuk markah kerja kursus. Kata tutornya, 5 markah pun amat penting untuk lulus,mendapat gred yang baik dan pointer yang bagus.

    Jejaka kacak yang pemalu
    Blog jejaka yang berkongsi zodiac dengan sang permaisuri ini, dilawati 27 kali sehari sebab jejaka inilah tanpa sedar telah memberinya ilham untuk mempertajamkan bakatnya.

    Tuan Sinaganaga
    Sifu tatabahasa permaisuri. Hancuss!! Tapi memetik kata-katanya “Jika LOVE, telan”, maka setiap jam permaisuri akan refresh blognya.

    YouTube
    Hiss..siapalah yang tidak teruja dengan laman ini. Macam-macam ada dan yang patut tiada pun ada. Kalah TV berbayar ASTRO.

    Pak Bilal dengan laman yang lagi satu.
    Postingnya tentang “Bila wanita menjaga aurat” amat membimbing sang permaisuri. Terima kasih Encik Shah.

So, now let 's complete the game.

Permaisuri akan menge"tag" lelaki-lelaki yang menjadi pujaan hatinya ketika dia hanya menjadi penonton flem America/Amerika Latin. Dia peduli apa jika lelaki-lelaki ini tidak faham Bahasa Melayu.

Percayalah mereka teramat kacak hahaha!!! Dan permaisuri tidak berani memberitahu hero yang pertama dan terakhir itu kerana satunya mereka amat ganas-ganas manja dan mereka terlalu sibuk (baca: tip top); tidak akan melayan tag permaisuri. Apa barang tag-tag ni...mungkin itulah ayat ganas-ganas manja mereka.

Diharap Pak Bilal berpuas hati dan kali ini dijamin seratus persen asli. Tiada ciplak sama sekali.

16.3.08

Jika ku tak bangun esok pagi....

Hidup ini begitu singkat. Ada waktunya kita kehilangan kata untuk menyuarakan sesuatu. Dan kita terpaksa meminjam perkataan orang lain untuk meluahkannya. Demikian juga sang permaisuri. Hari ini dia kehilangan kata-kata. Mungkin setelah tiga puluh lapan tahun dia bernafas atau telah tiga tahun hidup bersama lelakinya. Dia kehilangan banyak perbendaharaan kata yang manis dan enak. Lelakinya juga begitu. Tahun lalu, lelakinya hanya mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran pada saat-saat akhir. Tanpa apa-apa hadiah dan sang permaisuri tidak kisah lagi. Bergelar isteri sudah mencukupi baginya.
Yang ada hanya kemaafan dan keampunan untuk dipinta dan diberi.



Jika ku tak bangun esok pagi,
Sayangku kau jagalah diri,
Sentiasa ingatkan hati,
Dirimu amat ku cintai.

Andainya dihimpit kesusahan,
Sujud dan mohon pada tuhan,
Agar diberikan bimbingan,
Meniti hidup bersendirian.

Bila terasa sejuk,
Pejamkan mata,
Bayangkan dalam dakapanku,
Bila terasa rindu,
Pejamkan mata,
Kita bersua dalam lena.

Kalau ada yang sudi mengganti,
Sayang lepaskanlah ku pergi,
Kerana insan yang seistimewamu,
berhak untuk dicinta dalam hidup.

Sayang tiada apa yang kekal di dalam dunia ini,
namun yang pasti,
Walaupun ku tiada nanti,
cintaku akan kekal abadi.

Ku berharap kau tak akan lupa,
mengirimkan bekalan doa,
kita jumpa lagi di sana nanti,
jika ku tak bangun esok pagi

7.3.08

Aku,Khadijah dan tren

Tahun sembilan belas lapan puluh lapan.

Aku di tingkatan enam rendah. Khadijah di tingkatan lima. SMGC. Kami kumpul wang belanja sekolah. Pemberian allahyarham abah. Kami menaiki bas MARA. Yang berdinding karat. Penumpangnya hanya beberapa kerat. Dari rumah ke pekan Sungai Petani. Tujuannya tiada lain. Kepingin menaiki kenderaan bergerabak milik KTMB. Destinasi kami pekan Alor Setar. Di situ ada Hankyu Jaya. Dan kami dapat tonton filem Ogy dan Eman. Di situ ada franchise KFC. Nostalgia sungguh.

Dan Kak Cik Kamariah, sepupu kami. Pertama kali mendapat gaji. Memperkenalkan kami makanan tersebut. Enak. Kerana kami jarang sekali menjamah ayam. Yang ada dalam menu harian keluarga, kerap kali kangkung goreng belacan dan ikan. Kangkung yang emak pungut dalam sungai belakang rumah. Nostalgia sungguh.

Dalam keretapi (waktu itu belum dipanggil komuter),kami bergurau-gurau dan usik-mengusik. Mesra sungguh. Dan. Khadijah akan bulatkan matanya kepada sesiapa sahaja yang asyik merenung aku. Khadijah. Dulu-dulu sampai kini. Tidak pernah berubah. Dia akan garang dan sanggup mengganasi sesiapa saja dengan lidahnya jika ada yang cuba menghinaku. Khadijah juga dengan lidah lasernya, tanpa silu-silu akan menegur jika aku tersalah langkah. Itulah Khadijah. Aku sayang dia. Dia adalah cerminku.
Aii, kak tudung kamu semakin singkat dan kecil” Khadijah dalam dailek utara pekat. Kali terakhir aku bertemunya Aidilfitri yang lalu. Berdiam-diam sahajalah aku. Aku tetap sayang dia dan dia adalah cerminku.

Tadi. Tahun dua ribu lapan
Aku naiki tren komuter itu lagi. Di hadapanku, tiga gadis berbaju sempit rambut keperangan warga asing duduk enak-enak di situ. Berdiri bersamaku seorang wanita muda sedang mengendung insan kecil di dalam rahimnya. Gadis-gadis berbaju sempit itu memandangku. Sambil senyum-senyum dan bisik-bisik dan ketawa-ketawa. Darahku mendidih kepanasan. Tetapi seperti dulu, berdiam-diam sahajalah aku. Aku teringat akan Khadijah. Jika dia ada, pasti gadis-gadis berbaju sempit itu dimakinya.
Alahai Khadijah. Aku amat merindui kamu.
Nota kaki:
Rumah ini akan bersensawang selama beberapa hari.

1.3.08

Dia, sang permaisuri dan buku

Pagi tadi. Sang permaisuri menerima gajinya untuk bulan ini. Enam ratus empat puluh lapan ringgit tunai. Dan dia gembira tidak terkata. Itulah gaji termaksima yang pernah diperolehinya. Selama lebih kurang tiga tahun menjadi kuli tanpa KWSP. Dia gembira amat. Terasa macam orang kena nombor. Atau apa-apa jenis perjudian halal dalam undang-undang buatan manusia tetapi tetap haram di sisi syariat Pencipta.

Sang permaisuri rasa mau melompat. Nilai enam ratus lebih terasa macam enam ribu lebih. Lalu dia mengajak lelakinya ke stor buku bersebelahan Planet Pena. DBP atau Dewan Bahasa dan Pustaka namanya. Lelakinya. Berpusing-pusing tiga empat kali baru menemui jalan masuk ke stor buku tersebut. Tetapi kerana titah perintah sang permaisuri, dia tidak berani merungut-rungut. Apatah lagi setelah sang permaisuri merasuahnya dengan ayam goreng KFC.

Dia setia. Menunggu permaisurinya memilih buku rujukan. Dia faham amat. Sang permaisurinya jika memasuki stor buku, pasti lamaaaaaaaa. Dari kedai buku dibuka hingga ditutup dan kemudian dibuka semula barangkali. Dia bosan. Kadangkala sampai terlelap, dia menanti permaisuri memilih buku. Dia tahu, jika mampu, satu toko akan dibeli oleh permaisurinya. Kerana sayang, berdiam-diam sahajalah dia. (baca: dia sudah bosan bertengkaran mungkin).

Permaisurinya gilakan buku. Dan buku lebih murah dari perabot atau barang kemas. Jika permaisurinya tergila-gilakan perabot atau barangan kemas pastilah nafasnya lebih sesak. Lagi parah dia. Silap-silap dia terhutang dengan along.
Lamaaaaa. Dia menunggu. Akhirnya sang permaisuri pun keluar." Dapat yang dicari?" Dia bertanya. "Dapat satu dan satu lagi bonus". Permaisurinya tersenyum. "Buku apa?". Dia. "Ayah Kita Bos". Senyuman sang permaisuri bertambah melebar sambil menunjukkan blook itu. "Cheh!!!". Dia.